story images
story images
mk-logo
Berita
Hutan Som: Habitat gajah, tapir atau tapak lombong kerabat Pahang?

Satu lagi projek perlombongan sedang menunggu kelulusan daripada Jabatan Alam Sekitar untuk menggali bijih besi di kawasan hutan simpan yang sudah dinyahwartakan di Kuala Tembeling, Jerantut, Pahang.

Projek berkenaan mempunyai dua persamaan dengan operasi perlombongan kontroversi di Tasik Chini yang dilaporkan sebelum ini - kedua-duanya berkaitan kerabat diraja Pahang dan telah melantik Golden Prosperous Resources Sdn Bhd sebagai kontraktor.

Menurut laporan penilaian kesan alam sekitar (EIA) yang dikeluarkan untuk pameran awam pada akhir bulan lalu, projek di Kuala Tembeling itu melibatkan keluasan tanah 60.75 hektar, bersamaan sekitar 113 padang bola.

Tapak projek itu akan memberi kesan terhadap kawasan hutan Central Forest Spine, yang akan ditebang dan digali jika EIA diluluskan.

Cental Forest Spine (CFS) merupakan gugusan kompleks hutan yang diklasifikasi dalam Rancangan Fizikal Negara (RFN) sebagai kawasan sensitif alam sekitar di Semenanjung Malaysia yang mempunyai nilai ekosistem dan jumlah hidupan liar yang tinggi.

Kawasan CFS ini merentasi lapan buah negeri iaitu Kedah, Perak, Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor, Negeri Sembilan dan Selangor.

Ia terdiri dari empat kompleks hutan utama iaitu Banjaran Titiwangsa-Banjaran Bintang-Nakawan, Taman Negara-Banjaran Timur, Pahang Tenggara, Chini dan Tasik Bera, dan Taman Endau Rompin- Rizab Hidupan Liar Kuang.

Tapak projek itu terletak di tengah-tengah Hutan Simpan Som merupakan habitat rayau yang terkenal untuk beberapa hidupan liar dilindungi, seperti Tapir Asia, Gajah Asia, Beruang Matahari Malaya, dan Harimau Malaya yang terancam teruk.

Menurut laporan EIA, projek ini akan "memberi kesan secara signifikan, kekal, dan tidak dapat dipulihkan" terhadap habitat hidupan liar tersebut.

Perkara ini akan terjadi di kawasan itu walaupun dilakukan pemulihan dan penambakan selepas aktiviti perlombongan selesai.

Pajakan lombong milik kerabat diraja Pahang

Laporan EIA menyatakan pajakan perlombongan untuk Lot 15523 dimiliki Tengku Nong Fatimah Sultan Ahmad Shah, adik kepada Yang di-Pertuan Agong dan Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah.

Golden Prosperous Resources dilantik oleh Tengku Nong Fatimah melalui Sutera Manja Sdn Bhd.

Data daripada Suruhanjaya Syarikat Malaysia (CCM) menunjukkan Tengku Nong Fatimah sebagai pemegang saham terbesar Sutera Manja, dengan pegangan 70 peratus kepentingan dalam firma itu.

Sementara itu, tiga pemegang saham lain masing-masing memegang 10 peratus saham. Ketiga-tiganya ialah anggota kerabat diraja Pahang.

Bagi Golden Prosperous Resources, data CCM menunjukkan syarikat tersebut didaftarkan pada tahun 2014 sebagai syarikat "perlombongan dan perdagangan bauksit".

Setelah Indonesia berhenti mengeksport bauksit pada 2014, industri perlombongan bauksit di Malaysia telah berkembang pesat, mengisi jurang permintaan dalam pasaran.

Gambar fail, lombong bauksit di Kuantan.

Kegiatan perlombongan bauksit di Kuantan, Pahang yang meluas sebelum ini telah menimbulkan kebimbangan terhadap pencemaran udara dan air.

Pada 2016, kerajaan persekutuan campur tangan serta melarang perlombongan dan eksport bauksit. 

Larangan itu ditarik kembali pada tahun 2019 setelah prosedur operasi standard (SOP) yang lebih ketat ditetapkan oleh kerajaan persekutuan.

Ketika dihubungi, Golden Prosperous Resources berkata isu-isu mengenai pemuliharaan dan perlindungan hidupan liar telah dinyatakan dengan jelas oleh perunding profesional mereka dalam laporan EIA.

"Laporan EIA yang dipamerkan secara teliti dan dihantar ke Jabatan Alam Sekitar untuk kelulusan. 

