Seorang pegawai kanan syarikat insurans Takaful Malaysia telah mengundang kritikan selepas dia dilaporkan melarang kakitangan yang beragama Islam memberi ucap selamat kepada penganut agama Hindu sempena sambutan perayaan agama mereka.

Fauzi Mustaffar, ketua Jabatan perundangan Islam di syarikat insurans tersebut, telah menghantar peringatan tersebut melalui emel dalaman kepada kakitangan berkenaan menjelang perayaan Deepavali ini, demikian menurut laporan akhbar The Star hari ini.

Katanya, oleh kerana perayaan itu membabitkan penyembahan dewa Hindu, maka ungkapan ucap selamat itu boleh menyebabkan berlakunya syirik dan bertentangan dengan ajaran Islam.

"Bagi mereka (yang beragama Islam) yang telah terlanjur mengucap selamat kepada penganut Hindu Durga Pooja, Lakshmi Pooja dan Deepavali hendaklah segera bertaubat dan tidak mengulanginya lagi pada masa-masa akan datang," katanya dalam emel tersebut.

Fauzi memberitahu akhbar tersebut bahawa emel itu dihantar sebagai respons kepada pertanyaan daripada pihak kakitangan.

Bukan fatwa

Bagaimanapun, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Abdullah Mohamad Zin membidas Fauzi sambil berkata, sifat beramah mesra adalah penting dalam mewujudkan keharmonian kaum.

"Dia tidak mempuyai kuasa untuk mengatakan orang Islam tidak boleh memberi ucapan selamat kepada penganut agama Hindu kerana ia nampak seperti satu fatwa," kata Abdullah, sambil menambah, fatwa hanya boleh dikeluarkan oleh badan kerajaan.

"Hanya kerana anda mengucapkan selamat Deepavali, ia tidak bermakna yang adan telah menerima kepercayaan dan agamanya," kata Abdullah yang bertanggungjawab terhadap hal ehwal agama Islam.

"Dalam masyarakat pelbagai kaum dan agama seperti di negara kita ini, adalah penting hidup dalam harmoni dan berbaik-baik antara satu sama lain," tambahnya.

Tahun ini, Deepavali perayaan cahaya bagi agama Hindu dirayakan tiga hari sebelum Hari Raya Aidilfitri, selepas sebulan umat Islam mengerjakan ibadat puasa.

Sejak kebelakangan ini, wujud bantahan dari kalangan umat Islam yang konservatif terhadap amalan mengadakan perayaan bersama seperti kongsi raya dan kongsi Deepavali. Mereka menganggap perbuatan itu boleh mengakibatkan syirik.

Awal tahun ini, dalam reaksinya terhadap gesaan Majlis Fatwa Kebangsaan supaya dikaji semula perayaan bersama itu, kerajaan menjelaskan ia adalah untuk kepentingan keharmonian rakyat pelbagai kaum di negara ini.

- AFP