Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

KOLUM | Tulisan ini bertujuan untuk melihat kesesuaian idea Ali Shariati dengan politik tanah air pada hari ini. Bagaimana ideanya boleh berfungsi untuk menjana kebangkitan masyarakat yang ditindas barisan diktator yang dipilih melalui demokrasi.

Artikel ini bukan mencatatkan sejarah peribadi Shariati. Tulisan ini bersempena sambutan perayaan Zulhijjah yang menjadi mauduk buku Shariati. Mungkin inilah topik yang sesuai untuk mengisi masa sewaktu terkurung sambil dibebani krisis politik dan pandemik ini.

Pada 2010 saya menziarahi sebuah kawasan makam purba yang dikenali sebagai Bab al-Saghir di Damsyik. Di situ ada makam Bilal bin Rabah. Di situ juga terdapat makam isteri Rasullah SAW iaitu Ummu Salamah dan Ummu Habibah, selain beberapa makam ahlul bait yang rapat dengan baginda.

Saya tidak mengetahui bahawa di situ juga letaknya makam Shariati, seorang intelektual yang dipercayai mati dibunuh oleh agen KGB di Southampton, UK pada Jun 1977.

Walaupun laporan perubatan menyebut dia mati kerana penyakit jantung, beberapa laporan lain menyatakan sebaliknya.

Shariati antara susuk penting yang mencetuskan gerakan revolusi Islam Iran pada 1978. Namanya dibayangi dengan karismatik Imam Khomeini yang hidup dalam buangan di Perancis.

Ketika Khomeini berjuang melalui kaset-kaset ucapannya, Shariati memilih mengajar mahasiswa di tanah airnya sendiri. Walaupun Khomeini di Paris, gerakannya berpusat di Qum yang menjadi markas mullah (ulama Syiah) menentang pemerintah yang zalim.

Lakukan pembersihan dalam negara

Sebaliknya, pusat gerakan Shariati ialah di universiti bersama para intelek, golongan menengah dan anak muda. Setelah ditahan pemerintah dibawah Shah Iran, Shariati memilih jalan untuk hidup dalam buangan.

Dia hanya sempat berada di buangan selama tiga bulan sebelum meninggal dunia ketika berusia 44 tahun. Ia adalah usia yang masih muda dan bertenaga.

Shariati menyedari proses pembangunan manusia yang ideal perlu menggabungkan unsur logik (ilmu), etika (moral) dan estetika (keindahan). Itulah kunci kepada kehidupan bermasyarakat pada pemikirannya.

Pada pandangannya manusia perlu mengimbangi peranan sebagai khalifah di muka bumi, dengan hamba Allah yang disebutkan dalam al-Quran.

Selepas kejayaan revolusi Iran, nama Shariati cuba dikikis daripada sejarah oleh pihak tertentu. Golongan kiri dalam revolusi Iran tersisih terutama selepas 1988 apabila kelompok mullah mengambil pendekatan melakukan ‘pembersihan’ dalam negara.

Ia dilakukan kerana pengaruh kritikan keras Shariati terhadap golongan agamawan yang dianggapnya penyebab masyarakat menjadi beku. Padanya amalan agama yang tidak bersifat operatif, gemar dipamer-pamerkan, tidak menyelesaikan masalah rakyat, dan agama dijadikan modal untuk membina pengaruh.

Salah sebuah karyanya yang terkenal ialah Hajj yang diterbitkan setahun selepas kematiannya. Huraian Shariati terhadap watak Bal’am dalam Hajj menjelaskan lebih dalam bagaimana watak ‘musang berjanggut’ bekerjasama dengan diktator, kapitalis dan birokrat jahat menindas golongan bawahan.

Bal’am adalah lambang watak intelek dan ulama jahat dalam masyarakat.

Semasa Shariati belajar di Perancis, dia berhubung dengan Frantz Fanon, seorang intelek dari Mauritania. Fanon merupakan salah seorang cendekiawan yang terlibat dalam gerakan penentangan penjajahan Perancis di Algeria serta koloni lain.

