mk-logo
Berita
7 Julai keputusan kes ibu rayu pampasan anak mati dalam tahanan 2014

Keluarga pekerja am sebuah kilang Kamarulnizam Ismail perlu menunggu sehingga 7 Julai ini untuk keputusan lengkap mengenai rayuan mereka di mahkamah untuk mendapatkan pampasan atas kematiannya ketika dalam tahanan pada tahun 2014.

Ini susulan Mahkamah Rayuan hari ini yang menangguhkan tarikh tersebut untuk memutuskan sebahagian rayuan oleh ibunya yang berusia 71 tahun, Rahaya Salleh dan juga pihak berkuasa penjara, semasa prosiding dalam talian melalui aplikasi zoom pagi ini.

Sidang tiga hakim dipengerusikan Hakim Mahkamah Rayuan Yaacob Md Sam hari ini sebahagiannya mengizinkan rayuan pihak berkuasa untuk mengetepikan perintah bayaran gantirugi oleh Mahkamah Tinggi Ipoh pada 2019 kepada keluarga, dengan pampasan RM100,000 atas penahanan yang tidak sah dan RM50,000 untuk misfeasans (salah laku) di jabatan awam.

Sidang hakim yang juga terdiri daripada Hakim Mahkamah Rayuan, Ahmad Nasfy Yasin dan M Gunalan, juga meningkatkan kos undang-undang yang diberikan kepada keluarga daripada keputusan awal mahkamah rendah sebanyak RM12,000 menjadi RM30,000, dan ganti rugi khas kepada keluarga sebanyak RM10,000.

Walau bagaimanapun, keluarga si mati berpotensi kemudian diberikan jumlah kuantum yang lebih tinggi kerana tuntutan kecuaian dan tanggungan, bergantung kepada bagaimana Mahkamah Rayuan memutuskan kedua-dua isu khusus ini pada 7 Julai.

Ketika dihubungi selepas prosiding dalam talian hari ini, peguam keluarga M Visvanathan (gambar, atas) mengesahkan Mahkamah Rayuan hari ini sebahagiannya membenarkan rayuan pihak berkuasa untuk mengetepikan ganti rugi RM100,000 untuk penahanan yang tidak sah dan RM50,000 untuk penyalahgunaan di pejabat awam.

Peguam itu juga berkata sidang tiga hakim hari ini menetapkan 7 Julai untuk memutuskan rayuan keluarga atas tuntutan tanggungan dan juga mengenai isu kuantum kerana kecuaian.

Visvanathan menambah keluarga itu menuntut RM71,400 untuk tuntutan tanggungan dan RM250,000 untuk jumlah atas kecuaian.

Walaupun mendapati kecuaian pihak berkuasa menyebabkan kematian Kamarulnizam, mahkamah rendah menolak tuntutan tanggungan oleh keluarga atas kematiannya di Penjara Tapah antara 7 dan 8 Mac, tujuh tahun yang lalu.

Pada Ogos 2019, Bernama melaporkan Mahkamah Tinggi Ipoh membenarkan tuntutan saman keluarga terhadap 12 individu dan kerajaan kerana kematian dalam tahanan serta memerintahkan keluarga Kamarulnizam dibayar RM100,000 kerana penahanannya yang menyalahi undang-undang, RM50,000 bagi salah laku dalam jawatan awam, RM12,000 bagi kos perbicaraan penuh dan RM2,000 bagi perbelanjaan pengebumian.

Hukum penjara 14 hari

Kamarulnizam, seorang pekerja kilang, pertama kali ditahan di Balai Polis Bandar Perda di Pulau Pinang kerana kesalahan memiliki barangan curi pada bulan Mac 2014.

Dia kemudian didakwa mengikut Seksyen 29 Akta Kesalahan Kecil 1955 dan dihukum penjara 14 hari serta denda RM800 sebelum dipindahkan ke penjara Tapah.

Selepas tiga hari berada di penjara, dia ditemui tidak sedarkan diri dalam sel penjara Tapah dan kemudian meninggal dunia di hospital Tapah.

Laporan bedah siasat mendapati Kamarulnizam meninggal dunia akibat jangkitan paru-paru yang teruk, namun keluarganya mendapati lebam pada badannya tidak konsisten dengan punca kematian, lantas membuat laporan polis.

Pada Mac 2017,  ibu Kamarulnizam, Rahaya, memfailkan saman itu diwakili peguam M Visvanathan terhadap pihak-pihak berkenaan dan memohon ganti rugi bagi tanggungan, salah laku dalam jawatan awam, ganti rugi teruk, teladan dan khas.

Peguam kanan persekutuan Azizan Md Arshad dan Andi Razalijaya A Dadi mewakili pihak berkuasa dan kerajaan.

[Baca laporan asal]

Lihat Komen
ADS