Malaysiakini
BERITA

'Kedurjanaan politik' dibawa PH kini diteruskan PN, kata Shahrir

Diterbitkan
Dikemaskini 22 Jul 2021, 3:11 pagi

Beberapa jam menjelang Syed Saddiq Syed Abdul dihadapkan di depan hakim untuk menghadapi pertuduhan mahkamah, sekurang-kurangnya dua tokoh senior Umno memberikan 'simpati' secara tidak langsung kepadanya.

Bekas menteri Shahrir Samad misalnya mendakwa apa yang dialami Syed Saddiq itu merupakan kesinambungan "kedurjanaan politik" dibawa Perikatan Nasional (PN).

Hal itu, katanya, bermula semasa zaman Pakatan Harapan (PH) menjadi kerajaan.

"Apabila pendakwaan politik atau political prosecutian dimulakan, begitu mudah sangat ia diteruskan.

"Kedurjanaan politik hidup segar semasa PH dan kerana itu DNA politik PH, ia dibawa sekali ke dalam PN," katanya dalam hantaran di media sosial.

Bekas ahli parlimen Johor Bahru itu juga mendakwa pendakwaan politik itu kini diberi nama baru, iaitu "scheme of things", merujuk kepada rakaman audio tular didakwa suara Perdana Menteri Bersatu Muhyiddin Yassin yang menjelaskan cara PN menarik sokongan daripada ahli-ahli parlimen selepas PH dijatuhkan tahun lalu.

Semalam media melaporkan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman akan didakwa di mahkamah hari ini atas pertuduhan menyelewengkan dana RM1.12 juta milik parti politik.

Ingatkan 'orang lain'

Bekas menteri belia dan sukan itu dijadual didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur di Jalan Duta pagi ini.

Ahli parlimen Muar itu akan diwakili peguam Haijan Omar dan Gobind Singh Deo. 

Malam tadi bekas perdana menteri Najib Razak turut mengulas perkembangan tersebut.

Dengan nada sinis Najib berkata apabila terbaca berita mengenai seorang bekas menteri akan didakwa hari ini, dia menyangka orang itu ialah Ahli Parlimen Kuala Langat, Dr A Xavier Jayakumar.


Baca MP Kuala Langat enggan ulas dakwaan 'ditekan SPRM'


Xavier merupakan bekas naib presiden PKR yang dilantik menjadi menteri air, tanah dan sumber asli di bawah kerajaan PH. Dia sebelum ini dikaitkan dengan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Tidak lama selepas itu dia mengumumkan peletakan jawatannya dalam PKR dan menjadi ahli parlimen bebas yang menyokong PN.

Turut diusik Najib ialah Ahli Parlimen Masjid Tanah, Mas Ermieyati Samsudin; dan Ahli Parlimen Jeli Mustapa Mohamed.

Kedua-dua ahli parlimen terbabit ialah bekas pemimpin Umno yang memenangi kerusi masing-masing melalui tiket BN pada PRU 2018 namun mengumumkan menyertai Bersatu - yang diketuai Muhyiddin - selepas PH menjadi kerajaan pusat.

"Rupanya bukan depa. Apapun, welcome to kluster mahkamah.

"Guan Eng dan saya dah lama tunggu. Silap-silap, Guan Eng masuk PN nanti. Mana tahu?" katanya merujuk kepada bekas menteri kewangan PH, Lim Guan Eng.

Untuk rekod semasa PH menjadi kerajaan, Shahrir dan Najib didakwa di mahkamah atas beberapa pertuduhan dan kes mereka sehingga kini masih dibicarakan.

Beri pendapat anda!

Jadi pelanggan Malaysiakini untuk menjadi pengulas berita. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.