Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Hamzah: Kewarganegaraan automatik anak kepada bapa warga Malaysia tak diskriminasi

Peruntukan dalam undang-undang tertinggi Malaysia yang hanya membenarkan bapa warganegara Malaysia untuk memberikan kewarganegaraan automatik kepada anak-anak mereka yang dilahirkan di luar negara tidak berbentuk diskriminasi, kata Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainudin.

Hamzah membuat kenyataan ini dalam afidavitnya sebagai respons kepada kerajaan Malaysia, yang menjadi sasaran tuntutan saman yang menuntut agar ibu warganegara Malaysia juga dibolehkan memberi kewarganegaraan automatik anak mereka yang lahir di luar negara.

Melalui tindakan undang-undang yang diajukan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 18 Disember tahun lalu, enam ibu dan kumpulan hak keluarga Family Frontiers meminta pengisytiharan bahawa wanita Malaysia yang berkahwin dengan pasangan warga asing secara automatik dapat mewariskan kewarganegaraan untuk anak-anak mereka yang lahir di luar negara.

Tuntutan mahkamah itu dimulakan setelah kerajaan menolak untuk membenarkan anak-anak mereka layak mendapat kewarganegaraan.

Ketujuh-tujuh plaintif berpendapat antara lain, bahawa peruntukan tertentu dalam Perlembagaan Persekutuan Malaysia, yang hanya memberikan hak kepada bapa warganegara Malaysia untuk memberikan kewarganegaraan automatik kepada anak-anak mereka yang lahir di luar negara, sebagai bersifat diskriminasi terhadap wanita Malaysia yang berkahwin dengan warga asing.

Mereka mendakwa bahawa ia melanggar hak perlindungan dan kesamarataan di hadapan undang-undang seperti yang termaktub di bawah Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan.

Tuntutan itu mencabar kesahihan Perkara 14 (1) (b), yang apabila dibaca dengan kelayakan yang dinyatakan dalam Bahagian II Jadual Kedua Perlembagaan Persekutuan, hanya memberikan hak kepada bapa warganegara Malaysia untuk mewariskan kewarganegaraan automatik kepada anak-anak mereka yang dilahirkan di luar negara.

Menurut afidavit Hamzah yang dilihat oleh Malaysiakini, dia berpendapat bahawa Perkara 14 (1) (b), apabila dibaca bersama Bahagian 1 (b) dan 1 (c) Bahagian II Jadual Kedua Perlembagaan Persekutuan, tidak boleh dikatakan sebagai diskriminasi.

Seksyen 1 (b) menyatakan bahawa setiap orang yang dilahirkan di luar persekutuan Malaysia, yang bapanya pada masa kelahiran adalah warganegara, dan sama ada dilahirkan di persekutuan Malaysia atau pada masa lahir dalam perkhidmatan persekutuan, adalah warganegara mengikut undang-undang.

Bahagian 1 (c) menyatakan bahawa seseorang yang juga merupakan warganegara Malaysia berdasarkan undang-undang jika dia dilahirkan di persekutuan Malaysia ketika bapa, pada masa kelahiran, adalah warganegara.

"Proviso dalam Perkara 8(2) Perlembagaan Persekutuan terpakai untuk Perkara 14 dan 15 Perlembagaan Persekutuan.

"Oleh yang demikian, Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan tidak terpakai kepada Perkara 14(1)(b) dibaca bersama Jadual Kedua, Bahagian II, sekseyen 1(b) dan 1(c) dan Perkara 15 Perlembagaan Persekutuan," kata Hamzah.

Perkara 8(2) menyatakan: "Kecuali sebagaimana yang dibenarkan dengan nyata oleh Perlembagaan ini tidak boleh ada diskriminasi terhadap warganegara semata-mata atas alasan agama, ras, keturunan, tempat lahir atau jantina dalam mana-mana undang-undang atau dalam pelantikan kepada apa-apa jawatan atau pekerjaan di bawah sesuatu pihak berkuasa awam atau dalam pentadbiran mana-mana undang-undang yang berhubung dengan pemerolehan, pemegangan atau pelupusan harta atau berhubungan dengan penubuhan atau penjalanan atau apa-apa pertukangan, perniagaan, profesion, kerjaya atau pekerjaan."

Hamzah merujuk kepada ketentuan 'Kecuali sebagaimana yang dibenarkan dengan nyata oleh Perlembagaan ini ...' dalam Perkara 8 (2).

Artikel 15 membahas soal permohonan kewarganegaraan oleh isteri dan anak-anak kepada warganegara Malaysia yang merupakan lelaki.

Mahkamah tidak mempunyai bidang kuasa, kata Hamzah

Menteri itu mendakwa bahawa tuntutan tujuh plaintif itu bertentangan dengan undang-undang yang "jelas dan mantap".

"Defendan telah membuat 'reservation' berkenaan dengan peruntukan kewarganegaraan dalam Konvensyen Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi terhadap Wanita (CEDAW) dan Konvensyen Mengenai Hak Kanak-kanak (CRC).

Oleh yang demikian, plaintif-plaintif tiada apa-apa harapan yang sah (legitimate expectation) terhadap obligasi antarabangsa Kerajaan Persekutuan yang termaktub di bawah 'reservation' tersebut," kata Hamzah.

Menteri itu juga mendakwa bahawa mahkamah tidak mempunyai bidang kuasa untuk mendengar saman pemula tujuh plaintif itu kerana ia melibatkan isu pemberian kewarganegaraan oleh kerajaan.

"Segala urusan berkenaan dengan pemberian kewarganegaraan oleh kerajaan persekutuan merupakan hal yang tidak dapat diadili (non justiciable) oleh Mahkamah Yang Mulia ini kerana ia melibatkan pertimbangan-pertimbangan yang tidak sesuai untuk keputusan kehakiman," katanya.

"Apa-apa keputusan kerajaan persekutuan di bawah Perkara 15 Perlembagaan Persekutuan adalah di luar bidang kuasa Mahkamah Yang Mulia ini untuk menyemak.

"Dalam saman pemula ini, plaintif-plaintif tidak mencabar budi bicara kerajaan persekutuan berkenaan dengan proses, pertimbangan mahupun mencabar keputusan ke atas permohonan-permohonan mereka di bawah Perkara 15 Perlembagaan Persekutuan," tambahnya.

Pada 6 Mei lalu, Mahkamah Tinggi menolak permohonan kerajaan untuk membatalkan tuntutan itu. Susulan itu kerajaan membuat rayuan di Mahkamah Rayuan.

Kerajaan berusaha membatalkan saman itu, antara lain kerana disifatkan sebagai 'sembrono'.

Sementara itu ketika dihubungi hari ini, peguam plaintif Joshua Andran mendedahkan bahawa kerajaan mengajukan permohonan untuk menangguhkan saman utama, sementara menunggu keputusan rayuan di Mahkamah Rayuan.

Dia mengatakan bahawa Mahkamah Tinggi belum menetapkan tarikh untuk mendengar permohonan penangguhan tersebut, kerana pengurusan kes yang dijadualkan pada awal hari ini susulan sekatan penuh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP 3.0) yang berkuat kuasa di seluruh negara .

Melalui saman pemula itu, tujuh plaintif meminta perisytiharan bahawa Perkara 14 (1) (b) Perlembagaan Persekutuan dibaca dengan Jadual Kedua, Bahagian II, bahagian 1 (b) dan 1 (c) bersifat diskriminasi dan melanggar Artikel 8.

Saman itu menuntut perisytiharan bahawa anak-anak kepada ibu-ibu Malaysia ini juga harus diberi hak untuk kewarganegaraan.

Ini juga bertujuan untuk memaksa kerajaan dan agensinya untuk mengeluarkan dokumen kewarganegaraan, termasuk kad pengenalan dan pasport, kepada semua anak yang dilahirkan di luar Malaysia, yang ibunya adalah rakyat Malaysia.

Lihat Komen
ADS