Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Agong ada kuasa panggil parlimen bersidang ketika darurat - Rais
Diterbitkan:  Jun 19, 2021 6:41 PM
Dikemaskini: 10:41 AM

Sepaker Dewan Negara Rais Yatim berpendapat bahawa Ordinan Darurat 2021 memberi Agong kuasa untuk memanggil Parlimen bersidang.

Rais, yang juga Ketua Bersatu Negeri Sembilan, memetik Seksyen 14 (1) (b) ordinan itu yang menyatakan: "Parlimen hendaklah dipanggil, diprorog dan dibubarkan pada suatu tarikh sebagaimana yang difikirkan sesuai oleh Yang di-Pertuan Agong".

"Kuasa ini diturunkan terus kepada baginda. Penurunan kuasa selesai," katanya di Twitter hari ini.

Pendapat Rais berbeza dengan kerajaan yang dipimpin oleh presiden partinya, Muhyiddin Yassin - yang dilihat akan membuka Dewan Rakyat pada bulan September.

Dalam satu kenyataan pada hari Rabu, Agong tidak menyatakan tarikh tertentu untuk Parlimen bersidang semula, tetapi mengatakan ia harus dilakukan "sesegera mungkin".

Pejabat Perdana Menteri mengambil maklum terhadap pandangan Agong itu dan berjanji akan bertindak sesuai dengan Perlembagaan Persekutuan.

Seksyen 40 (1) Perlembagaan Persekutuan menyatakan bahawa Agong bertindak atas nasihat kerajaan.

Peguam New Sin Yew, berpendapat bahawa ini juga berlaku untuk kuasa darurat, yang bermaksud bahawa Agong masih harus menunggu nasihat kerajaan sebelum memanggil Parlimen bersidang.

"Di bawah Perlembagaan Persekutuan, Agonf tidak boleh bertindak atas kehendaknya sendiri.

"Peraturan darurat mesti dibaca dengan Artikel 40 (1) Perlembagaan Persekutuan," kata New kepada Malaysiakini.

Sementara itu, peraturan mesyuarat parlimen juga memberikan kuasa kepada perdana menteri sebagai ketua Dewan, untuk menetapkan tarikh Parlimen harus bersidang kembali dengan pemberitahuan awal 28 hari sebelumnya.

Garis waktu bulan September untuk pembukaan semula Parlimen didasarkan pada kenyataan Muhyiddin bahawa Dewan Rakyat akan bersidang setelah negara mencapai Fasa Tiga dari pelan pemulihan Covid-19.

Malaysia akan memasuki Fasa Tiga apabila mempunyai kurang daripada 2,000 kes Covid-19 harian, kapasiti Unit Rawatan Rapi pada tahap sederhana, dan dengan 40 peratus populasi sudah diberi vaksin lengkap.

Kerajaan menganggarkan bahawa sasaran tersebut akan tercapai pada bulan September.

Lihat Komen
ADS