Pemuda MCA gesa kjaan lihat laporan Asli secara terbuka
Pergerakan Pemuda MCA menggesa kerajaan melihat kajian Institut Strategi dan Kepimpian Asia (Asli) mengenai ekuiti korporat bumiputera sebagai satu 'exercise saintifik' yang perlu dilihat secara terbuka.
Pergerakan Pemuda MCA menggesa kerajaan melihat kajian Institut Strategi dan Kepimpian Asia (Asli) mengenai ekuiti korporat bumiputera sebagai satu 'exercise saintifik' yang perlu dilihat secara terbuka.
Kajian Asli itu yang menganggarkan pemilikan ekuiti korporat bumiputera di bawah Dasar Ekonomi Baru (DEB) di sekitar 45 peratus dan melebihi sasaran 30 peratus dikritik hebat oleh pemimpin Umno, khususnya Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.
Ketika membuat gesaan itu, Ketua Biro Ekonomi Pemuda MCA, Datuk Henry Wong berkata Malaysia telah beranjak kepada pradigma yang berbeza, termasuk melangkah ke arah liberalisasi global dan k-ekonomi.
Katanya, ini telah mencetuskan satu pemikiran baru serta peluang untuk semua pihak, dan R&D hanya sebahagian daripada penemuan sempadan baru untuk menyelesaikan masalah yang bakal timbul dan isu yang dicetuskan oleh perubahan persekitaran.
"Semua masyarakat perlu menggalakkan pembinaan kelas keusahawanan yang kuat tetapi kita tidak boleh terlepas pandang terhadap keperluan untuk meningkatkan dayasaing global kita, untuk meningkatkan tahap pendapatan umum serta mengurang kadar kemiskinan dan mengurangkan jurang tanpa mengira kaum," tambanya dalam satu kenyataan hari ini.
Henry berkata, ini telah dan masih merupakan hasrat sebenar Dasar Ekonomi Baru.
"Ketika kita mengejar agenda negara untuk mencapai kekayaan ekonomi, adalah jelas bahawa kita tidak akan menerima sebarang bentuk penstrukturan semua mikro," katanya.
Pelbagai budaya
Kekuatan global Malaysia, katanya, adalah atas kewujudan masyarakatnya yang pelbagai budaya dan bahasa.
"Dan yang lebih penting ialah perpaduan nasional kita bergantung kepada usaha mengekalkan kepelbagaian ini dan menghormati satu sama lain. Ini mesti kita pertahankan dengan apa cara sekalipun," tambahnya.
Perdana Menteri telah menolak hasil kajian itu sebagai tidak berasas dan tidak tepat kerana beberapa petunjuk yang digunakan oleh pusat itu adalah tidak relevan.
Berikutan kritikan hebat itu, Presiden Asli, Mirzan Mahathir, dalam satu kenyataan kemudiannya, mengakui laporan institut itu tidak mencerminkan secara adil gambaran sebenar jumlah pemilikan ekuiti bumiputera di Malaysia.
Katanya, setelah meneliti semula kaedah dan rumusan laporan itu, "Asli merumuskan ada kelemahan dalam andaian dan perkiraan yang membawa kepada rumusan yang tidak ada justifikasi."
Beliau juga melahirkan rasa amat kesal dan kecewa dengan kekeliruan berikutan laporan tersebut yang dikeluarkan Pusat Kajian Dasar Awam (CPPS) Asli.
Ekoran itu, Dr Lim Teck Ghee telah meletakkan jawatannya sebagai pengarah CPPS bagi mempertahankan hasil kajian tersebut dan kajian-kajian lain yang telah dikemukakan dalam laporan kepada kerajaan untuk Rancangan Malaysia Kesembilan pada Februari 2006.
Dr Lim dilaporkan berkata, beliau mengambil keputusan tersebut kerana tidak bersetuju dengan kenyataan Mirzan itu dan perlunya mempertahankan kedudukan dan kebebasan kesarjanaan.