Fanon berkata agamalah yang menyebabkan masyarakat menjadi beku. Shariati menolak pandangan tersebut dan mengemukakan idea-idea Islam yang progresif. Antaranya melalui tulisannya mengenai ibadah haji.

Haji adalah ibadah yang mempamerkan kembali sejarah manusia, pertunjukan kesatuan di atas satu pentas. Jemaah haji sendiri mengulangi kembali sejarah yang pernah terjadi ribuan tahun lebih awal, sama ada oleh Nabi Muhammad, Nabi Ibrahim, Nabi Ismail, Siti Hajar dan Nabi Adam.

Dapat inspirasi semasa haji

Tok Guru Nik Aziz pernah menggunakan istilah ‘demonstrasi’ merujuk kepada ibadah haji. Ia adalah satu pertunjukan individu yang berhimpun dalam tempoh dan tempat yang sama untuk tujuan yang sama: pengabdian kepada Maha Pencipta.

Shariati menyatakan setiap kewujudan memerlukan pergerakan untuk memberi makna dalam kehidupan. Setiap perubahan akan melibatkan ‘darah’ dan mesej.

Dia mengambil iktibar daripada peristiwa Karbala, hari-hari Muharam dan ash-Shura yang menerbitkan tiga watak pilihan dalam pergolakan, iaitu Hussein yang terkorban, Zainab yang bertahan dan menyebarkan mesej perjuangan bagi terus menentang watak Yazid yang menjadi penindas.

Tiga watak itulah yang sentiasa wujud dalam sejarah perjuangan manusia di muka bumi ini.

Dalam sejarah moden, haji menyunting semangat pembebasan kepada pejuang-pejuang kemerdekaan. Pertemuan Imam Shamil dari Dagestan dengan Shaikh Abdul Qadir al-Jaziri dari Afrika semasa musim haji di Mekah mencetuskan penentangan terhadap penjajahan di tanah air mereka.

Sama juga dengan Malcolm X yang mendapat inspirasi selepas selesai menunaikan haji.

Pada 1850-an, Richard Burton yang melawat Mekah dan Madinah menyimpulkan haji merupakan pusat penyebaran idea penentangan kolonialsme oleh umat Islam.

Hal yang sama juga dinyatakan oleh Snouck Hurgronje kepada Belanda yang menjajah Indonesia.

Shariati mentafsirkan semula peristiwa Nabi Ibrahim yang hendak mengorbankan Ismail sebagai memenuhi perintah Allah. Perintah itu adalah ujian paling berat ditanggung oleh baginda. Ibrahim terpaksa memilih kasih di antara Ismail atau Allah.

Bagi Shariati, episod pengorbanan Ismail adalah tahap terakhir bagi perubahan dan idealisme pembebasan serta penyerahan mutlak seorang hamba kepada Tuhannya.

Siapa ‘Ismail’ bagi saudara? ‘Ismail’ adalah apa jua yang melemahkan. Ia mungkin jawatan, wang ringgit, nama atau apa jua yang paling anda sayang. Tulis Shariati yang cukup mengesankan.

Jika ini ditamsilkan dengan suasana pemimpin dan negara pada hari ini, apakah jabatan politik itu lebih penting daripada nyawa rakyat? Inilah pengorbanan yang perlu kita pilih.

Sama ada menjadi watak Hussein yang terkorban atau Zainab yang menjadi agen pengubah masyarakat, atau Yazid yang rakus pada kuasa?

Kita juga sebagai masyarakat perlu menilai siapa yang menjadi Firaun, Qarun dan Bal’am dalam situasi tanah air. Siapa lagi yang menggunakan ayat-ayat Bal’am demi mengesahkan tindakan Firaun dan Qarun?

Kita perlu sasarkan ‘tujuh batu’ ke arah tiga jamrah. Jamrah itu adalah lambang tiga watak penindas: Firaun, Qarun dan Bal’am. Rakyat perlu membebaskan diri daripada cengkaman mereka yang hanya mementingkan diri dan kelompok (parti) sahaja.

Saudara-saudara perlu bersatu padu pada saat begini!


MUHAIMIN SULAM ialah penulis dan penyelidik.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS