Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Jabatan Tenaga Kerja sahkan serbuan di kilang elektronik, sedang siasat
Diterbitkan:  Jun 22, 2021 5:50 PM
Dikemaskini: 9:50 AM

Jabatan Tenaga Kerja (JTK) mengesahkan serbuan dilakukan di sebuah kilang elektronik, yang menjadi subjek laporan berita oleh Sunday Mirror mengenai eksploitasi pekerja.

Bagaimanapun, kementerian itu mengatakan bahawa serbuan itu tidak berlaku pada 18 Jun seperti yang dilaporkan tetapi dilakukan pada bulan Mei.

"Sebarang kesalahan yang direkodkan ketika itu sedang diambil tindakan oleh JTK Johor selaras dengan peruntukan undang-undang yang dikuatkuasakan oleh jabatan," kata jabatan itu dalam kenyataan media hari ini.

"Tindakan akan diambil ke atas sebarang kesalahan yang dicatat semasa (serbuan) oleh Jabatan Tenaga Kerja Johor mengikut undang-undang," kata Jabatan Tenaga Kerja dalam satu kenyataan hari ini.

Laporan Sunday Mirror mendakwa ATA Industrial (M) Sdn Bhd (ATA) mengeksploitasi pekerja warga asing, antara lain, dengan memaksa pekerja untuk bekerja lebih masa melebihi had undang-undang.

ATA adalah kontraktor yang merupakan sebahagian syarikat gergasi elektronik UK Dyson Limited. Pengurus kanan ATA Jivanadham Kavita Kaushaliya telah menafikan tuduhan yang dibuat oleh Sunday Mirror.

Jivanadham berkata syarikat itu mematuhi undang-undang dan peraturan buruh tempatan yang berkaitan dengan pengambilan pekerja, gaji minimum, tempoh kerja lebih masa dan dasar tidak mengambil kanak-kanak sebagai pekerja.

"Kumpulan ini menyediakan penginapan asrama untuk semua pekerja asing yang memenuhi piawaian buruh antarabangsa dan diaudit secara berkala oleh pelanggan multinasional utama dan peruncit global kami," tambah Jivanadham.

Dyson telah mengeluarkan kenyataan yang menafikan tuduhan tersebut dan telah berikrar untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap Sunday Mirror.

Dyson mengatakan pihaknya kerap mengaudit kontraktornya dan yakin bahawa tuduhan dan gambar dalam laporan Sunday Mirror tidak berkaitan dengan rangkaiannya.

"Kami meletakkan tanggungjawab ke atas pembekal kami dan jika terdapat pelanggaran terhadap dasar kami, kami akan segera mengambil tindakan pembetulan.

"Kami mengendalikan rantaian bekalan global yang beretika dan bertanggungjawab. Pendekatan kami berasaskan peningkatan berterusan, dan kami mengambil tindakan jika kami melihat ada bukti kesalahan dilakukan," kata jurucakap Dyson.

Lihat Komen
ADS