Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
KJ: PM bakal umum satu lagi bantuan besar ekonomi

Kerajaan akan segera memberikan satu lagi pakej bantuan ekonomi lagi, menurut Menteri Penyelaras Vaksin Covid-19, Khairy Jamaluddin.

Bercakap pada webinar petang ini, Khairy memaklumkan inisiatif untuk menangani dampak Covid-19 itu akan diumumkan oleh Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

"Saya yakin perdana menteri akan segera membuat pengumuman, mengenai pakej bantuan ekonomi yang besar.

"(Tetapi) saya tidak mahu mendahului dengan membuat pengumuman lebih awal," kata Khairy semasa sesi libat urus dalam talian bersama Dewan Perniagaan dan Perindustrian Kebangsaan Malaysia (NCCIM) sempena mesyuarat agung tahunannya yang ke-45.

Menteri sains dan teknologi itu menjawab soalan anggota dewan berkenaan yang ingin tahu apakah kerajaan mempunyai rancangan untuk membantu pemain industri yang terjejas teruk oleh kemerosotan ekonomi akibat wabak Covid-19.

Menurut N Gobalakrishnan, yang juga Presiden Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian India Malaysia (MAICCI), ramai majikan sudah sampai ke tahap mereka tidak lagi mampu membayar gaji pekerja.

"Apa tindakan selanjutnya oleh kerajaan yang boleh dikategorikan untuk membantu pemain industri? 

"Kami sedang melalui zaman merudum," katanya.

Bantuan baru itu akan menjadi pakej rangsangan ekonomi yang kelapan diperkenalkan oleh Putrajaya sejak Februari 2020, dengan suntikan dana fiskal langsung sebanyak RM77.6 bilion setakat ini (0.5 peratus daripada KDNK).

Pakej rangsangan terakhir - dikenali sebagai Pemerkasa Plus dan diumumkan pada 31 Mei - melibatkan suntikan fiskal langsung sebanyak RM5 bilion.

Bank Dunia telah mengubah unjuran pertumbuhan KDNK Malaysia untuk tahun ini kepada 4.5 peratus, jauh lebih rendah daripada unjuran Bank Negara sebanyak 6 peratus hingga 7.5 peratus.

Bank Dunia telah memberi amaran pemulihan ekonomi Malaysia bergantung pada dasar untuk mempromosikan bantuan segera dan program sokongan yang jelas, mudah diakses dan disasarkan untuk membolehkan syarikat mengekalkan kecairan mudah tunainya.

Antara lain, Bank Dunia mengesyorkan penambahan subsidi gaji, menjadikan protokol Covid-19 lebih dapat diramalkan serta mempercepat kelulusan dan pengeluaran pinjaman.

Bank Dunia berkata dalam jangka panjang, Malaysia juga perlu menjalani reformasi struktur mendalam untuk pemulihan ekonomi pasca pandemik yang diterajui pihak swasta.

Pun begitu, kata Bank Dunia banyak perniagaan kecil dan sederhana yang ditinjau menghadapi masalah aliran tunai dan akses pembiayaan ketika zaman susah ini.

[Baca laporan asal]

Lihat Komen
ADS