mk-logo
Berita
Kabinet termasuk MP Umno sebulat suara sokong Muhyiddin
Diterbitkan:  Jul 14, 2021 5:06 PM
Dikemaskini: 9:37 AM

Tidak sampai seminggu Umno meminta Muhyiddin Yassin berundur "secara terhormat" daripada jawatan perdana menteri, hari ini kabinet - yang termasuk ahli parlimen Umno - menyatakan sokongan kepada Presiden Bersatu itu.

Dalam kenyataan bersama dikeluarkan hari ini, jemaah menteri berkata mesyuarat kabinet yang berlangsung hari ini sebulat suara kekal dengan sokongan mereka kepada Muhyiddin.

"Keutamaan kerajaan ketika ini ialah untuk menjayakan Pelan Pemulihan Ngeara (PPN) demi kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negara serta membawa negara keluar dari pandemik Covid-19," kata kenyataan itu.

Pada 8 Julai lalu Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan keputusan majlis tertinggi (MT) parti berkenaan untuk menarik balik sokongan mereka kepada Muhyiddin serta-merta.

Kata Ahmad Zahid keputusan itu dibuat MT Umno berpandukan kepada tujuh kegagalan kerajaan PN sebelum ini.

Justeru ahli parlimen Bagan Datuk itu mendesak Muhyiddin berundur secara terhormat bagi membolehkan seorang perdana menteri baru dilantik untuk satu tempoh yang terhad. 

Untuk rekod, di sebalik pendirian Umno tidak menyertai PN, ada sembilan ahli parlimen mereka menyertai kabinet Muhyiddin, dengan seorang daripada mereka, Ismail Sabri Yaakob, dilantik menjadi timbalan perdana menteri.

Lapan lagi ahli parlimen Umno yang menyertai kabinet ialah:

  • Annuar Musa (Ketereh)
  • Shamsul Anuar Nasarah (Lenggong)
  • Noraini Ahmad (Parit Sulong)
  • Reezal Merican Naina Merican (Kepala Batas)
  • Hishammuddin Hussein (Sembrong)
  • Khairy Jamaluddin (Rembau)
  • Halimah Mohamed Sadique (Kota Tinggi)
  • Dr Adham Baba (Tenggara)

Pelantikan Ismail Sabri sebagai timbalan perdana menteri juga menyaksikan seorang lagi ahli parlimen Umno, Hishammuddin, dijadikan menteri kanan.

Dengan pendirian itu juga menunjukkan semua ahli parlimen Umno itu tidak mematuhi pendirian dan ketetapan dibuat MT Umno pada minggu lalu.

Menurut kabinet, setiap keputusan kerajaan diambil secara kolektif dan selepas mengambil pandangan semua pihak.

Bagaimanapun jumlah sebenar ahli parlimen Umno yang enggan mengikut pendirian parti itu dan terus memberikan sokongan kepada Muhyiddin belum dapat dipastikan setakat ini.

Menurut Perkara 43 (2) (a) Perlembagaan Persekutuan seseorang perdana menteri yang dilantik perlulah pada hemat Yang di-Pertuan Agong mungkin mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat itu.

Ketika ini pengkritik mendakwa Muhyiddin sudah kehilangan sokongan majoriti namun kedudukan itu - atau sebaliknya - tidak pernah diuji di parlimen.

 

Lihat Komen
ADS