Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Masalah bekalan oksigen, kekurangan petugas di ICU Hospital Labuan sedang ditangani

Petugas kesihatan, khususnya di unit rawatan rapi (ICU) Hospital Labuan berdepan kesukaran di tengah-tengah penularan varian Delta wabak Covid-19, yang pada bulan ini sahaja telah meragut 68 nyawa di sana.

Malaysiakini difahamkan wad ICU - yang kekurangan tenaga kerja - berdepan "masalah oksigen" memandangkan hospital itu tidak dibina untuk berdepan penularan wabak seumpama itu.

Menurut sumber yang tahu akan keadaan itu, kedengaran penggera yang menandakan bekalan oksigen yang rendah kedengaran di ICU.

Difahamkan ini kerana infrastruktur hospital tidak membolehkan alat vacuum-insulated evaporator, yang berfungsi menyimpan bekalan cecair oksigen, untuk digunakan "kerana isu tekanan".

Sebaliknya, kakitangan harus secara rutin menggantikan tangki oksigen setiap 45 minit, untuk memastikan pesakit yang bergantung pada alat pernafasan mendapat bekalan yang diperlukan.

Difahamkan yang pasukan kakitangan ICU yang kecil juga tidak dapat menampung jumlah pesakit Covid-19 yang ramai, selain "berpeluh" kerana perlu mengenakan alat pelindung peribadi (PPE) dengan pendingin hawa yang rosak.

Gambar-gambar yang didakwa memaparkan ICU hospital itu yang dilihat Malaysiakini menunjukkan setiap pesakit dipisahkan dengan tirai plastik lutsinar.

Sumber-sumber yang bercakap dengan Malaysiakini enggan nama didedahkan memandangkan mereka tidak dibenarkan bercakap dengan media.

'Masalah selesai, lebih banyak bantuan akan tiba'

Ketika dihubungi Malaysiakini berkenaan perkara ini, Pengarah Kesihatan Labuan Dr Ismuni Bohari berkata, petugas kesihatan tambahan telah dikerahkan untuk membantu Labuan menangani penularan wabak.

Ditanya apakah masalah jumlah petugas dan oksigen di ICU telah ditangani, dia berkata: "Sudah (ditangani)."

Katanya lagi, peningkatan kes yang ketara menjadikan Labuan sebagai kawasan dengan kadar kes tertinggi di Malaysia, dengan 4,734 kes per 100,000 penduduk.

"Peningkatan kes dipercayai disebabkan varian Delta yang pertama kali dikesan di Labuan pada 23 April 2021," katanya lagi.

Mengesahkan dakwaan sumber berkenaan kesukaran dihadapi Hospital Labuan susulan pertambahan pesakit, Ismuni berkata berkata kapasiti asal hospital itu adalah 122 katil bagi rawatan am, dengan hanya empat katil ICU dan 20 katil biasa untuk rawatan Covid-19.

"Bagaimanapun dengan pengaktifan pelan kontigensi Hospital Labuan, bilangan ini telah ditambah dengan peningkatan katil ICU sehingga 23 katil dan 183 katil telah disediakan untuk rawatan Covid-19.

"Pada 19 Jun 2021, penggunaan katil ICU adalah sebanyak 14 katil (60 peratus) manakala penggunaan katil rawatan Covid-19 adalah sebanyak 159 katil (87 peratus)," jelasnya.

Hospital medan beroperasi minggu depan

Ismuni berkata, Kementerian Kesihatan (KKM) merancang membuka hospital medan di Dewan Perbadanan Labuan dengan kerjasama pihak Angkatan Tentera Malaysia dan Mercy Malaysia.

Katanya, hospital medan itu akan menempatkan 100 katil, termasuk empat katil ICU dan dijangka mula beroperasi pada 26 Jun.

"Pembangunan hospital medan ini akan mempertingkatkan keupayaan rawatan di Labuan sehingga 48 peratus daripada kekuatan sedia ada.

"Di samping itu, PKRC Institut Latihan Perindustrian dengan kapasiti 299 katil akan dikekalkan bagi kuarantin dan rawatan Covid-19 berisiko rendah, manakala Covid-19 Assessment Centre (CAC) juga terus diperkukuhkan bagi pemantauan kes-kes yang menjalani program kuarantin di rumah," katanya.

Terdahulu Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Khairy Jamaluddin memaklumkan Labuan akan diberikan bekalan vaksin Covid-19 yang secukupnya untuk vaksinasi seluruh penduduk dewasa pada pertengahan bulan depan.

Ismuni memberitahu Malaysiakini bahawa Labuan akan menjadi kawasan pertama di Malaysia yang memberi vaksin kepada sekurang-kurangnya 80 peratus atau sekitar 72,400, penduduk yang layak.

"Kami telah mengembangkan program yang sesuai untuk memastikan program vaksinasi ini dapat diselesaikan dalam enam hingga lapan minggu.

"Kapasiti vaksinasi yang ada sebanyak 1,200 dos sehari akan ditingkatkan menjadi 3,000 dos sehari, melalui pembukaan dua lagi pusat pemberian vaksin (PPV) Kolej Matrikulasi Labuan dan PPV Taman Mutiara Labuan.

"Keupayaan vaksinasi ini akan terus meningkat hingga 5,000 dos sehari dengan pembukaan dua pusat tambahan, PPV pandu lalu dan juga pasukan vaksinasi bergerak yang akan dilaksanakan dalam waktu dekat," katanya.

Rt lebih tinggi dari kadar nasional

Ismuni memaklumkan, sejak 1 Mei hingga 19 Jun, Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan Labuan telah menyaring 42,687 individu dan melakukan 36,198 ujian.

Katanya, penguatkuasaan perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD) di Labuan telah mengetatkan kawalan masuk, termasuk keperluan ujian RT-PCR negatif tiga hari sebelum memasuki wilayah persekutuan itu.

"Kawalan juga menunjukkan petanda positif dengan nilai Rt (kadar kebolehjangkitan) berkurang daripada 2.3 kepada 1.0," katanya lagi.

Kadar lebih daripada 1.0 menunjukkan kemungkinan penularan wabak yang tinggi. Kadar 2 menandakan secara purata, setiap kes akan mewujudkan dua lagi kes baru.

Pada 19 Jun lalu, KKM memaklumkan kadar Rt nasional adalah 0.96, dengan Johor menjadi negeri tertinggi dengan kadar 0.99.

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS