Malaysiakini
BERITA

Majikan disenarai hitam lepas pekerja bunuh diri kerana gaji tak dibayar

Fion Yap

Diterbitkan

Jabatan Tenaga Kerja telah melengkapkan siasatan kes pekerja dari Pakistan yang bunuh diri setelah majikannya dilaporkan tidak membayar gajinya selama beberapa bulan.

Menteri Sumber Manusia M Saravanan memberitahu Malaysiakini bahawa syarikat yang terlibat dilarang mengambil pekerja warga asing

"Polis terus (untuk menyiasat) kes itu, sementara Jabatan Tenaga Kerja telah membantu memastikan syarikat itu membayar gaji yang wajar dan wang muhibah kepada keluarga.

"Jabatan Tenaga Kerja juga menyenarai hitam syarikat tersebut sehingga tidak lagi dibenarkan mengambil pekerja asing," kata Saravanan.

Gaji tertunggak berjumlah RM6,825

Menurut laporan siasatan, syarikat yang terlibat mengakui bahawa pekerja yang bunuh diri, Shahzad Ahmed, adalah pekerja warga asing tanpa dokumen, yang mula bekerja dengan syarikat itu pada Januari 2019.

Shahzad bekerja di sebuah tapak pembinaan di sepanjang Jalan Ampang di Kuala Lumpur.

Siasatan itu mendapati bahawa Shahzad seharusnya dibayar RM100 sehari dengan elaun makanan RM300 sebulan.

Namun, majikan gagal membayar gaji Shahzad, berjumlah RM6,825, selama empat bulan dari November 2020 hingga Mac 2021.

Pecahan empat bulan gaji tertunggak adalah: November 2020 (RM500), Januari 2021 (RM2,425), Februari 2021 (RM2,400) dan 2021 Mac (RM1,500).

Shahzad Ahmed

Selepas kematian Shahzad, syarikat itu berjanji akan membayar gaji berkenaan selain muhibah sebanyak RM3,175 kepada keluarga Shazad melalui Suruhanjaya Tinggi Pakistan di Malaysia.

Majikan itu juga bersetuju untuk menanggung kos pengangkutan jenazah Shahzad ke Pakistan dan menandatangani surat komitmen dengan Suruhanjaya Tinggi Pakistan.

Jabatan Tenaga Kerja berjanji akan meneruskan penyiasatannya dan mengambil tindakan undang-undang jika mendapati pelanggaran undang-undang buruh lain oleh syarikat yang terlibat.

Jabatan itu menerima aduan e-mel dari Parti Sosialis Malaysia pada 23 April, kira-kira seminggu setelah Shahzad meninggal dunia, dan menyelesaikan laporan siasatannya pada 30 April.

'Sukar bertindak terhadap majikan'

Sementara itu, Ketua Pengarah Jabatan Tenaga Kerja, Asri Ab Rahman, memberitahu Malaysiakini bahawa sukar bagi pihak berkuasa untuk mengambil tindakan lebih lanjut terhadap majikan itu kerana Shahzad adalah pekerja warga asing yang tidak berdokumen.

Ini kerana pekerja yang tidak berdokumen tidak mempunyai izin kerja atau kontrak pekerjaan, yang merupakan bukti penting untuk mendakwa majikan yang terlibat di mahkamah.

Ketua Pengarah Jabatan Tenaga Kerja Asri Ab Rahman


"Sekiranya kita ingin mendakwa majikan, kita perlu mempunyai kontrak pekerjaan untuk menentukan bahawa pekerja itu bekerja di syarikat itu; atau mesti ada izin kerja di pasportnya.

"(Jika tidak,) ketika kita pergi ke mahkamah, syarikat mungkin mengatakan ini bukan pekerja mereka. Lalu, bagaimana kita akan membuktikan?

"Tetapi dia (Shahzad) tidak memiliki kedua-dua dokumen ini. Tidak ada yang akan menandatangani kontrak dengan pekerja haram. Itulah sebabnya kami selalu menasihati pekerja warga asing untuk masuk secara sah,” kata Asri.

Dengan menekankan bahawa tunggakan pembayaran gaji tidak seharusnya berlaku, Asri mengatakan bahawa lebih sukar untuk mengambil tindakan dalam kes ini kerana Shahzad telah meninggal dunia dan oleh itu, tidak dapat menjadi saksi bagi jabatan itu.

Menurut Seksyen 55B, Akta Imigresen 1959/63, menggaji setiap pekerja tanpa dokumen yang tidak mempunyai pas yang sah boleh dikenakan denda antara RM10,000 hingga RM50,000 atau penjara tidak melebihi 12 bulan atau kedua-duanya.

Seseorang yang menggaji lebih daripada lima warga asing tanpa dokumen secara serentak boleh dikenakan hukuman penjara antara enam bulan hingga lima tahun dan juga dikenakan hukuman sebat tidak lebih dari enam kali.

Namun, tambah Asri, Jabatan Imigresen merupakan pihak berkuasa yang mengambil tindakan terhadap syarikat atau pekerja yang terlibat dalam kesalahan di bawah Akta Imigresen.

Malaysiakini sebelum ini melaporkan bahawa Shahzad bunuh diri di tempat kerja di sepanjang Jalan Ampang pada 17 April, setelah menyiarkan video yang menuduh majikannya gagal membayar gajinya selama lima bulan.

Siasatan polis menunjukkan bahawa syarikat tersebut, Landseal Sdn Bhd, mempunyai masalah kewangan kerana terjejas oleh perintah kawalan pergerakan.

Saravanan kemudian memberikan jaminan bahawa kementerian akan menyiasat perkara itu melalui Jabatan Tenaga Kerja dan seterusnya mengambil tindakan yang sewajarnya jika tuduhan itu benar.

Dia juga mengatakan kementerian itu akan mengembangkan sistem e-Upah tidak lama lagi untuk memantau pembayaran gaji bulanan kepada pekerja secara real-time.

Semasa perintah kawalan pergerakan, sekurang-kurangnya 49 warga asing bunuh diri dari bulan Mac hingga Oktober 2020.


Sekiranya anda merasa tertekan atau ada kecenderungan bunuh diri, atau mengenali seseorang yang dalam keadaan demikian, hubungi talian berikut:

Pusat Kaunseling Agape Malaysia

Talian Hotline: 03-77855955 atau 7781 0800

The Befrienders

Talian Hotline: 03-79568144 atau 03-79568145

Life Line Association Malaysia

Talian Hotline: 03-42657995

Beri pendapat anda!

Jadi pelanggan Malaysiakini untuk menjadi pengulas berita. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.