Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pengusaha kantin sekolah desak k'jaan lanjutkan moratorium sewa

Pengusaha kantin sekolah menyatakan rasa kesal dengan sikap membisu Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) berhubung rayuan mereka berkenaan lanjutan moratorium sewaan kantin selama enam bulan lagi.

Setiausaha Persatuan Pengusaha Kantin Sekolah Malaysia (PPKSM), Siti Normah Md Desa berkata, pengusaha kantin kini terbeban akibat penutupan sekolah berikutan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP).

Katanya, bebanan itu semakin bertambah apabila mereka diberikan notis peringatan kutipan sewaan kantin sekolah bagi bulan Julai 2021 dan seterusnya dari Jabatan Pendidikan Negeri Selangor (JPS) baru-baru ini.

"Memandangkan moratorium yang kita mohon bermula Januari hingga Jun tamat, mereka mula memberi peringatan untuk mengutip sewa.

"Kalau sekolah itu besar (Sewa) boleh mencecah sehingga RM3,000 hingga RM4,000 sebulan dan paling minima pun purata yang perlu dibayar antara RM1,200 atau RM1,300. Jadi, saya rasa pengusaha kantin memang tak mampu," katanya kepada Malaysiakini.

Kata Siti Normah, pihaknya juga telah menghantar permohonan kepada KPM untuk melanjutkan moratorium sewa kantin, namun sehingga kini masih belum menerima sebarang jawapan.

"Kini masuk bulan Julai KPM dan JPS dah pakat-pakat keluarkan notis peringatan.

"Sepatutnya KPM kena faham pengusaha kantin tak ada perniagaan, kantin tak beroperasi, kita tidak menggunakan premis langsung. Jadi, bagaimana pengusaha kantin perlu membayar sewa sedang mereka tidak menggunakannya?" soalnya.

Katanya lagi, pihaknya sangat terkilan apabila dalam keadaan rakyat susah sebegini dan berharap kepada kerajaan, pengusaha kantin sekolah pula ditekan untuk membayar sewa walaupun tidak beroperasi.

"Jika kita lihat, kedai-kedai yang disewa dari pihak swasta pun diberi kemudahan diskaun tapi kami pengusaha kantin di premis kerajaan tidak diberikan apa-apa diskaun. Sepatutnya diberikan pengecualianlah sebab premis tidak digunakan langsung.

"Sepatutnya KPM prihatin dalam isu ini dan mereka perlu bagi keputusan dengan kadar segera, bukannya mendiamkan diri, membisu dan bila kita tanya masih tiada apa- apa jawapan diberikan daripada KPM. Persatuan sangat kecewa dengan apa yang berlaku ini," katanya.

Terdahulu, dalam tangkap layar yang dikongsikan kepada Malaysiakini, JPS memaklumkan kutipan sewaan kantin sekolah bagi bulan Julai dan seterusnya untuk sekolah-sekolah di Selangor perlu dibuat pada minggu pertama atau selewat-lewatnya pada 7 hari bulan tersebut.

Menurut notis itu lagi, selepas 7 Julai, sekiranya pengusaha kantin sekolah yang terlibat tidak membuat bayaran sewa, pihak sekolah perlu mengeluarkan "surat peringatan" kepada pengusaha kantin sekolah.

Surat peringatan itu dikatakan bagi tujuan pematuhan kepada prosedur kewangan dan perakaunan sekolah dan pengauditan sekolah tahun 2021 dan bukannya menghukum pengusaha kantin sekolah yang terlibat.

Tambah notis itu lagi, ini kerana KPM pada tahun lalu melalui surat rujukan bertarikh 5 Disember 2020 hanya memberikan moratorium pengecualian pembayaran penyewaan kantin sekolah bagi tempoh Januari hingga Jun 2021.  


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS