Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Raja-Raja Melayu: Tiada keperluan lanjutkan darurat lepas 1 Ogos
Diterbitkan:  Jun 16, 2021 12:35 PM
Dikemaskini: 1:01 PM

Raja-raja Melayu sependapat bahawa tiada keperluan meneruskan darurat selepas 1 Ogos.

Perkara itu dimaklumkan dalam kenyataan yang dikeluarkan selepas Raja-Raja Melayu menghadiri perbincangan khas di Istana Negara petang tadi.

Kenyataan itu hadir berasingan dengan kenyataan Yang di-Pertuan Agong yang menzahirkan pandangan bahawa persidangan Parlimen perlu diadakan secepat mungkin.

"Tidak ada keperluan meletakkan negara di bawah pemerintahan darurat selepas 1 Ogos 2021," kata kenyataan yang dikeluarkan oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja.

"Raja-Raja Pemerintah berpendirian pentingnya dihormati mekanisme semak dan imbang antara cabang eksekutif, cabang legislatif dan cabang kehakiman untuk menjamin berlakunya tadbir urus yang telus, berintegriti dan bertanggungjawab kepada rakyat terutama dalam hal-ehwal kewangan dan perbelanjaan negara

"Dalam semangat tersebut Raja-raja Pemerintah menyokong dan senada dengan pendirian Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong yang menitahkan agar parlimen segera bersidang," tambah kenyataan itu.

Raja-Raja Melayu turut sependapat berhubung enam perkara lain iaitu:

  • Nyawa dan kehidupan rakyat wajib diutamakan mengatasi perkara-perkara lain,
  • Program vaksinasi hendaklah dipertingkatkan dengan mengurangkan kerenah birokrasi agar mencapai imuniti kelompok 80 peratus secepat mungkin.
  • Program menangani wabak Covid-19 hendaklah difahami serta mendapat sokongan rakyat tanpa menimbulkan sebarang keraguan dan tanpa dianggap mempunyai sebarang muslihat politik yang terselindung.
  • Kaedah menangani wabak Covid-19 hendaklah bersifat inklusif.
  • Suhu politik yang semakin panas wajib diredakan.
  • Pentingnya sebuah kerajaan yang stabil dan mendapat keyakinan serta mendapat sokongan majoriti rakyat.


    Kenyataan penuh
     


Lihat Komen