Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Daftar tanpa rela: Rela jalankan siasatan dalaman
Diterbitkan:  Jun 15, 2021 11:19 AM
Dikemaskini: 3:19 AM

Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) akan menjalankan siasatan dalaman terhadap isu tular membabitkan warganet yang terkejut apabila mendapati nama mereka didaftarkan sebagai ahli pasukan itu tanpa pengetahuan atau kerelaan.

Dalam kenyataan hari ini, Rela jugfa menafikan maklumat peribadi individu terbabit didaftarkan secara automatik di dalam sistem mereka tanpa kebenaran kerana ia bercanggah dengan Seksyen 6(1), Akta Perlindungan Data Peribadi 2010.

Rela turut memetik Akta Pasukan Sukarelawan Malaysia 2012 (Akta 752) yang menggariskan bahawa seseorang cukup umur boleh mendaftar sebagai ahli secara bertulis.

Katanya seksyen yang mewajibkan seorang lelaki antara 18 hingga 55 tahun untuk berkhidmat sebagai anggota Rela (dahulu dikenali sebagai Ikatan Relawan Rakyat Malaysia) di bawah Akta (Kuasa-Kuasa Perlu) Darurat 1964 Peraturan- Peraturan Perlu (Ikatan Relawan Rakyat) 1966 telah pun dibatalkan pada 2005.

Pun begitu, kata Rela, atas aduan orang ramai berkenaan data mereka digunakan tanpa pengetahuan jabatan tersebut memberi jaminan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat dalam kejadian berkenaan.

“Rela maklum akan kegusaran orang ramai dan akan mengambil tindakan sewajarnya untuk menjalankan siasatan dalaman bagi mengenal pasti tatacara pendaftaran keanggotaan yang dilaksanakan sebelum Akta 752 berkuat kuasa.

“Rela tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak atau individu yang secara sengaja memproses atau menggunakan data peribadi seseorang bagi tujuan tertentu tanpa mendapat kebenaran individu terbabit,” kata kenyataan itu.

Bahkan, kata Rela, ia juga sebelum ini memang menjalankan program pemutihan keanggotaan bagi menamatkan khidmat seseorang yang didapati tidak aktif selama lima tahun.

Pun begitu katanya pemutihan berkenaan digantung sementara kerana Rela sedang menumpukan usaha melawan wabak Covid-19.

Semalam ahli Parlimen Bukit Mertajam Steven Sim berkata dia dan isterinya didapati didaftarkan sebagai anggota Rela sejak 2011 walaupun sebenarnya mereka tidak pernah berbuat demikian.

Warganet yang memeriksa keanggotaan mereka ramai juga yang meluahkan rasa terkejut apabila nama mereka, didapati turut terdaftar sebagai ahli sejak bertahun-tahun lamanya, bahkan ada yang menuntut elaun tertunggak mereka.

“Bagi anggota yang masih berminat untuk menyambung keanggotaan boleh berbuat demikian dengan memaklumkan secara bertulis kepada ketua pengarah Rela.

“Kepada individu terbabit yang mendapati telah didaftarkan sebagai anggota Rela dan ingin menamatkan keanggotaan sila hubungi talian 03-8870 3770 dan e-mel [email protected] untuk dibatalkan keanggotaannya,” kata Rela lagi. 

Lihat Komen
ADS