Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
P Pinang masuk fasa 2 pelan pemulihan 7 Julai
Diterbitkan:  Jul 5, 2021 7:30 PM
Dikemaskini: 12:25 PM

Pulau Pinang akan beralih ke fasa kedua Pelan Pemulihan Negara (PPN) berkuat kuasa 7 Julai ini, menurut Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob.

Negeri itu menyusuli Perlis, Kelantan, Terengganu, Pahang dan Perak yang memasuki fasa kedua PPN hari ini.

Ismail berkata, peralihan itu diputuskan sidang khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) setelah Pulau Pinang mencapai nilai ambang yang ditetapkan bagi tiga kriteria untuk peralihan ke fasa tersebut.

Menurutnya, tiga kriteria tersebut adalah:

  • Purata kes jangkitan harian selama tujuh hari sebanyak 9.5 ke per 100,000 penduduk (nilai ambang: 12.2 kes per 100,000 penduduk).
  • Kadar penggunaan katil wad Unit Rawatan Rapi (ICU) mencapai tahap sederhana dan penilaian capacity to respond di tahap memadai (adequate).
  • Kadar vaksinasi lengkap dua dos ke atas populasi dewasa sebanyak 10.1 peratus (nilai ambang: 10 peratus).

"Berdasarkan tiga indikator ini dan penilaian terperinci agensi-agensi termasuk Kementerian Kesihatan (KKM), kerajaan bersetuju untuk melaksanakan peralihan fasa PPN bagi Pulau Pinang berkuat kuasa 7 Julai 2021," katanya dalam kenyataan hari ini.

Antara perubahan dalam prosedur operasi standard (SOP) bagi Fasa 2 adalah pasangan jarak jauh (PJJ) boleh meminta kebenaran polis untuk melakukan perjalanan merentas daerah atau negeri, dalam keadaan kecemasan atau keadaan khas termasuk kelahiran atau untuk membantu menjaga bayi yang baru dilahirkan.

Selain itu, lebih banyak sektor ekonomi juga akan dibenarkan kembali beroperasi.

Semalam, bekas ketua menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng mempersoalkan mengapa negeri itu masih tidak dibenarkan masuk ke fasa 2 walaupun jumlah kes baru Covid-19 di negeri itu lebih rendah daripada beberapa negeri yang sudah pun di fasa tersebut.

Ini kerana Pulau Pinang pada masa itu belum mencapai nilai ambang vaksinasi, iaitu pada kadar 10 peratus penduduk dewasa.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS