Guan Eng: Tindakan Mirzan jejas kewibawaan Asli
Kewibawaan dan integriti Institut Kepimpinan dan Strategik Asia (Asli) kini dipersoalkan berikutan tindakan Presidennya, Mirzan Mahathir menarik balik laporan kontroversi institut itu mengenai pegangan ekuiti bumiputera baru-baru ini, kata Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.
Kewibawaan dan integriti Institut Kepimpinan dan Strategik Asia (Asli) kini dipersoalkan berikutan tindakan Presidennya, Mirzan Mahathir menarik balik laporan kontroversi institut itu mengenai pegangan ekuiti bumiputera baru-baru ini, kata Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.
Katanya, Mirzan bertindak tanpa memberikan alasan yang rasional atau akademik.
Lim percaya, anak bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad itu menarik balik laporan berkenaan kerana tunduk pada kritikan dari pucuk pimpinan Umno.
"Jelas sekali tindakan Mirzan itu bermotif politik dan bukan kerana kesilapan atau kekurangan dalam methodologi kajian berkenaan," katanya dalam sidang akhbar di Kuala Lumpur hari ini.
Kajian yang bertajuk Pengagihan Ekuiti Korporat Trend Masa Lalu dan Dasar Akan Datang yang dihasilkan oleh Asli itu telah merumuskan bahawa sasaran 30 peratus pemilikan ekuiti korporat bumiputera di bawah Dasar Ekonomi Baru telah melebihi matlamatnya.
Kajian tersebut menganggarkan angkanya di sekitar 45 peratus, berdasarkan pada perangkaan Bursa Malaysia bagi bulan September 2005.
Laporan hasil kajian tersebut telah mencetus kontroversi dan dikritik hebat oleh pelbagai pihak termasuk pemimpin tinggi Umno, khususnya Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi serta ayahnya, Dr Mahathir.
Selasa lalu ketika menarik balik laporan Asli itu, Mirzan berkata, kajian tersebut berasaskan andaian dan kiraan yang tidak boleh dijustifikasikan
Ekoran tindakan beliau itu, penulis laporan itu, Dr Lim Teck Ghee meletakkan jawatannya dari Asli kerana tidak bersetuju dengan tindakan ketuanya itu.
Setiausaha Agung DAP itu juga melahirkan kebimbangannya jika trend seperti itu berterusan, ahli-ahli akademik akan berhenti membuat kajian dan penyelidikan kerana bimbang kritikan pihak-pihak berkaitan.
"Tidak pernah dalam sejarah negara ini seorang ahli akademik meletakkan jawatan bagi mempertahankan kebenaran hasil kajiannya. Perkembangan ini menimbulkan kecurigaan terhadap kredibiliti statistik yang dikeluarkan oleh kerajaan," tambahnya.
Ditanya mengapa kerajaan beria-ia mempertahankan angka yang dikeluarkan olah Unit Perancang Ekonomi (EPU) yang mendakwa pegangan ekuiti bumiputera hanya 18.9 peratus, Lim percaya ia bertujuan untuk menghalang rakyat bertanya lebih lanjut berhubung hasil kajian Asli itu.
Dalam perkembangan berkaitan, dua persatuan media melahirkan kekecewaan terhadap Mirzan yang tunduk pada tekanan politik itu.
Persekutuan Penulis Media Bebas (Wami) dan Pusat Wartawan Bebas (CIJ) menegaskan, kebebasan akademik dan kebebasan bersuara perlu dihormati.
"Jika laporan Asli itu tersilap atau mengelirukan, ia sepatutnya dibincangkan di peringkat akademik tertinggi," kata kedua-dua pertubuhan dalam satu kenyataan bersama. Berita asal

