Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Bekas AG kecewa gesaan PH agar penggantinya dipecat

Bekas Peguam Negara (AG) Tommy Thomas meluahkan rasa kecewa berhubung gesaan Pakatan Harapan (PH) agar penggantinya, Idrus Harun dipecat.

Dianggap sebagai seorang pakar perlembagaan Malaysia,  Thomas berkata undang-undang yang dirujuk bagi gesaan itu adalah terbuka kepada pentafsiran.

"Undang-undang tidak ada hitam putih mengenai perkara ini. Terdapat banyak kawasan kelabu.

“Ini adalah bidang perundangan yang sukar dan kompleks. Kita memasuki 'wilayah' yang belum dijelajahi. Semua orang berhak atas pendapat mereka. Anda harus bersetuju untuk tidak bersetuju. Itulah undang-undang.

"AG tidak boleh dipecat kerana ada yang tidak bersetuju dengan pendapat undang-undangnya.

"Harus ditegaskan bahawa pendapat undang-undang bukan bermaksud untuk menjadi popular atau mencari kepentingan," katanya kepada Malaysiakini malam ini.

Terdahulu, Majlis Presiden PH mendakwa Idrus derhaka kepada Yang di-Pertuan Agong dan menggesa pemecatannya sebagai peguam negara.

Ini selepas Idrus dalam satu kenyataan terbuka berkata Agong hanya boleh memanggil sidang parlimen atas nasihat kabinet.

Majlis Presiden PH berkata, Agong dan Majlis Raja-Raja Melayu telah menitahkan bahawa parlimen harus bersidang secepat mungkin.

Kata mereka, peguam negara mempunyai tugas perlembagaan di bawah Perkara 145 (2) Perlembagaan Persekutuan untuk memberi nasihat kepada Agong dan kabinet mengenai isu berkaitan undang-undang.

Bagaimanapun, kata mereka, peguam negara perlu melakukannya secara terus kepada Agong. 

"Kenyataan (Idrus) juga satu bentuk 'pelanggaran kerahsiaan' (breach of confidentiality) antara peguam dan anak guam. Dengan pelanggaran ini, dia tidak layak menjadi seorang peguam apatah lagi menjawat jawatan peguam negara," kata kenyataan tersebut.

Kenyataan itu yang dikeluarkan oleh Presiden PKR Anwar Ibrahim; Presiden Amanah, Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng juga mendakwa Idrus memperkecil dan memperlekehkan titah Raja-Raja.

Ketiga-tiga mereka juga mendakwa kenyataan Idrus telah mengenepikan semangat perlembagaan dan memberi gambaran bahawa peguam negara mengenepikan institusi Raja-Raja Melayu.

Parlimen digantung sejak 11 Januari berikutan pengisytiharan darurat yang dikatakan bagi mengekang wabak Covid-19.

Bagaimanapun, pengkritik mendakwa Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin mengisytiharkan darurat untuk mengelakkan majoriti tipis yang dimilikinya,  dicabar di Dewan Rakyat.

Pengkritik juga berkata walaupun darurat diisytiharkan, namun kes jangkitan Covid-19 masih tidak menunjukkan penurunan.

Pada 15 Jun lalu, Muhyiddin berkata parlimen akan bersidang semula apabila negara memasuki fasa ketiga Pelan Pemulihan Negara pada September atau Oktober,  apabila kes Covid-19 kurang daripada 2,000 kes sehari, kapasiti katil di Unit Rawatan Rapi (ICU) mencukupi dan 40 peratus penduduk telah menerima vaksin penuh.

Speaker Dewan Rakyat Azhar Harun dan Speaker Dewan Negara, Rais Yatim, sebaliknya mencadangkan persidangan hibrid parlimen diadakan pada Ogos atau awal September.

Agong menitahkan untuk memanggil kedua-dua mereka menghadap baginda pada 29 Jun ini.

Lihat Komen
ADS