"Pelaksanaan bagi operasi melombong ini akan dipantau oleh pihak kerajaan dari semasa ke semasa," kata syarikat itu ringkas dalam jawapan bertulis kepada Malaysiakini.

Pajakan perlombongan tamat Julai ini

Perlu diperhatikan, pajakan perlombongan yang dipegang oleh Tengku Nong Fatimah hanya sah selama dua tahun.

Dokumen lampiran dalam EIA menunjukkan pajakan telah diluluskan pada 25 Julai 2019, dan dijangka akan berakhir pada 24 Julai 2021.

Bagaimanapun, mengikut garis masa pelaksanaan projek, pembersihan tapak akan bermula pada bulan Ogos 2021 sebelum memulakan operasi perlombongan. Pasca pemulihan dijadualkan berakhir pada bulan Jun 2023.

Dengan kata lain, walaupun lesen perlombongan yang ada akan berakhir pada bulan Julai tahun ini, rancangan perlombongan bijih besi hanya akan bermula sebulan kemudian pada bulan Ogos.

Untuk rekod, tanah dan perlombongan berada di bawah bidang kuasa kerajaan negeri, jadi pajakan perlombongan diluluskan oleh kerajaan negeri Pahang.

Nyah warta status hutan simpan

Tapak projek seluas 60.75 hektar itu merupakan sebahagian dari Hutan Simpan Som, yang juga merupakan bahagian dari hutan dilindungi Central Forest Spine yang dikategorikan sebagai "kawasan sensitif terhadap alam sekitar" dalam Rancangan Fizikal Negara (RFN).

Walaupun begitu, kerajaan negeri Pahang pada 18 Jun 2019, mengeluarkan kawasan tanah projek berkenaan dari Hutan Simpan Som melalui pewartaan. 

Tapak lombong yang dicadangkan kini menjadi sebidang "tanah negeri" dan bukan lagi hutan simpan.

Kategori guna tanah di tapak projek sekarang adalah 'hutan'.

Walau bagaimanapun, guna tanah semasa masih belum diubah dalam Rancangan Tempatan Daerah Jerantut 2011-2020 yang telah diwartakan.

Menurut laporan EIA, rancangan tempatan semasa menyatakan bahawa penggunaan tanah di tapak projek masih disenaraikan sebagai "hutan."

Hutan semula jadi di Semenanjung Malaysia telah dikurangkan secara beransur-ansur dan semakin buruk sejak beberapa dekad lalu sebagaimana yang ditunjukkan dalam grafik di bawah yang diambil daripada Rancangan Fizikal Negara 2.

Kawasan hutan perlindungan di Semenanjung Malaysia merosot sejak berdekad lalu.

Ketika hutan diteroka untuk dibuat jalan, ladang atau projek lain, habitat semula jadi hidupan liar terpecah-pecah menjadi serpihan.

Ini membawa kepada lebih banyak konflik antara haiwan liar dan manusia.

Contohnya, harimau dan gajah mungkin masuk ke kawasan kebun atau kawasan perumahan manusia. 

Tapir, kera, monyet, dan hidupan liar lain mungkin terbunuh oleh kenderaan bermotor ketika habitat mereka dibuat jalan raya.

Laporan EIA menekankan pembukaan tanah hutan untuk aktiviti perlombongan boleh menyebabkan kesan langsung dan tidak langsung terhadap hidupan liar kerana "kehilangan total" habitat.

Gambar fail, harimau maut dilanggar.

"Untuk hidupan liar bersaiz besar dan sederhana, mereka terpaksa melarikan diri ke habitat lain yang tersedia atau kawasan hutan berdekatan untuk mencari makan dan berteduh. 

"Untuk mamalia kecil, kawasan makan mereka akan hilang secara kekal.

"Bagi projek perlombongan ini, memandangkan kebanyakan kawasan kerja dan kawasan perlombongan yang dicadangkan berada di kawasan Hutan Simpan Som, dampaknya akan sangat besar," kata laporan itu.

Menurut Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010, haiwan liar yang terancam dan dilindungi dikategorikan kepada dua tahap perlindungan - dilindungi dan dilindungi sepenuhnya.

Tapir dikenalpasti mendiami Hutan Som.

EIA untuk projek perlombongan meliputi tinjauan dan rakaman keadaan alam sekitar di situ.

Pasukan penyelidik menyenaraikan spesies yang dilindungi sesuai dengan Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010, serta Daftar Merah Haiwan Terancam untuk Semenanjung Malaysia dan juga Senarai Merah Spesies Terancam oleh International Union for Conservation of Nature (IUCN).

Tinjauan itu mencatatkan 15 mamalia yang dilindungi sepenuhnya dan 11 mamalia yang dilindungi di kawasan itu.

15 mamalia yang dilindungi sepenuhnya ialah Gajah Asia, Tapir Asia, Beruang Matahari Malaya, Harimau Malaya, Harimau Kumbang (Panthera pardus), Harimau Dahan (Neofilis nebulosa), Kucing Batu (Prionailurus bengalensis), Tupai Muncung Bsar, Ungka Tangan Putih, Kerawak Hitam (Ratufa bicolor), Kerawak Putih-Kuning (Ratufa affinis), Tupai Gading, Musang Jebat (Viverra zibetha), Bambun Ekor Pendek (Cerpelai Herpestes brachyurus) dan Rusa Sambar.

Laporan itu menyatakan spesies terpenting yang memerlukan perhatian terperinci ialah gajah dan tapir. 

Ini kerana mereka dijumpai sering berkeliaran di kawasan hutan itu.

"Berdasarkan taburan najis - tanpa mengira individu dan usia najis - dan kebanyakan jejak kaki untuk tapir yang didokumentasikan semasa tinjauan lapangan kami, maka dapat disimpulkan bahawa gajah dan tapir adalah haiwan biasa di kawasan proyek yang dicadangkan itu."

Bagi burung, 117 burung dilindungi sepenuhnya dan 13 burung dilindungi turut ditemui di hutan itu. 

Untuk tumbuh-tumbuhan, tidak ada spesies yang terancam dalam Senarai Merah tempatan atau antarabangsa.

Jangkaan konflik hidupan liar-manusia

Lebih daripada 90 peratus atau 55.14 hektar dari 60.75 hektar tapak projek akan dibersihkan sementara selebihnya 5.61 hektar akan dibiarkan sebagai kawasan penampan.

Tinjauan menunjukkan bahawa terdapat tanda-tanda tempat gajah makan di kawasan berhampiran.

"Ini mungkin disebabkan oleh fakta bahawa kawasan di bahagian barat dari projek yang dicadangkan telah diubah menjadi kawasan ladang seperti kelapa sawit dan pisang.

"Pembukaan dan penebangan hutan lebih lanjut dijangkakan akan memaksa spesies yang dilindungi ini bergerak lebih jauh dari kawasan itu dan beberapa individu mungkin terdampar ke kawasan kebun dan perumahan yang berdekatan.

"Ini adalah kes biasa (typical) konflik gajah-manusia yang perlu dielakkan," kata laporan itu.

Laporan itu menekankan bahawa Hutan Simpan Som dilaporkan menjadi habitat rayau untuk spesies Harimau Malaya yang terancam pupus dalam senarai IUCN serta beberapa mamalia besar dan penting seperti gajah, tapir dan beruang matahari serta burung.

Kawasan garam hidupan liar

Tempat sumber semula jadi untuk haiwan liar "menjilat garam" (salt-lick) juga ditemui oleh pasukan tinjauan, yang terletak kurang dari 500 meter ke selatan dari lokasi yang dicadangkan.

Kawasan garam itu merupakan tempat hidupan liar memperoleh zat yang diperlukan seperti kalsium, magnesium, natrium dan zink. 

Sumber penting untuk haiwan di Hutan Simpan Som ini berhadapan kehilangan fungsi sepenuhnya jika projek perlombongan itu lulus.

"Dari kajian perangkap kamera, tempat menjilat garam sering dikunjungi oleh kawanan gajah besar, tapir, dan juga beruang matahari."

Kawasan jilat garam adalah tempat yang kaya dengan mineral penting di mana haiwan kerap berkunjung untuk menjilat tanah atau air di situ untuk menambah zat mereka.

"Tempat menjilat garam semulajadi bertindak sebagai sumber utama bagi pelbagai spesies hidupan liar yang penting di Hutan Simpan Som.

"Segala gangguan yang berlaku di sekitar kawasan akan mengubah struktur geologi kawasan tersebut dan seterusnya akan merosakkan kualiti kawasan jilat garam itu," kata laporan itu.

'Kehilangan habitat kekal selamanya'

Laporan EIA tersebut disediakan oleh Garuda Samudera Consultancy And Services Sdn Bhd, yang dilantik oleh Golden Prosperous Resources.

Selain mengkaji kesan terhadap kawasan hidupan liar dan hutan, EIA juga melihat aspek lain seperti potensi pencemaran udara, pencemaran bunyi, serta pencemaran air di permukaan dan air bawah tanah.

Ia mencadangkan rancangan mitigasi untuk mengurangkan kemungkinan kesan alam sekitar.

