Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Sultan Ibrahim kecewa proses vaksinasi di Johor perlahan
Diterbitkan:  Jun 23, 2021 10:24 PM
Dikemaskini: 2:24 PM

Sultan Johor menzahirkan rasa kecewa apabila proses pemvaksinan penduduk negeri itu berjalan pada kadar perlahan apabila hanya 10 peratus daripada 3.78 juta populasinya sudah disuntik.

Justeru Sultan Ibrahim Sultan Iskandar menitahkan supaya kerajaan pusat segera meningkatkan lagi bekalan vaksin Covid-19 serta kadar vaksinasi termasuk di Johor.

“Kadar pemberian vaksin masih rendah dan perlu dipertingkatkan dengan segera.

“Saya menyeru kerajaan pusat supaya mempertingkatkan jumlah bekalan vaksin kepada Johor," titahnya dalam kenyataan kepada Pejabat Media Diraja Johor hari ini.

Untuk rekod kenyataan mengenai kelembapan pengagihan vaksin oleh kerajaan pusat bukanlah yang pertama dikeluarkan pihak istana kepada Putrajaya.

Pada 8 Jun lalu Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan rasa terkejut dan kecewa apabila mendapat tahu hanya 615,210 dos vaksin Covid-19 diberikan kepada negeri itu dan bukan 2.9 juta seperti didakwa sebelumnya.

Menurtu Setiausaha Sulit Sultan Selangor Mohamad Munir Bani pada pandangan Sultan Sharafuddin peruntukan itu tidak adil kerana ia sama sekali tidak seimbang dengan populasi keseluruhan penduduk Selangor. 

Berdasarkan laman web Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin (JKJAV) Covid-19 setakat 22 Jun, sebanyak 14.56 peratus atau 394,956 daripada populasi Johor sudah divaksin. 

Kenyataan hari ini dibuat selepas baginda menerima menghadap Menteri Besar Johor, Hasni Mohammad; Setiausaha Kerajaan Negeri, Azmi Rohani; Penasihat Undang-Undang Johor, Amir Nasruddin dan Pengarah Kesihatan Johor, Dr Aman Rabu.

Menurut Sultan Ibrahim ketika ini jentera kerajaan negeri sudah bersedia untuk memberikan 50,000 suntikan sehari dengan sasaran memvaksin 50 peratus populasi Johor dalam tempoh dua bulan.

Sultan Ibrahim juga menyatakan rasa amat bimbang ekoran maklumat yang dipersembahkan mendapati jangkitan di tempat kerja, kawasan perindustrian serta pembinaan menjadi penyumbang utama kepada bilangan kes baru Covid-19 setiap hari.

Titah baginda keadaan menjadi lebih parah apabila 69 peratus kes baru adalah jangkitan sporadik dalam masyarakat yang tidak dapat dipastikan puncanya.

“Langkah penyelesaian yang terbaik hanyalah dengan memberi vaksin kepada semua rakyat dengan cepat dan menyeluruh.

"Ini telah terbukti berjaya di banyak negara yang telah melaksanakannya,” titah Sultan Ibrahim.

Lihat Komen
ADS