pendapat

Pada Oktober 23 lalu saya telah membuat aduan rasuah membabitkan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo di hadapan Penolong Penguasa Kamaruddin Baharom di Ibu Pejabat Badan Pencegah Rasuah (BPR), di Putrajaya.

Aduan itu kemudiannya dibuat semula pada November 8 ekoran kenyataan sumber BPR yang disiarkan sebelum ini mendakwa ia bukannya 'aduan rasmi' tetapi sekadar maklumat. Pada hari berikutnya saya memberi keterangan lanjut di pejabat BPR Selangor selama lebih tiga jam. Kenyataan saya dibuat di hadapan Penguasa Azni Yahaya.

Dalam aduan itu saya membutirkan lebih sepuluh kes membabitkan Dr Khir menyalahgunakan kuasa atau melakukan korupsi semasa mentadbir Selangor. Antaranya ialah projek Jalan Cross Ban 4 bernilai RM92.5 juta sepanjang 20.5 km di Sekinchan yang dianugerahkan kepada kontraktor bermasalah iaitu Meram Holdings Sdn Bhd.

Isu mesyuarat exco kerajaan negeri meluluskan permohonan tanah di Shah Alam dan Kuala Langat, pada November 20 tahun lalu dan Julai 4 lalu kepada syarikat tertentu juga dibangkitkan terutama kepada empat syarikat yang pengarahnya baru berumur 20 tahun. Tiga dari empat pengarah muda itu dilantik menjadi pengarah syarikat tidak sampai pun 40 hari sebelum mereka bertiga menerima 50 ekar tanah di Kuala Langat.

Dalam aduan pertama saya, pada Oktober 23 di bawah perenggan E, Perkara 5, saya mencatatkan: "Khir didakwa menggunakan kuasa dan pengaruhnya sebagai Pengerusi Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) dalam satu mesyuarat lembaga, untuk mendapatkan sebidang tanah di Shah Alam, sehingga pengurusan PKNS membuat dua kali tawaran harga tanah tersebut kepadanya. Ini disebabkan Dr Khir tidak berpuas hati dengan tawaran harga pertama."

Pada Oktober 30 ketua pembangkang di Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor yang juga Adun Sungai Burung, Datuk Dr Hassan Ali, semasa membahaskan Belanjawan 2002 bagi Selangor telah membangkitkan isu berkaitan tanah PKNS itu.

Pada hari berikutnya Dr Khir menggulung perbahasan Belanjawan dengan menolak dakwaan itu. Walaupun mengaku beliau ada ditawarkan tanah milik PKNS tetapi kedua-dua tawaran yang dibuat itu adalah dengan harga yang sama.

Beliau (Dr Khir) kemudiannya mendakwa menolak tawaran itu kerana beliau tidak mempunyai cukup wang untuk membelinya.

Maklumat lanjut

Sehubungan itu pada jam 10.30 pagi, Disember 4, saya mengunjungi Ibu Pejabat BPR di Putrajaya untuk memberi maklumat lanjut perkara itu. Saya cuba menghubungi pegawai BPR yang menerima maklumat dan aduan rasmi tempoh hari. Malangnya Kamaruddin Baharom gagal ditemui.

Salah seorang pegawai bertugas hari itu menasihatkan saya supaya terus saja ke pejabat BPR di Shah Alam kerana kes membabitkan Dr Khir itu telah dipindahkan ke sana. Nampak mereka keberatan menerima maklumat lanjut saya.

"Sebenarnya saya lebih selesa membuat laporan di Putrajaya. Bukannya saya mempertikai kemampuan BPR Selangor untuk membuat siasatan tetapi saya rasa lebih elok jika yang hendak disiasat adalah ketua kerajaan sesebuah negeri, maka pihak yang menyiasat perlu dari luar negeri berkenaan, yakni dalam kes ini, dari Putrajaya," saya menjelaskan kepada seorang pegawai BPR.

Saya bimbang BPR Selangor tidak selesa memulakan proses siasatan kerana ia membabitkan Menteri Besar Selangor. Akhirnya, Penolong Penguasa Mohd Nasharudin Amir bersetuju menerima maklumat terbaru itu khususnya selepas saya berjanji memberi keterangan lanjut di Shah Alam!

Menurut surat tawaran pertama kepada Dr Khir bertarikh Februari 13 tahun ini, Pengurus Besar PKNS, Dato' Haji Harun Salim mencadangkan satu tapak banglo di Seksyen 2 tambahan, Bandar Baru Bangi kepada Khir dengan butiran berikut: No. Lot : 14 Jalan 2/1 G, keluasan 22,862.54 kaki persegi (0.47 ekar) dan harga jualan RM20.00 sekaki persegi.

Melalui surat itu Harun mencadangkan agar Dr Khir dapat meluangkan masa melawat tapak yang dicadangkan.

Cerita lama

Menurut sumber, Dr Khir menimbulkan cerita bahawa semasa belum dilantik Menteri Besar beliau pernah memohon tanah daripada PKNS tetapi tidak dilayan.

Dengan menimbulkan cerita seperti ia bagaikan dentuman `halalintar membelah bumi' bagi seorang pengurus besar yang merasakan tempoh perkhidmatannya boleh ditamatkan bila-bila masa saja oleh Menteri Besar.

Tidak sukar untuk meramal apa yang akan dilakukan oleh pengurus besar itu apabila mendengar luahan hati Menteri Besar mengenangkan pengalaman silamnya dengan PKNS.

Saya rasa itu adalah detik permulaan amalan rasuah ketara sama ada membabitkan Menteri Besar yang mendapat tanah atau pengurus besar yang menawarkan tanah itu.Tidak mustahil jika kedua-duanya boleh disabitkan.

Saya juga mempersoalkan apakah Dr Khir mengikuti semua prosedur ketat dalam proses memohon tanah PKNS. Saya kira jawatannya sebagai Menteri Besar dan Pengerusi PKNS tidak mengecualikan beliau dari mematuhi segala prosedur yang diperlukan.

Difahamkan setiap tanah yang diluluskan untuk dijual oleh PKNS akan diperakukan terlebih dahulu oleh mesyuarat lembaga PKNS yang dipengerusikan Menteri Besar Selangor. Soalnya, apakah Dr Khir meluluskan permohonan tanah untuk dirinya sendiri?

Persoalan lain yang timbul ialah layanan istimewa PKNS kepada Dr Khir apabila harga tanah yang ditawarkan pada surat kedua bertarikh Mei 12 tahun ini mendapat potongan hampir 50 peratus.

Menurut surat pertama, harga tanah ialah RM457,250 manakala bagi surat tawaran kedua harga tanah yang dinyatakan ialah RM231,678.

Potongan luar biasa

Difahamkan potongan harga itu cukup luar biasa dalam amalan pengurusan PKNS. Kakitangan yang bekerja lebih 20 tahun pun khabarnya hanya mendapat potongan sebanyak 10 peratus. Namun tidak dipastikan apakah ia satu kelaziman bagi PKNS untuk menawarkan tanah dengan harga istimewa kepada semua Menteri Besar yang baru dilantik?

"Sesiapa yang mendapat tanah daripada PKNS sudah cukup beruntung kalaupun harganya tetap. Ini kerana harga yang ditawarkan PKNS jauh lebih murah daripada harga pasaran," kata seorang ahli perniagaan yang terbabit dalam hartanah.

"Malah harga pasaran tanah di Seksyen 2, Bandar Baru Bangi itu sekurang-kurangnya RM25 sekaki persegi," tambahnya.

Bukan soal nilai tanah yang menjadi pertikaian tetapi kita khuatir jika dalam proses jual-beli sekecil itu berlaku amalan salah guna kuasa kita bertambah bimbang takut-takut dalam urusan yang lebih besar dan membabitkan lebih banyak wang rakyat, amalan rasuah lebih mudah berleluasa.

Tetapi lebih menakutkan kita jika Menteri Besar sanggup berbohong dalam persidangan Dewan Undangan Negeri yang lalu semata-mata untuk mengelak dari pertuduhan yang dihadapkan ke atasnya.

Benarkah apabila Dr Khir berkata bahawa kedua-dua tawaran terhadap tapak tanah lot banglo di Seksyen 2, Bandar Baru Bangi itu adalah dengan harga yang sama?

Kedua, benarkah Dr Khir berkata bahawa beliau menolak tawaran berkenaan sedangkan sumber memberitahu tawaran itu diterimanya dan pembayaran telah selesai dilakukan? Saya menunggu jawapan Dr Khir.


AHMAD LUTFI OTHMAN, bekas pengarang majalah Detik yang diharamkan, merupakan penulis politik yang prolifik, selain pengarang dan penerbit bahan-bahan bacaan yang berani berdepan dengan Kementerian Dalam Negeri. Beliau juga merupakan bekas pengarang Harakah dan pernah menjadi aktivis pelajar.

Read more from this author :
Read more like this :
Most Read
Most Commented
Most Recent