Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Kaji selidik: Rasuah tingkatkan kos bina hartanah hingga 15 peratus
Diterbitkan:  Jun 22, 2021 4:41 PM
Dikemaskini: 10:10 AM

Satu kaji selidik baru mendapati rasuah bukan sahaja meningkatkan harga barangan, tetapi menyebabkan kenaikan kos pembangunan hartanah sebanyak 14.8 peratus, yang akhirnya perlu ditampung pembeli.

Laporan “Corruption in the Supply Chain: Forms and Impacts on Consumers” menampilkan kaji selidik mendalam tentang bagaimana rasuah dalam tiga sektor iaitu pembinaan, penjagaan kesihatan dan pendidikan berlaku.

Laporan itu disediakan oleh Institut Hal Ehwal Demokrasi dan Ekonomi (Ideas) dan Coalition for Business Integrity (CBI).

Dalam webinar pelancaran laporan itu, pengurus penyelidik Ideas, Sri Murniati Yusuf berkata objektif kaji selidik antara lain untuk menunjukkan bagaimana rasuah dapat menaikkan harga barangan dan perkhidmatan.

"Ratusan orang dalam industri diwawancara tahun lalu. Selain itu, CBI dan Ideas mengadakan rundingan meja bulat tertutup selama dua hari dengan pemegang taruh daripada tiga sektor ini.

"Dalam sektor pembinaan, rasuah berlaku terutama ketika di peringkat pembangunan dan sebelum pembangunan.

"Kami mengenal pasti sejumlah pemberian rasuah untuk melancarkan penukaran tanah dan penghantaran pelan pembinaan. Rasuah dan habuan diberi untuk mendapatkan pekerja asing dan sijil penyiapan," katanya.

Katanya lagi, salah seorang yang diwawancara berkata jumlah itu boleh merangkumi kira-kira empat hingga 14 peratus kos untuk pembangunan hartanah.

"Ketika peringkat pembangunan, rasuah diberi untuk mendapatkan kontrak daripada pemaju utama, pekerja asing dan ketika pemerolehan bahan pembinaan. Pelbagai pembayaran (akan dibuat) untuk mendapatkan sijil penyiapan," katanya.

Laporan itu pula menyatakan, orang yang diwawancara menyatakan pemaju utama boleh mengupah kira-kira 200 pekerja asing untuk sesebuah projek dan merasuah antara RM500 hingga RM1,000 kepada agensi terlibat untuk mendapatkan kontrak lima tahun untuk pekerja.

Laporan itu menunjukkan satu kes melibatkan projek pembangunan bernilai RM100 juta, dengan sejumlah RM29.58 juta (14.8 peratus) daripada kos melibatkan bayaran rasuah, termasuk RM6 juta untuk permohonan permit.

Ia turut menunjukkan satu lagi kes, di mana sejumlah RM29.08 juta rasuah diberikan untuk memudahkan perjalanan projek pembangunan hartanah bernilai RM500 juta. Jumlah itu merangkumi 5.8 peratus daripada jumlah kos keseluruhan.

Laporan itu juga menyatakan ramai yang diwawancara - walaupun maklum terbeban dengan amalan rasuah yang berlaku - tidak menganggap "hiburan" dan belanja makanan sebagai satu bentuk rasuah, tetapi hanyalah kos perniagaan.

"Contoh pemerasan yang banyak disebut orang yang ditemu duga adalah gangguan terhadap pekerja asing. Pihak berkuasa - termasuk anggota polis - akan menggangu pekerja asing dengan cara menahan mereka selama dua minggu atau lebih jika rasuah tidak dibayar.

"Taktik seperti ini digunakan untuk menakutkan kontraktor dan ahli perniagaan - dan menyebabkan kerugian dengan mengganggu operasi mereka - yang kemudiannya perlu patuh terhadap permintaan itu. Ini biasa berlaku terutama di tapak pembinaan," menurut laporan itu.

Dalam sektor penjagaan kesihatan, Sri Murniati berkata orang yang ditemu duga membangkitkan kebimbangan berhubung kemungkinan pemberian insentif tidak wajar untuk pengamal perubatan mempreskripsikan produk perubatan tertentu.

"Akibatnya, mereka akan diberi insentif oleh syarikat farmaseutikal. Pesakit seperti kita, ada kala tanpa membuat kajian sendiri, akan ikut apa saja yang diberikan kepada kita," katanya lagi.

Laporan itu turut membangkitkan insiden di mana pengendali tadika memberi rasuah untuk mendapatkan lesen atau syarikat merasuah sekolah untuk mendapat surat sokongan agar menang bidaan untuk mengendalikan kantin sekolah.

Laporan itu menggesa kerajaan untuk mengutamakan pembaharuan pemerolehan awam dengan merangka Akta Pemerolehan Kerajaan (APK) dengan mekanisme semakan dan piawaian ketelusan.

Ia juga menggesa pewartaan perundangan berkenaan kebebasan maklumat dan agar Akta Perlindungan Pemberi Maklumat dipinda untuk meningkatkan keyakinan orang ramai untuk tampil ke depan jika memiliki maklumat berkenaan dakwaan rasuah.

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS