Malaysiakini
BERITA

K’jaan pertimbang kelonggaran rentas negeri pada keluarga berjauhan

Diterbitkan

Kerajaan mempertimbangkan kelonggaran kepada mereka yang lengkap dua dos vaksin Covid-19, termasuk meneliti cadangan untuk membolehkan pasangan dan keluarga jarak jauh merentas negeri, kata Timbalan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob.

Ismail berkata isu itu sering dibawa ke dalam mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN) selepas menerima luahan warganet di media sosial berhubung perkara itu.

“Saya sering membawa isu ini dalam mesyuarat MKN, supaya kelonggaran bertemu keluarga dapat dipertimbangkan bagi mereka yang sudah lengkap menerima dua dos vaksin.

“Insya-Allah, kerajaan sedang memperhalusi cadangan ini bagi membolehkan pasangan dan keluarga jarak jauh disatukan semula,” katanya dalam hantaran di Facebook hari ini.

Pada 17 Julai lalu, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin berkata kelonggaran bagi individu yang lengkap dua dos suntikan vaksin Covid-19 akan diputuskan pada mesyuarat Majlis Pemulihan Negara pada minggu ini.

Muhyiddin berkata kelonggaran itu mungkin termasuk pergerakan untuk membeli-belah, atau sekurang-kurangnya rentas daerah.

Menurutnya langkah berkenaan juga seiring dengan pembukaan lebih banyak sektor ekonomi terutama di Lembah Klang pada Fasa Kedua Pelan Pemulihan Negara (PPN) nanti.

Ismail berkata antara luahan yang sering diterima di media sosial merupakan pasangan jarak jauh serta ibu bapa yang terpisah dari anak-anak berikutan larangan merentas negeri.

“Sebagai seorang bapa, saya sedar betapa pentingnya institusi kekeluargaan itu kepada manusia.

“Walaupun atas faktor keselamatan, ibu atau bapa tidak sepatutnya terpaksa berpisah dengan anak-anak dalam tempoh yang terlalu lama.

“Lebih-lebih lagi jika ibu bapa berkenaan sudah pun menerima dua dos vaksin,” katanya.

Beri pendapat anda!

Jadi pelanggan Malaysiakini untuk menjadi pengulas berita. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.