Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
‘Kenduri durian’ itu video lama, sebelum PKP - timbalan speaker

Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Mohd Rashid Hasnon menafikan dakwaan dia melanggar prosedur operasi standard (SOP) perintah kawalan pergerakan (PKP) kerana menghadiri ‘kenduri durian’ baru-baru ini.

Sebaliknya, Mohd Rashid ketika dihubungi Malaysiakini berkata rakaman tersebut adalah video lamanya sebelum PKP, iaitu pada tahun lepas.

"Tak adalah, itu (video) lama kot.

“Saya ingat (video) tahun lepas punya, sebelum PKP," katanya ringkas kepada Malaysiakini.

Mohd Rashid Hasnon

Mohd Rashid berkata demikian mengulas rakamannya hadir dalam satu majlis kenduri durian.

Terdahulu, seorang pengguna akaun Facebook memuat naik satu rakaman majlis kenduri durian dengan kehadiran wakil rakyat yang didakwanya sebagai timbalan speaker.

Video berdurasi 14 saat itu mendapat 10 komen dan 33 perkongsian, bersama dengan sekitar 1,400 tontonan.

Seorang pembantunya juga berkata kejadian itu berlaku di sebuah dusun pada tahun lepas.

"Ketika itu peraturan tak terlalu ketat (seperti sekarang), sebab itu tiada orang (dalam video) yang pakai pelitup muka," katanya.

Ditanya jika kenduri itu berlaku Ahad lalu (27 Jun) di Batu Pahat iaitu kawasan Parlimen Rasyid, pembantu tersebut menafikannya.

Bagaimanapun, beberapa orang dalam video itu juga dilihat dalam gambar yang diambil ketika sebuah acara rasmi pada tarikh tersebut, yang turut menampilkan Rashid dan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin.

Acara itu diadakan di pejabat Majlis Perbandaran Batu Pahat (MPBP). Mereka juga berpakaian sama seperti ketika dalam rakaman itu.

"Mungkin kebetulan (pakaian sama).

"Semua orang ikut SOP ketika mereka di Batu Pahat bersama Zuraida. Mereka pakai pelitup muka dan jaga penjarakan fizikal," katanya.

Laporan polis esok

Di bawah PKP pada masa ini, himpunan besar tidak dibenarkan.

Makan di kedai juga masih tidak dibenarkan dan pelitup muka perlu dipakai ketika di tempat awam.

Pelanggaran terhadap peraturan ini membawa kompaun sebanyak RM10,000.

Dalam perkembangan berkaitan, Ketua Pemuda PKR Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata dia akan membuat laporan polis berhubung kejadian itu dan akan mengemukakan "bukti".

Zuraida: Saya tiada di situ

Sementara itu, Zuraida mengesahkan dia menghadiri sebuah acara di pejabat MPBP Ahald lalu, yang turut dihadiri Rashid.

Dia juga mengesahkan gambar yang menunjukkan dia menerima durian selepas acara itu.

"Ketika saya nak beredar, mereka beri durian kepada saya," katanya kepada Malaysiakini.

Bagaimanapun, Zuraida menafikan ada menyertai mana-mana kenduri durian pada hari itu.

"Ia tiada kaitan dengan saya. Saya tiada di situ. (Saya) terima durian di luar pejabat majlis perbandaran.

"Saya rasa (kenduri durian) di tempat lain," katanya lagi.

Kunjungan Zuraida ke Batu Pahat pada Ahad lalu adalah untuk meneliti perancangan dan pembangunan yang perlu dinaik taraf di situ. Dia juga meluluskan peruntukan RM2 juta untuk projek pencegahan kebakaran dan banjir berskala kecil selain dana RM100,000 untuk membina fire post di Parit Sulong.

Gambar Zuraida bersama Rashid adalah ketika melancarkan pejabat Penggerak Komuniti Negara.

 

Lihat Komen
ADS