Malaysiakini
BERITA

'Pak guard' kena lempang gara-gara minta periksa suhu

Siti Hajar Husna Che Hassin

Diterbitkan
Dikemaskini 11 Jun 2021, 1:06 tengahari

Seorang pengawal keselamatan dilempang oleh seorang pelanggan di sebuah pusat membeli belah di Kota Bharu, akibat menegur pelanggan berkenaan untuk memeriksa suhu sebaik sahaja memasuki pintu masuk pasar raya berkenaan.

Kejadian itu berlaku pada 7 Jun lalu, kira-kira jam 2 petang ketika orang ramai berkunjung membeli barang keperluan semasa sekatan pergerakan penuh (total lockdown).

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, ACP Abdul Rahim Daud berkata pihaknya menerima laporan kejadian tersebut dan sedang menjalankan siasatan terperinci.

“Pihak kami ada menerima laporan berkenaan kes seorang pengawal keselamatan yang ditampar apabila dia menyuruh salah seorang pelanggan memeriksa suhu di sebuah pusat membeli-belah di Kota Bharu.

“Kejadian itu disahkan berlaku pada 7 Jun 2021 lebih kurang jam 2 petang.

“Kes ini masih dalam siasatan pihak polis dan kita sedang mengesan orang yang terlibat dalam kejadian ini,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini, hari ini.

Terdahulu, tular di media sosial rakaman video seorang pengawal keselamatan ditenangkan oleh pekerja pasar raya berkenaan sebaik sahaja dia jatuh akibat ditampar oleh seorang pelanggan kerana memintanya untuk memeriksa suhu terlebih dahulu sebelum masuk.

Sementara itu, Abdul Rahim berkata kes berkenaan disiasat dibawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja mendatangkan kecederaan.

“Kes sedang disiasat di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja mendatangkan kecederaan,” katanya.

Beri pendapat anda!

Jadi pelanggan Malaysiakini untuk menjadi pengulas berita. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.