MCA akan mengikut jejak Umno menangguhkan pemilihan pucuk pimpinan jika keadaaan memerlukan parti itu berbuat demikian pada masa depan.

Cadangan membenarkan pemilihan parti ditangguhkan diluluskan oleh mesyuarat Jawatankuasa Pusat (CC) parti itu semalam.

Presiden MCA, Datuk Seri Ong Ka Ting berkata, mesyuarat tersebut meluluskan usul meminda perlembagaan parti untuk membenarkan CC menangguhkan pemilihan parti.

Bagaimanapun katanya, CC akan hanya membenarkan pemilihan parti ditangguhkan jika dua pertiga daripada 40 anggota bersetuju dan kuasa ini hanya boleh dilakukan selepas tiga tahun setengah selepas pilihan raya umum diadakan.

"Kita melihatnya dari segi teknikal dan perundangan yang perlu dilakukan untuk mengelakkan situasi di mana pilihan raya umum diadakan atau jika pilihan raya umum diadakan pada masa yang sama," katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat CC dan sesi taklimat khas perwakilan MCA di ibunegara semalam.

Beliau berkata ini kerana di bawah perlembagaan parti sekarang, MCA mesti mengadakan pemilihan setiap tiga tahun dan pemilihan parti mestilah diadakan tidak melebihi tempoh tiga tahun atau penggal tiga tahun telah tamat.

Menurut laporan Bernama, pemilihan MCA diadakan setiap tiga tahun.

"MCA belum menyediakan sebarang fleksibiliti untuk tempoh jawatan melebihi tiga tahun, Sebagai contoh, pemilihan (pilihan raya umum) diadakan pada masa yang sesuai, misalnya dua tahun sembilan bulan dan melebih 20 hari dan anda hanya tinggal beberapa hari sahaja, dan jika anda tidak adakan pemilihan parti, tempoh jawtan tidak sah atau menyalahi undang-undang," tambah beliau.

Dengan itu, Ong berkata parti itu tidak banyak pilihan kecuali meminda perlembagaan parti untuk memberikan kuasa kepada CC bagi memutuskan menangguhkan pemilihan parti.

Cadangan untuk parti itu meminda perlembagaan tersebut disediakan oleh jawatankuasa pindaan perlembagaan yang diketuai setiausaha agung Ong Ka Chuan.