Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Sidang Parlimen: 'Tak perlu kaji lagi, persediaan tahun lepas memadai'

Sidang Parlimen tidak memerlukan sebarang persediaan baru yang memakan masa, sebaliknya memadai dengan persediaan yang telah dibuat ketika persidangan tahun lepas, menurut senator Yusmadi Yusoff.

“Tak perlu untuk perbelanjaan baru mahupun kajian atau jawatankuasa baru kerana persediaan yang telah dibuat sebelum ini pun bagi saya memadai,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Katanya, seperti sidang tahun lalu, penggunaan kemudahan penghadang antara ahli Parlimen, ujian saringan serta pengawasan ketat sudah memadai.

Yusmadi yang merupakan anggota kesatuan antarabangsa Inter-Parliamentary Union (Malaysia) dan terlibat dalam Commonwealth Parliamentary Association (CPA) membangkitkan negara-negara lain yang dapat menguruskan sidang Parlimen ketika penularan wabak Covid-19 dengan baik.

“Mereka telah bersidang berkali-kali. Sebaliknya di Malaysia ini, kerajaan buat jawatankuasa. Saya rasa malu dan rasa ditempelak apabila kita lihat sidang di negara lain berjalan dengan baik.

“Kenapa di Malaysia ini, dengan populasi yang kecil dan bilangan ahli parlimen yang sedikit, kita sampai sekarang tak bersidang dan pelbagai alasan diberikan?” soalnya.

Yusmadi memberikan United Kingdom sebagai contoh, yang turut mengadakan sidang secara hibrid pada tahun lalu susulan penularan wabak Covid-19.

Untuk rekod, Parlimen United Kingdom pernah digantung 2019 - di tengah- tengah perbahasan langkah untuk keluar dari Kesatuan Eropah, atau Brexit - sebelum diisytihar tidak sah di sisi undang-undang oleh mahkamah.

Dia berkata Parlimen United Kingdom bersidang secara lancar pada tahun lalu bagi membahaskan dan meluluskan Akta Coronavirus 2020 untuk menangani wabak itu.

“Kenapa contoh ini tidak diikuti dengan baik?” soalnya.

Dia mengulas kenyataan bersama oleh Yang di-Pertua Dewan Rakyat dan Dewan Negara, Azhar Harun dan Rais Yatim bahawa Parlimen dijangka dapat bersidang paling awal hujung Ogos atau awal September depan.

Menurut mereka, persiapan dari pelbagai aspek - iaitu perundangan, teknikal, pentadbiran, perolehan bekalan dan latihan - dijangka selesai hujung Julai, sebelum satu sidang khas Parlimen dijangka dibuat pada awal Ogos bagi perincian resolusi untuk persidangan secara hibrid.

Selepas daripada itu, kata mereka, Parlimen memerlukan sedikit lagi masa untuk persediaan lain termasuk integrasi sistem hibrid dengan sistem sedia ada, sebelum akhirnya sidang secara hibrid dapat dilakukan pada hujung Ogos atau awal September.

Berdasarkan perkiraan dari tarikh kenyataan semalam, proses ini akan memakan masa lebih 60 hari (iaitu sehingga minggu terakhir Ogos atau minggu pertama September) untuk Parlimen benar-benar bersidang.

Kenyataan Azhar dan Rais itu dikeluarkan sebagai maklum balas kepada kenyataan Yang di-Pertuan Agong pada 16 Jun yang bertitah agar Parlimen kembali bersidang “secepat mungkin”.

Hari ini, Parti Pejuang turut berkongsi pandangan sama dengan senator daripada PKR itu, bahawa sidang Dewan Rakyat dan Dewan Negara sepatutnya dilakukan secara kendiri seperti tahun lalu, dengan mengikuti syarat ketat pencegahan penularan Covid-19.

Pejuang berpandangan kedua-dua persidangan Dewan berjaya dilaksanakan tahun lepas tanpa sebarang kewujudan kluster Parlimen, sedangkan pada ketika itu ahli-ahli dewan belum divaksin, berbeza dengan sekarang di mana ahli dewan hampir semua telah divaksin.

Dalam pada itu, Yusmadi yang juga seorang peguam memetik istilah perundangan "in fraudem legis" yang bermaksud memintasi undang-undang (in circumvention of the rules of law).

“Sesuatu itu akan menjadi satu penipuan sekiranya ia dibuat dengan tujuan untuk mengelak atau pun memintasi sesuatu yang digariskan oleh undang-undang.

“Kita tidak boleh menjadikan darurat ini sebagai peluang atau ruang atau agenda atau motif yang selain daripada undang-undang,” katanya lagi.

'Secepat mungkin ialah sesegera yang boleh'

Mengulas isu sama, Ahli Parlimen Sepang yang juga peguam, Mohamed Hanipa Maidin berpandangan jangkaan tarikh dikemukakan Azhar dan Rais tidak munasabah dan tidak wajar sama sekali, dan boleh ditafsirkan seperti tidak menghormati Agong.

Hanipa Maidin

Katanya, titah “secepat mungkin” Agong wajar ditafsir secara literal dan munasabah, iaitu sesegera yang boleh.

“Telah terbukti banyak negara di dunia tidak ada sebarang masalah untuk mengadakan sidang Parlimen kerana ia adalah forum yang sesuai untuk membincangkan isu rakyat dan negara secara telus dan berkesan," katanya kepada Malaysiakini.

Dia turut bersetuju dengan kritikan veteran Umno, Tengku Razaleigh Hamzah yang menyifatkan Azhar gagal melaksanakan tugasnya, sehingga menyebabkan institusi Parlimen kini tidak lagi dihormati rakyat.

Katanya, memandangkan kewibawaan dan integriti Azhar sepagai speaker amat dipersoalkan, "nilai dan mutu" kenyataannya juga akan turut dipersoalkan.

Dewan Negara tak sama Dewan Rakyat

Semalam juga, Peguam Negara Idrus Harun dalam satu kenyataan berkata undang-undang menetapkan Yang di-Pertuan Agong untuk memanggil sidang parlimen berdasarkan nasihat jemaah menteri.

Yusmadi berkata, kenyataan Idrus itu tidak seharusnya terpakai kepada Dewan Negara memandangkan peruntukan peraturan majlis mesyuarat Dewan Negara tidak sama dengan Dewan Rakyat.

Katanya, Peraturan Mesyuarat Dewan Negara tidak ada definisi khusus mengenai ketua majlis, yang ditafsirkan di bawah Peraturan 4A Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat sebagai ketua kerajaan, atau perdana menteri.

Peraturan-peraturan Mesyuarat Majlis Dewan Rakyat menetapkan bahawa ketua majlis yang harus menetapkan tarikh persidangan dewan, sekurang-kurangnya 28 hari sebelum persidangan.

Sebaliknya, Dewan Negara sebagai badan semak imbang kepada Dewan Rakyat, tidak mempunyai komposisi wakil pembangkang atau kerajaan, sebaliknya ahli-ahlinya dilantik Agong serta dipilih oleh DUN.

“Jadi kita tak boleh mengandaikan bahawa Dewan Negara juga perlu mendapat nasihat jemaah menteri untuk bersidang seperti mana dikatakan oleh peguam negara tersebut. Saya mempunyai pandangan berbeza.

“[...] Beliau (Rais) hanya perlu berbincang dengan setiausaha Dewan Negara, untuk menentukan tarikh yang sesuai,” katanya. 

Lihat Komen
ADS