Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Di tengah bantahan, KKM tawar lanjutan setahun buat doktor kontrak
Diterbitkan:  Jul 6, 2021 9:19 PM
Dikemaskini: 1:36 PM

Di tengah isu doktor kontrak dan desakan yang disuarakan doktor baru dan Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), Kementerian Kesihatan (KKM) mengeluarkan pekeliling yang menyatakan doktor kontrak akan ditawarkan pelantikan semula sebagai pegawai kontrak berasaskan kontrak daripada 5 Disember 2021 hingga 4 Disember 2022.

Pekeliling yang dilihat Malaysiakini itu menyatakan, doktor Gred UD43 akan ditawarkan kontrak secara one-off susulan wabak Covid-19.

"Penempatan tuan/puan bagi tujuan pelantikan semula secara kontrak adalah dikekalkan melainkan diarahkan bertukar oleh ketua jabatan.

"Bagaimanapun, ketua jabatan dimohon untuk mengutamakan penempatan tuan/puan ke pusat pemberian vaksin (PPV) selaras dengan pelaksanaan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (Pick)," menurut pekeliling itu.

Pekeliling itu turut berkata, pelantikan itu tertakluk kepada semakan terma dan syarat perkhidmatan yang ditentukan kerajaan dari masa ke masa, selain ia dibuat secara one-off dan tidak menjadi duluan untuk masa akan datang.

Sistem kontrak ini mula diperkenalkan pada 2016 sebagai penyelesaian awal bagi isu penangguhan penempatan di kalangan doktor pelatih.

Dengan menyertai perkhidmatan awam, doktor baru akan diberi pakej kontrak lima tahun, iaitu kontrak tiga tahun dengan pilihan lanjutan dua tahun.

Setakat ini seramai 23,077 doktor kontrak telah diambil. Bagaimanapun, hanya 789 daripada mereka yang diberi penempatan kekal dalam perkhidmatan kesihatan awam.

Seorang wakil MMA memberitahu Malaysiakini, kemungkinan kempen Code Black dan Black Monday (dijadual 12 Julai ini) sedikit sebanyak memberi impak dalam mendorong kerajaan membuat keputusan ini.

"Ia sudah pun disebut sebelum ini jadi saya tak fikir rancangan itu sesuatu yang baru, tetapi pelaksanaannya mungkin akibat tekanan.

"Kebanyakan doktor (kontrak) pengambilan pertama akan tamat kontrak pada akhir tahun ini diberi lanjutan setahun oleh KKM.

"Bagaimanapun, langkah ini tidak menyelesaikan masalah," katanya.

Dia berkata MMA telah banyak kali menggesa kerajaan untuk merangka penyelesaian jangka panjang dan tidak menangani isu tersebut seperti merawat pesakit tanpa mengenal pasti punca penyakitnya.

Sementara lanjutan kontrak adalah bagus, tempoh setahun yang ditawarkan bukanlah sesuatu yang sesuai, katanya lagi.

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS