Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Suntik picagari kosong: Satu kes sudah diambil tindakan, kes lain disiasat - CITF

Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 sedang menyiasat beberapa aduan mengenai dakwaan petugas menggunakan picagari kosong ketika program vaksinasi Covid-19.

CITF berkata, kes pertama berlaku pada 17 Julai melalui vaksinasi di kem tentera Lapangan Terbang Sungai Petani yang disasarkan untuk anggota tentera dan anggota keluarga mereka.

"Vaksinasi di PPV (pusat pemberian vaksin) tersebut dilaksanakan oleh petugas daripada Rumah Sakit Angkatan Tentera (RSAT) di kem tersebut.

"Satu siasatan telah dijalankan oleh pihak ATM mengenai kejadian tersebut di mana individu-individu yang terlibat telah dipanggil untuk memberi penjelasan.

"Tindakan tatatertib telah diambil ke atas petugas vaksinasi tersebut," kata CITF dalam satu kenyataan hari ini.

Sebuah klip video mengenai kejadian tersebut tular di media sosial yang menunjukkan lengan seorang wanita disuntik tetapi kandungan picagari tidak dimasukkan ke lengan.

CITF juga mengakui dua insiden lain di Pusat Pameran Perdagangan Antarabangsa Malaysia (Mitec) dan Pusat Konvensyen Bangi Avenue (BACC).

Kejadian di Mitec berlaku pada 17 Julai dan pengadu telah membuat laporan polis.

 

Pengadu, Tan Wing Sam yang seharusnya menerima dos pertama vaksin Pfizer Covid-19, berkongsi di Facebook bahawa dia disuntik dengan picagari kosong.

Tan mengatakan bahawa dia telah meminta untuk merakam video pada awal proses tetapi tidak dibenarkan melakukannya.

"Dia kata tak boleh, dan saya akur," katanya. Namun, apa yang berlaku kemudiannya membimbangkannya.

"Yang dia lakukan hanyalah masukkan jarum dan keluarkan tanpa menyuntik kandungan dalam picagari ke dalam badan saya.

"Saya bertanya apakah dia benar-benar melakukannya dengan betul dan dia menjawab 'Sudah tentu ada lah, kalau awak nak saya bagi satu lagi'. Senangnya dia tawar suntikan lain lepas suntikan saya yang pertama.

"Kemudian dia terus mendapatkan jarum suntikan baru dan mula dari awal lagi. Kali ini dengan semua langkah yang (saya anggap) tepat untuk mengeluarkan vaksin dari botol, masukkan jarum ke lengan, dan memasukkan vaksin ke lengan saya," katanya.

Tan berkata, dia kemudian mengemukakan aduan dengan penyelia.

"Penyelia membawa saya kembali ke gerai dan bertanya kepada jururawat itu lagi, dan jururawat mengakui apa yang dia lakukan dan mereka meminta maaf," katanya.

Tan juga merakam audio perbualan dengan penyelia yang juga meminta maaf.

 

"Saya mengemukakan masalah ini kepada semua orang kerana boleh menjadi sangat berbahaya jika anda tidak mendapat vaksin dengan betul dan anda sangat gembira memikirkan anda sudah mendapat vaksin.

"Saya tertanya-tanya berapa ramai di luar sana yang berpendapat bahawa mereka mendapat vaksin tetapi sebenarnya tidak," katanya.

Sementara itu, kejadian di BACC juga berlaku pada 17 Julai dan penyedia perkhidmatan itu membuat laporan polis pada keesokan harinya. Ariff juga membuat laporan polis petanf tadi.

Pengadu, yang hanya mahu dikenali sebagai Ariff, mengatakan bahawa dia ditunjukkan sebotol kosong vaksin Covid-19 Sinovac.

"Dia menjelaskan tentang apa itu Sinovac tetapi botolnya kosong. Tidak ada cecair di dalamnya.

"Lepas saya tenung seketika, pemberi vaksin segera berkata 'maaf maaf' dan memasukkan botol ke dalam mangkuk logam," katanya kepada Malaysiakini.

Ariff memerhatikan ketika pemberi vaksin mencari botol vaksin baru dari kotak ais.

"Dia menunjukkan vaksin sekali lagi dan kali ini, saya melihat ada cecair di dalamnya. Dia mengeluarkan vaksin ke dalam jarum suntikan dan menunjukkan jarum suntikan itu kepada saya.

"Kemudian saya mendapat suntikan," katanya.

Ariff menyatakan bahawa dia tidak dibenarkan merakam proses tersebut. Dia menambah bahawa tidak ada penjelasan mengapa botol pertama yang ditunjukkannya kosong.

CITF mengatakan polis sedang menyiasat kedua-dua kejadian tersebut dan orang ramai akan dimaklumkan mengenai sebarang kemas kini.

"Sekiranya didapati bersalah, pihak CITF tidak akan teragak-agak untuk menamatkan perkhidmatan petugas yang terlibat dan mengambil tindakan tegas mengikut peruntukan

undang-undang berkenaan perkara ini," kata CITF lagi.

CITF menegaskan bahawa mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP), semua petugas yang memberi vaksin Covid-19 mesti menunjukkan jarum suntikan yang diisi kepada penerima sebelum mereka disuntik.

"Orang ramai juga disarankan untuk melihat picagari tersebut sebelum dan selepas proses vaksinasi bagi menambah keyakinan bahawa dos dan suntikan vaksin telah diberikan seperti yang sepatutnya," katanya.

Lihat Komen
ADS