Pun begitu, untuk kehilangan habitat dan kepupusan spesis, laporan itu mengatakan sukar untuk mencadangkan langkah-langkah mitigasi yang berkesan.

Gambar fail, Harimau Dahan (Neofilis nebulosa).

"Pembersihan kawasan dan pembentukan kawasan perlombongan adalah dua aktiviti utama. 

"Kesan terpenting adalah kehilangan habitat yang tidak dapat dikurangkan dan kehilangan akan kekal.

"Untuk kepupusan spesis, tidak ada mitigasi yang tepat dapat dilakukan kecuali mencuba meminimumkan kawasan kerja dan memastikan tidak ada pergerakan haiwan liar di dalam kawasan kerja itu.

"Kehadiran spesies hidupan liar yang terancam perlu dilaporkan ke Jabatan Hidupan Liar dan Taman Negara Semenanjung Malaysia (Perhilitan) di mana tindakan yang wajar dapat dilakukan."

Gambar fail, Kucing Batu (Prionailurus bengalensis).

Sebagai salah satu kaedah mitigasi mengurangkan kesan terhadap alam sekitar yang dicadangkan, laporan EIA mencadangkan Pelan Pengurusan Hidupan Liar (WMP) perlu dibuat dan diserahkan kepada Perhilitan untuk kelulusan.

WMP perlu memberikan pemantauan hidupan liar secara terperinci dan menangani masalah yang berkaitan.

Ia juga menyarankan pihak pemilik projek untuk menubuhkan Pasukan Pemantauan Hidupan Liar (WMT) dengan pengawasan Perhilitan untuk mengurus semua situasi yang melibatkan hidupan liar, termasuk konflik hidupan liar.

Laporan itu juga menekankan kontraktor, pekerja dan penduduk kampung  dilarang melakukan kegiatan pemburuan haram terhadap haiwan liar di kawasan itu.

Sebagai gantinya, mereka perlu dididik dalam sesi taklimat berkala tentang pemeliharaan hidupan liar, undang-undang yang melarang pemburuan haram dan hukuman kerana melanggar undang-undang.

Pembersihan tapak secara berperingkat untuk mengurangkan bahaya

Laporan itu juga mencadangkan beberapa strategi pengurusan konflik hidupan liar-manusia.

"Konflik antara hidupan liar dan manusia dapat dikurangi secara berbeza dengan membimbing mereka kembali ke kawasan hutan atau melakukan pemindahan lokasi (translokasi).

"Translokasi adalah pilihan terakhir dan hanya berlaku untuk konflik dengan hidupan liar yang tidak dapat dikurangi di daerah konflik.

Gambar fail, Beruang Matahari.

"Penilaian awal sangat penting kerana mengurangkan kesan alam sekitar dengan kaedah translokasi hidupan liar sangat mahal."

Selain itu, ia menyarankan agar pembersihan lokasi untuk membuat jalan, pembalakan, perlombongan dan mendirikan tempat pemprosesan dilakukan secara fasa demi fasa, dan berdasarkan petunjuk khusus untuk meminimumkan dampak terhadap hidupan liar.

"Bermula dari titik masuk di sempadan barat, yang dekat dengan pinggir hutan, bergerak di tengah-tengah kawasan yang dicadangkan dan diikuti dengan fasa pembukaan ke arah utara, timur laut, timur, tenggara, dan selatan sempadan projek.

"Ini akan memastikan mamalia besar, terutama gajah dan tapir, bergerak secara beransur-ansur dari lokasi yang dicadangkan dan bergerak keluar dari kawasan yang dicadangkan ke arah kawasan hutan yang tebal.

"Kaedah secara beransur-ansur ini akan mengalihkan pergerakan mamalia besar dari laluan normal ke laluan yang baru dibuat dan tidak akan menghentikan mereka daripada mengunjungi tempat semulajadi menjilat garam kira-kira 500 meter di selatan sempadan projek."

Untuk mengelakkan gajah masuk ke kawasan perlombongan atau ladang berdekatan, laporan EIA juga mencadangkan agar pemilik projek dan pemilik ladang membina parit kering dengan kedalaman sekurang-kurangnya enam kaki (1.8 meter) dan pagar elektrik, setelah perbincangan terperinci dengan Perhilitan.

"Tujuan pagar elektrik tidak hanya sebagai penghalang fizikal tetapi lebih sebagai halangan psikologi tetapi penting untuk diingat bahawa gajah yang bersungguh-sungguh biasanya akan dapat mencari laluannya.

