Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kes rasuah RM2 juta: Mahkamah batalkan sabitan bersalah Ku Nan

Mahkamah Rayuan hari ini membatalkan sabitan bersalah terhadap bekas Menteri Wilayah Persekutuan Tengku Adnan Tengku Mansor dalam kes rasuah berjumlah RM2 juta.

Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan membenarkan rayuan Tengku Adnan dalam prosiding hari ini.

Keputusan majoriti dibuat oleh pengerusi Suraya Othman dan Ahmad Nasfy Yasin, yang memutuskan RM2 juta yang diterima Tengku Adnan adalah sumbangan politik untuk dua pilihan raya kecil (PRK).

Seorang lagi panel, hakim Abu Bakar Jais pula membuat keputusan menolak permohonan itu.

Pada 21 Disember lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan ahli parlimen Putrajaya itu bersalah menerima rasuah sebanyak RM2 juta.

Hakim Mohamed Zaini Mazlan menjatuhkan hukuman penjara 12 bulan dan denda sebanyak RM2 juta.

Bagaimanapun, mahkamah membenarkan permohonan pembelaan untuk menangguhkan hukuman sementara menunggu proses rayuan di Mahkamah Rayuan.

Tengku Adnan didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan.

Menurut pertuduhan, Tengku Adnan didakwa dalam kapasitinya sebagai seorang penjawat awam iaitu menteri Wilayah Persekutuan, telah menerima untuk dirinya wang berjumlah RM2 juta daripada seorang ahli perniagaan Chai Kin Kong yang merupakan pengarah kepada Aset Kayamas Sdn Bhd (AKSB).

Rasuah itu diterimanya melalui cek Hong Leong Islamic Bank milik AKSB yang telah didepositkan ke dalam akaun bank CIMB milik Tadmansori Holdings Sdn Bhd (THSB) yang beliau mempunyai kepentingan dan diketahui syarikat AKSB ada perhubungan dengan kerja-kerja rasminya.

Kesalahan itu didakwa dibuat di CIMB Pusat Bandar Damansara pada 14 Jun 2016.

Ketika membaca penghakiman majoriti, Suraya berkata Mahkamah Tinggi gagal mengambil kira kegagalan pihak pendakwaan untuk memeriksa semula Chai, yang merupakan saksi utama pendakwaan, bahawa wang RM2 juta itu adalah untuk sumbangan politik kepada Umno bagi dua pilihan raya pada 2016.

"Keseluruhan kes pendakwaan (terhadap Adnan) adalah berasaskan keterangannya (Chai).

"Tiada hujahan daripada pendakwaan yang Chai adalah seorang yang tidak jujur dan tidak berkata benar...hakim gagal mengambil kira perkara itu.

"Kami dapati kegagalan dalam isu kritikal seperti ini bersamaan dengan penyalaharahan (misdirection) yang menjadikan sabitan boleh dipertikaikan," katanya.

Suraya juga berkata, pihaknya setuju dengan peguam bela bahawa pendakwaan terikat dengan keterangan saksinya sendiri.

Katanya, ia dikukuhkan lagi dengan kegagalan pendakwaan untuk mencabar keterangan Chai yang dia menerima resit untuk RM2 juta yang disalurkan sebagai sumbangan politik kepada Umno pada 2016.

"Kami dapati bukti langsung ini tidak dicanggah atau dicabar oleh pendakwaan," katanya lagi.

Sementara itu, Abu Bakar yang menolak rayuan tersebut berkata, Mahkamah Tinggi telah membuat keputusan yang betul dalam kes itu.

Dia juga menyifatkan langkah Tengku Adnan untuk bergantung kepada keterangan Chai, bahawa wang itu adalah sumbangan politik, sebagai "swadiri" (self-serving).

"Chai berkata ia (RM2 juta) adalah sumbangan politik hanya kerana Adnan beritahunya bahawa wang tersebut untuk sumbangan politik," kata Abu Bakar.

Dia juga membangkitkan yang Tengku Adnan telah memberi keterangan bertentangan berkenaan dakwaan resit Umno untuk menunjukkan wang tersebut memang untuk sumbangan kepada parti itu.

Selepas prosiding hari ini, Adnan enggan bercakap dengan pemberita dan segera meninggalkan Istana Kehakiman di Putrajaya.

Bagaimanapun, sebaik berada di luar perkarangan, dia dilihat seperti menadah tangah untuk berdoa.

Ketika dihubungi selepas prosiding, Timbalan Pendakwa Raya Asmah Musa berkata pihaknya akan menunggu arahan sama ada untuk membuat rayuan terhadap keputusan hari ini atau tidak.

Adnan diwakili peguam Tan Hock Chuan.

[Baca berita asal]

ADS