MCA telah menjual 21 peratus daripada 44.4 peratus sahamnya dalam syarikat akhbar Nanyang Press kepada sebuah syarikat tidak dikenali, Ezywood Sdn Bhd, mengesahkan spekulasi yang tersebar sebelum ini

Tidak banyak yang diketahui mengenai syarikat ini kecuali tercatat jutawan balak dan media, Tiong Hiew King sebagai salah seorang ahli lembaga pengarahnya.

Sebelum ini Tiong telahpun memiliki 20.44 peratus kepentingan dalam kumpulan akhbar tersebut menerusi empat syarikatnya Madigreen Sdn Bhd, Ezywood Options Sdn Bhd, Tiong Toh Siong Holdings Sdn Bhd and Permandangan Sinar Sdn Bhd, menjadi pemegang saham kedua terbesar dalam kumpulan akhbar itu.

Ahli perniagaan itu sebelum ini telahpun menguasai kumpulan akhbar Sin Chew Media Corporation Bhd, yang menerbitkan akhbar berbahasa Cina, Sin Chew Daily dan Guangming Daily.

Jawatankuasa Pusat MCA yang bermesyuarat di Wisma MCA, di ibunegara hari ini telah meluluskan cadangan penjualan tersebut.

Nanyang pada tahun lalu mencatatkan kerugian RM6.3 juta bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2006. Ini adalah kerugian pertamanya sejak diambilalih oleh MCA pada tahun 2001.

Kerugian yang ditanggung oleh Nanyang itu dikatakan menjadi punca utama mengapa saham-saham tersebut dijual kepada Tiong bagi membolehkannya mengambil dan menyusun semula syarikat berkenaan.

MCA juga dikatakan tidak mahu lagi membabitkan diri dalam syarikat akhbar itu kerana sejak ia menguasai Nanyang, kredibiliti akhbar itu telah terjejas teruk hingga menjatuhkan jualannya.

Sayap pelaburan MCA, Huaren Holdings mengambilalih Nanyang pada tahun 2001 pada harga RM 230 juta walaupun pengambilalihan itu mendapat kritikan hebat masyarakat Cina.

Berikutan pengambilalihan oleh MCA itu, pada 28 Mei 2002 nama Tiong dikaitkan dengan kontroversi berkenaan kerana kumpulan akhbar Sin Chew dikatakan turut terbabit dalam ususniaga tersebut.

Walaupun Tiong menafikannya, kira-kira 100 kolumnis berhenti menulis dalam Sin Chew Daily dan Guangming sebagai tanda protes.

Spekulasi Sin Chew akan mengambil Nanyang daripada MCA muncul kembali apabila bekas Pengarah Eksekutif Sin Chew Media Corporation Bhd, Gan Chin Kew dilantik sebagai Pengarah Urusan/Ketua Pegawai Eksekutif baru Nanyang bulan lalu.