mk-logo
Berita
Beberapa PPV di Johor kehabisan vaksin, tutup sementara - MP
Diterbitkan:  Jun 23, 2021 3:13 PM
Dikemaskini: 7:13 AM

Dua ahli parlimen Johor mengadu beberapa bahagian di negeri ini kehabisan vaksin Covid-19 lebih awal dari yang dijangkakan walaupun di peringkat nasional, jumlah vaksinasi telah mencapai tahap tertinggi.

Ahli Parlimen Kluang Wong Shu Qi dan Ahli Parlimen Kulai Teo Nie Ching, dalam satu kenyataan bersama, mengatakan sekurang-kurangnya tiga pusat vaksinasi di Johor terpaksa ditutup sementara kerana kehabisan vaksin.

"Tiga PPV yang ditutup sementara itu adalah PPV Pekan Nanas (daerah Pontian), PPV Simpang Renggam (daerah Kluang) dan PPV Parit Raja (daerah Batu Pahat).

"Kami juga dimaklumkan bahawa jumlah vaksin yang diberi setiap hari telah turun secara mendadak di daerah-daerah tersebut, termasuk daerah Kulai.

"Keadaan ini jelas menunjukkan bahawa stok vaksin tidak mencukupi di peringkat negeri atau daerah bagi negeri Johor," kata mereka.

Dua MP itu juga mengambil maklum hal ini berlaku walaupun jumlah dos vaksin Covid-19 yang diberikan secara nasional mencapai tahap tertinggi 250,529 semalam.

'Ada warga emas masih tunggu temujanji'

Mereka menyatakan pada hari yang sama, hanya 17,268 dos yang diberikan di Johor. Mereka menambah ia serendah 13,718 dos pada 20 Jun.

Sebelum ini, Johor dapat memberikan lebih daripada 20,000 dos sehari dan ini dapat dilihat pada 14, 15 dan 17 Jun lalu, kata mereka.

Wong dan Teo juga berkata mereka mengakui fakta kerajaan sedang meningkatkan usaha vaksinasi di Lembah Klang yang paling parah terkena wabak itu tetapi menekankan supaya kerajaan telus dalam hal ini.

"Paling penting sekali, jumlah dos diagihkan antara daerah seharusnya mengikut saiz populasi masing-masing juga.

"Kami terima makluman bahawa ada golongan anak muda di kawasan menteri tertentu telahpun terima temujanji manakala warga emas di kawasan lain masih menunggu notis temujanji," kata kedua ahli parlimen itu lagi.

Mereka berkata kejadian seperti itu menghakis keyakinan masyarakat terhadap Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (Pick).

Wong dan Teo juga menggesa jawatankuasa khas untuk memastikan akses terhadap bekalan vaksin Covid-19 supaya memaklumkan jumlah edaran dos mengikut daerah setiap hari.

"Ketelusan adalah faktor utama untuk menjaminkan kejayaan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan," kata mereka.

Pada masa ini, data tersebut adalah data yang diterbitkan tetapi hanya di peringkat negeri.


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.

 


Lihat Komen
ADS