"Keberkesanan pagar elektrik dan parit tidak hanya bergantung pada reka bentuk, pembinaan, dan voltan tetapi harus dilengkapi dengan perlindungan dan penyelenggaraan aktif.

"Ini bererti Pasukan Pemantauan Hidupan Liar (WMT) perlu ditugaskan untuk melakukan kerja-kerja penyelenggaraan dan untuk memantau pergerakan hidupan liar di kawasan perlombongan dan tempat kerja."

Mengurangkan hakisan tanah

Aktiviti penebangan hutan dan penggalian boleh menyebabkan kesan persekitaran lain seperti pencemaran habuk, peningkatan larian air dan hakisan tanah.

"Pembukaan tanah dan kerja tanah untuk projek yang dicadangkan bagi tujuan perlombongan dapat mendedahkan kawasan besar tanah kosong terkena hakisan.

"Peningkatan kadar mendapan di sungai berdekatan tidak hanya dapat menurunkan kapasiti saliran sungai tetapi juga dapat memusnahkan habitat hidupan air.

"Pengurangan kapasiti saliran dapat mengakibatkan terjadinya banjir kilat," kata laporan itu.

Jumlah mendapan tahunan yang akan mengalir ke sungai, menurut laporan itu dalam keadaan terburuk, adalah sebanyak 14,400 tan metrik atau 14.4 juta kilogram.

Ia mencadangkan pembinaan beberapa kemudahan bagi mengurangkan kesan ini, seperti kolam mendapan dan kemudahan pengurusan kumbahan untuk memastikan air yang mengalir ke sungai memenuhi piawaian SOP tertentu.

'Tiada kesan signifikan' terhadap sumber air

Secara amnya, permukaan air dari tapak projek akan mengalir ke anak sungai Sungai Kerak. 

Sungai Kerak melintasi 6km ke utara dan mengalir ke utara ke Sungai Pahang.

Terdapat kawasan pengambilan air di Loji Air Batu Embun yang terletak di hilir Sungai Pahang.

Air permukaan dari tapak projek itu akhirnya akan mengalir ke Sungai Pahang di mana terdapat loji rawatan air di hilirnya.

Laporan EIA itu mendakwa bahawa dijangkakan tidak ada kesan yang signifikan terhadap kualiti air di loji rawatan air yang terletak 20km dari tapak itu kerana rancangan mitigasi mengurang kesan projek lombong tersebut.

Bagaimanapun, kegiatan menternak ikan dalam sangkar merupakan penyumbang utama penghidupan penduduk kampung terutama di Kuala Tembeling, seperti yang tercatat dalam laporan.

Patin dan Tilapia adalah spesies ikan yang paling banyak dibiakkan di sangkar sepanjang Sungai Tembeling, Sungai Jelai, dan juga Sungai Pahang.

Walaupun begitu, laporan itu tidak membahas lebih lanjut kerana menyimpulkan bahawa "tidak ada aktiviti kediaman dan akuakultur di lokasi projek atau dalam jarak lima kilometer dari lokasi projek."

Pameran awam laporan EIA ini bermula dari 31 Mei dan akan dibuka sehingga 29 Jun ini. 

Orang ramai digalakkan memberi maklum balas mereka dalam tempoh ini.

Hubungan kritikal dari Central Forest Spine

Sebenarnya, kerajaan persekutuan pada 2005 telah melancarkan Rancangan Fizikal Negara (RFN) pada 2005 bertujuan untuk memulihara dan memulihkan hubungan kritikal dari hutan tulang belakang Semenanjung Malaysia - Central Forest Spine, yang menjadi habitat haiwan terancam kepupusan Harimau Malaya.

Beberapa pelan dan syor dirumuskan untuk menerapkan visi ini, termasuk Pelan Induk Central Forest Spine (CFSMP) dan Pelan Tindakan Pemuliharaan Harimau Nasional (NTCAP).

Pada tahun 2014, kerajaan menyokong projek Meningkatkan Penyambungan Hutan di Central Forest Spine (IC-CFS) bekerjasama dengan Global Environment Facility (GEF) dan United Nations Development Programme (UNDP).

Walau bagaimanapun, peta dari Pejabat Tanah dan Galian Pahang yang dilampirkan dalam laporan EIA menunjukkan bagaimana pemecahan Hutan Simpan Som terus berlanjutan kerana lebih banyak tanah diambil melalui pewartaan dari kawasan itu.

Peta Pejabat Tanah dan Galian Pahang menunjukkan kawasan dalam Hutan Simpan Som dinyahwarta untuk menjadi tapak pertanian dan lombong.

[Baca laporan asal]

ADS