Kaum Cina di Malaysia adalah dalam keadaan baik, malah lebih baik daripada kaum bumiputera dan orang Melayu, kata Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Sehubungan itu, beliau sekali lagi menolak dakwaan bapa pengasas Singapura, Lee Kuan Yew bahawa kaum Cina Malaysia telah dipinggirkan.

Perdana Menteri juga menyifatkan tuduhan tersebut sebagai tidak tidak berasas.

"Ya, ia tidak berasas. Dan ia satu isu yang boleh menyebabkan ramai rakyat tidak gembira," katanya dalam wawancara dalam program Talk Asia yang disiarkan Cable News Network (CNN), hari ini.

"Kenapa? sesetengah mereka malahan mengangap ia sama seperti mencampuri apa yang kami lakukan sekarang.

"Kaum Cina di Malaysia dalam keadaan baik. (Malah) Mereka lebih baik daripada kaum bumiputera, daripada orang Melayu," katanya.

Menurut laporan Bernama, Abdullah turut menarik perhatian bahawa kaum Cina mencapai apa yang diperolehinya hari ini kerana kerajaan memberikan mereka peluang untuk berjaya.

Tidak puas hati

Lee, 83, memberitahu satu forum mengenai urus-tadbir yang baik di Singapura baru-baru ini bahawa "Jiran saya kedua-duanya mempunyai masalah dengan masyarakat Cina mereka. Mereka berjaya, mereka bekerja keras dan, kerana itu, mereka dipinggirkan secara sistematik, malah dalam bidang pendidikan.

"Dan mereka mahu Singapura, dengan kata mudah, menjadi seperti orang Cina mereka-hanya menurut sahaja."

Komen itu mendapat bantahan di Malaysia dan Indonesia. Kementerian luar kedua-dua negara telah memanggil duta-duta Singapura untuk memberi penjelasan mengenai kenyataan Lee itu.

Abdullah telah mengutus surat kepada Lee berhubung isu tersebut, dalam dalam surat balasnya, Lee berkata beliau tidak berniat untuk masuk campur dalam politik Malaysia dan beliau tidak mempunyai kuasa untuk mempengaruhi atau menghasut orang Cina di Malaysia.

Beliau juga memohon maaf kerana telah menyebabkan ketidakselesaan kepada Abdullah.

Dalam reaksinya terhadap surat Lee itu, Abdullah dilaporkan telah membayangkan beliau tidak berpuas hati dengan permohonan maaf oleh Lee apabila beliau sekadar mengatakan: "Saya sudah mengambil maklum surat Menteri Mentor Singapura itu."

"Saya menerima surat beliau dan saya memahami isi kandungan surat itu, dan saya sudah mengambil maklum mengenainya. Tapi saya rasa... biarlah saya katakan begini, bahawa kenyataan Lee Kuan Yew yang dibuatnya di Singapura itu tidak wajar dan tidak dihargai," katanya dalam laporan tersebut..