Guan Eng: DAP terima permohonan maaf Mohd Fauzi
DAP menerima dengan hati terbuka permohonan maaf Ketua Jabatan Perundangan Islam, Syarikat Takaful Malaysia, Mohd Fauzi Mustaffa serta penarikan balik e-melnya mengenai larangan mengucap selamat Deepavali yang telah menyinggung perasaan masyarakat Hindu.
DAP menerima dengan hati terbuka permohonan maaf Ketua Jabatan Perundangan Islam, Syarikat Takaful Malaysia, Mohd Fauzi Mustaffa serta penarikan balik e-melnya mengenai larangan mengucap selamat Deepavali yang telah menyinggung perasaan masyarakat Hindu.
Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, Mohd Fauzi memohon maaf dan menarik balik e-melnya itu sejam selepas delegasi DAP (foto bawah) mengadakan pertemuan dengan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Takaful Malaysia, Md Azmi Abu Bakar petang semalam.
Dalam pertemuan tersebut, katanya, DAP menuntut supaya Mohd Fauzi memohon maaf demi keharmonian kaum dan agama dan 'menutup' insiden yang telah mengguris hati rakyat Malaysia, khususnya penganut agama Hindu.
Katanya, Mohd Fauzi telah mengedarkan e-mel pada 3 Oktober lalu, melarang kakitangan Islam syarikat insuran itu daripada memberi ucapan selamat yang berkaitan kepercayaan agama lain.
Menurut e-melnya, antara ucapan perayaan yang perlu dielakkan oleh kakitangan Islam Takaful ialah "Happy Deepavali, Happy Durga Pooja dan Happy Lakshmi Pooja" kerana ucap selamat itu membabitkan Tuhan mereka.
Menurut Fauzi, oleh kerana perayaan itu membabitkan penyembahan dewa Hindu, maka ungkapan ucap selamat itu boleh menyebabkan berlakunya syirik dan bertentangan dengan ajaran Islam.
Perlu berhati-hati
Malah, beliau menasihatkan umat Islam yang telah terlanjur mengucap selamat kepada penganut Hindu supaya segera bertaubat dan tidak mengulanginya lagi pada masa-masa akan datang.
Bagaimanapun, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Abdullah Mohd Zin dan Mufti Perak, Datuk Seri Harussani Zakaria tidak bersetuju dengan tindakan Mohd Fauzi mengedarkan e-mel seumpama itu.
Lim berkata, DAP berharap Mohd Fauzi akan lebih berhati-hati ketika berurusan dengan bukan Islam di Takaful Malaysia.
"Kami ingin mengucapkan terima kasih kepada CEO Takaful Malaysia berhubung pendekatannya yang rasional dan profesional dalam menangani isu tersebut demi kebaikan Takaful sebagai sebuah entiti perniagaan yang bukan sahaja milik rakyat Malaysia, tetapi juga berurusan dengan umat Islam dan bukan Islam," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Lim juga menyuarakan rasa kesal DAP terhadap tindakan Pemuda PAS mengkritik parti itu berhubung pendiriannya dalam isu berkenaan.
Malah, katanya, Pemuda PAS mengancam untuk mengambil tindakan agresif terhadap parti itu.
Kesal dengan Pemuda PAS
"Kenyataan yang ekstrim seperti itu, bertentangan dengan dakwaan bahawa mereka menghormati hak bukan Islam dan mempertahankan kebebasan beragama," tambah Lim.
Katanya lagi, Naib Ketua Pemuda PAS, Azman Aliman (foto bawah) juga mendakwa DAP mengadakan demonstrasi di Ibu Pejabat Takaful Malaysia semalam.
"Ini adalah satu pembohongan kerana DAP percaya pentingnya mengadakan dialog terlebih dahuluseperti yang diadakan dengan CEO Takaful Malaysia (semalam)," katanya.
Lim berkata, DAP berharap pucuk pimpinan PAS boleh bersikap rasional dan merenung realiti dalam masyarakat berbilang kaum dan agama seperti di Malaysia.
DAP juga, katanya, berharap agar rakyat Malaysia mengelak sebarang tindakan yang boleh menjejaskan keharmonian agama di negara ini.
"Oleh itu, marilah kita menyambut Hari Raya Aidilfitri dan Deepavali dalam semangat muhibah, kasih sayang dan hormat menghormati," tambahnya.

