Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
CITF nafi ada cubaan sembunyikan penularan kes di pusat vaksinasi
Diterbitkan:  Jul 19, 2021 6:56 PM
Dikemaskini: 10:56 AM

Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) mempertikaikan dakwaan cubaan menyembunyikan kes penularan Covid-19 di pusat vaksinasi Setia City Convention Center (SCCC).

CITF, dalam satu kenyataan, menekankan bahawa tindakan segera diambil setelah diketahui bahawa tujuh petigas di pusat vaksinasi itu dinyatakan positif Covid-19 pada 11 Julai.

Kenyataan CITF itu hadir selepas portal berita kesihatan CodeBlue, yang memetik sukarelawan di SCCC, mendakwa pihak berkuasa cuba menyembunyikan kes Covid-19 dan gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) atau melakukan ujian besar-besaran.

Sukarelawan mendakwa mereka tidak diberitahu mengenai penularan kes Covid-19 di pusat vaksinasi dan hanya mengetahui sendiri.

Ini mendorong sukarelawan mengambil ujian sendiri, dengan salah seorang kemudian didapati positif Covid-19.

Namun, CITF dalam kenyataan hari ini menegaskan bahawa kontak rapat telah dimaklumkan.

"Senarai kontak rapat juga telah dikenal pasti, diminta untuk turut melaksanakan ujian saringan dan kesemua mereka diarahkan untuk melakukan pengasingan kendiri sementara menunggu keputusan.

"Keputusan ujian saringan mendapati kesemua 11 kontak rapat adalah negatif. Oleh kerana maklumat kes positif adalah sulit dan peribadi, hanya pegawai perubatan yang bertauliah dibenarkan memiliki maklumat tersebut.

"Pada masa sama, SCCC tidak melarang mana-mana petugas lain untuk menjalani ujian saringan," katanya.

CITF juga menekankan bahawa kawasan yang terjejas di SCCC sudah dibersihkan.

CITF menambah bahawa semua kakitangan di pusat vaksinasi juga diharuskan mematuhi SOP termasuk jarak sosial dan pemantauan suhu.

"CITF akan terus memastikan semua PPV mematuhi garis panduan yang telah disediakan serta menjalankan amalan SOP yang sepatutnya bagi memastikan tiada risiko penularan jangkitan berlaku di mana-mana PPV, pada ketika jangkitan kini menular dalam kalangan komuniti (sporadik)," katanya.

Lihat Komen
ADS