Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Lim gesa k'jaan jelaskan isu keberkesanan vaksin Sinovac
Diterbitkan:  Jul 18, 2021 12:47 PM
Dikemaskini: 4:47 AM

Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng menggesa kerajaan Perikatan Nasional (PN) agar menjelaskan kekhuatiran berkenaan keberkesanan vaksin Covid-19 Sinovac, susulan kajian yang dibuat di Hong Kong dan Chile baru-baru ini.

Lim berkata, penjelasan berdasarkan data dan sains berkenaan tahap keberkesanannya berbanding vaksin yang dibangunkan dengan teknologi mRNA perlu dibuat bagi menghilangkan keraguan dan kekeliruan di kalangan rakyat.

"Kegagalan berbuat demikian hanya akan menjejaskan keyakinan awam terhadap satu-satunya program kerajaan PN yang menunjukkan sedikit kemajuan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Kajian di Hong Kong yang diterbitkan dalam jurnal The Lancet bulan ini mendapati mereka yang mendapat vaksin mRNA keluaran Pfizer-BionTech memiliki antibodi sepuluh kali ganda berbanding mereka yang menerima vaksin Sinovac.

Pihak yang menjalankan ujian klinikal terhadap manusia untuk vaksin Sinovac di Chile juga mengesyorkan dos ketiga diberikan memandangkan kajian mereka menunjukkan tahap antibodi peserta ujian itu menurun selepas enam bulan.

Lim berkata, kerajaan perlu menangani sebarang keraguan agar tidak terheret dalam persaingan geopolitik antara kuasa besar dunia, seperti kritikan terhadap vaksin keluaran China walaupun ia telah mendapat kelulusan daripada Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO).

Katanya lagi, sementara DAP menyokong penuh Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (Pick), perlu ada komunikasi yang jelas dan betul berhubung hala tuju dasar berkenaannya.

"Jika tidak, ia akan mengakibatkan makin ramai yang merasa ragu dan keberatan, termasuk mereka yang sudah menerima vaksin Sinovac," katanya lagi.

Walaupun dua kajian itu membangkitkan kebimbangan terhadap keberkesanan vaksin Sinovac, ahli epidemiologi yang terlibat dalam kajian di Hong Kong, Ben Cowling berkata orang ramai tetap perlu mendapatkan vaksin itu jika itu sahaja pilihan mereka, kerana ia tetap memberi perlindungan daripada wabak Covid-19.

"Jangan biarkan kesempurnaan menghalang perkara yang baik," katanya seperti dipetik AFP.

Lihat Komen
ADS