Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
Lim: Kenyataan Hamzah 'tak masuk akal', memalukan j'kuasa kaji Parlimen hibrid
Diterbitkan:  Jun 12, 2021 12:11 PM
Dikemaskini: 5:02 AM

Pendirian Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainudin bahawa Parlimen hanya patut bersidang semula selepas imuniti kelompok dicapai telah "memalukan" jawatankuasa khas yang kini sedang mengkaji pelaksanaan sidang Parlimen hibrid, kata veteran pembangkang Lim Kit Siang.

Lim berkata, cadangan "tidak masuk akal" tersebut seperti cuba mengetepikan cadangan mengadakan sidang Parlimen hibrid semasa darurat, serta memalukan anggota jawatankuasa - antaranya Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Takiyuddin Hassan, Yang Dipertua Dewan Rakyat Azhar Azizan Harun dan Yang Dipertua Dewan Negara Rais Yatim - yang sedang mengkajinya.

Kedua-dua Hamzah dan Rais adalah dari Bersatu.

Minggu lalu, Rais memaklumkan dia, Azhar dan Takiyuddin adalah antara anggota jawatankuasa khas bagi mengkaji konsep dan mekanisme sidang Parlimen secara hibrid, termasuk mengambil kira amalan di negara-negara luar.

"Amat pelik apabila Perdana Menteri Muhyiddin Yassin berdiam diri terhadap kenyataan tidak masuk akal Hamzah...Saya jangkakan yang Kabinet gergasi Muhyiddin akan menolak cadangan Hamzah dan menamatkan idea tidak masuk akal ini. 

"Tetapi apabila dia mengulangi idea ini, kita perlu memandang perkara ini dengan serius," kata Lim dalam kenyataan hari ini.

Masalah utama berkenaan kenyataan Hamzah itu, menurut Lim, adalah tiada siapa pun yang dapat menentukan bilakah imuniti kelompok akan dapat dicapai.

Lebih-lebih lagi, katanya, terdapat pandangan pakar yang menyatakan bahawa imuniti kelompok terhadap wabak Covid-19 mustahil dapat dicapai ekoran kelompok yang keberatan mengambil vaksin, kewujudan varian-varian baru dan penangguhan vaksin untuk kanak-kanak.

“Adakah Hamzah cuba mengatakan yang sekiranya mustahil untuk kita capai imuniti kelompok, makan Parlimen Malaysia patut digantung selamanya?" soalnya.

Menurut Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV), setakat 10 Jun, seramai 13,046,616 orang atau 53.7 peratus populasi dewasa telah mendaftar untuk mendapatkan vaksin. 

Lihat Komen
ADS