Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Ada temu janji dos kedua AstraZeneca dibuat sebelum cukup 12 minggu
Diterbitkan:  Jun 15, 2021 12:34 PM
Dikemaskini: 5:49 AM

Sebilangan penerima vaksin AstraZeneca mendakwa mereka menerima tarikh temu janji untuk dos kedua lebih awal dari tempoh yang ditetapkan iaitu 12 minggu.

Adun Skudai, Tan Hong Pin, berkata pihaknya menerima aduan daripada individu yang sudah mendapat suntikan pertama sebelum ini dan diminta hadir untuk dos kedua di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor.

Tan turut mengongsikan tangkap layar janji temu penerima vaksin AstraZeneca salah seorang pengadu yang hanya mahu dikenali sebagai Mr Chin.

Menurut Tan, lelaki terbabit menerima dos pertamanya pada 7 Jun lalu namun agak terkejut apabila diberikan tarikh 28 Jun - atau selepas hanya tiga minggu - untuk menerima suntikan kedua.

Namun, kata Tan setelah pemeriksaan dibuat di aplikasi MySejahtera, tidak ada maklumat mengenai tarikh dos kedua Mr Chin dipaparkan.

Tan juga turut menunjukkan tangkapan layar untuk tiga aduan lain dan dua daripadanya mendapat tarikh yang sama dengan Mr Chin manakala seorang lagi penerima akan diberikan dos kedua pada 29 Jun selepas mendapatkan suntikan pertama pada 8 Jun lalu.

"Saya percaya ini bukan kes terpencil. Mungkin ada beberapa masalah serius yang menyebabkan kekacauan sistem pemberian vaksin dalam Mesyuarat Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF).

"Saya minta menteri Khairy Jamaluddin untuk segera menangani masalah ini untuk meredakan kebimbangan masyarakat. Adakah ini satu lagi kegagalan CITF?

"Biar saya ingatkan menteri bahawa ramai warga emas cuba untuk mendapatkan janji temu mereka setiap hari, ramai yang kecewa dan hilang semangat setelah berdepan dengan masalah janji temu mereka.

"Sebagai wakil rakyat, kami melakukan yang terbaik untuk membantu mereka mengemas kini aplikasi MySejahtera kerana kami mahu semua orang turut serta mendapatkan vaksin mereka.

"Vaksin dapat menyelamatkan nyawa, kita tidak boleh bertolak ansur dengan satu demi satu halangan," kata Tan dalam kenyataan yang dikeluarkan semalam.

Malaysiakini menghubungi CITF untuk mendapatkan komen balas mengenai aduan tebabit dan sedang menunggu jawapan.

Sebelum ini, Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin berkata tempoh masa antara suntikan dos pertama dan kedua vaksin Covid-19 buatan AstraZeneca ditetapkan selama 12 minggu.

Khairy yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi dilaporkan memaklumkan, jarak tempoh masa selama 12 minggu itu selaras dengan saranan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) serta amalan di United Kingdom (UK).

Ia berbeza dengan vaksin Sinovac yang hanya memerlukan tempoh masa dua minggu antara suntikan dos pertama dan kedua manakala tiga minggu diperlukan untuk vaksin Pfizer.

Lihat Komen
ADS