Malaysiakini
BERITA

Hartal doktor kontrak diteruskan lepas tiada penyelesaian ditawar k'jaan

Diterbitkan
Dikemaskini 22 Jul 2021, 8:01 pagi

Sekumpulan doktor kontrak yang berkhidmat dengan kerajaan akan meneruskan rancangan mereka untuk mengadakan hartal pada 26 Julai ini selepas Putrajaya belum menyatakan sebarang tawaran bagi mengatasi masalah dihadapi mereka.

Untuk rekod pada 12 Julai lalu Menteri Kesihatan Dr Adham Baba berkata kerajaan akan mengumumkan suatu penyelesaian kepada kemelut berkenaan pada minggu itu juga.

Hal yang sama turut dimaklumkan Adham kepada Persatuan Perubatan Malaysia (MMA).

Bagaimanapun selepas mesyuarat kabinet berlangsung pada 14 Julai, tiada sebarang pengumuman dibuat berkenaan isu tersebut.

Gerakan doktor terbabit itu dibuat menggunakan kolektif dikenali sebagai Hartal Doktor Kontrak bagi mengelakkan nama mereka dikenal pasti dan berdepan kemungkinan diambil tindakan.

Dalam sepucuk surat yang dialamatkan kepada pengarah hospital-hospital awam, jabatan kesihatan daerah dan negeri, Hartal Doktor Kontrak memberitahu rancangan mereka untuk mengadakan hartal itu akan diteruskan.

"Isu doktor kontrak bukan sahaja berkaitan dengan mereka tetapi juga berkaitan dengan kebajikan rakyat Malaysia.

"Sekiranya doktor kontrak mengikuti nasihat menteri kesihatan dan berpindah ke hospital universiti atau berpindah ke sektor swasta, ini akan memberi kesan kepada tahap perkhidmatan kesihatan (awam) di negara ini.

"Pandemik Covid-19 menunjukkan bahawa kita kekurangan kakitangan kesihatan untuk mengekalkan sistem penjagaan kesihatan.

"Mereka diperah habis-habisan dan ramai yang kelecuhan... tetapi mereka masih mematuhi keputusan kementerian untuk menjadi tentera dalam perang (melawan Covid-19)," kata surat itu.

Doktor muda yang berkhidmat sebagai pegawai kesihatan kontrak kerajaan berdepan dengan masa depan tidak menentu selepas menamatkan latihan selama lima tahun di hospital awam.

Hantar mesej jelas buat kerajaan

Berlaku kekurangan penyerapan ke jawatan tetap di hospital awam kerana kekurangan belanjawan kerajaan, menyebabkan ramai doktor kontrak terpaksa berpindah ke sektor swasta atau meneruskan latihan kepakaran mereka di luar negara.

Melalui surat itu kumpulan terbabit meminta hospital mencari pengganti sepanjang tempoh hartal selama ssehari itu.

Mogok itu menjadi perhatian ramai kontroversial kerana dirancang diasdakan ketika sistem penjagaan kesihatan awam mengalami tekanan luar biasa akibat Covid-19.

Beberapa pertubuhan seperti Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) menyatakan sokongan terhadap tuntutan tersebut namun tidak menyatakan sikap kepada hartal berkenaan.

Doktor kontrak yang telah bekerja keras selama lebih setahun menguruskan wabak Covid-19 melihat masa depan mereka tidak menjanjikan. Sesetengah daripada mereka berhenti daripada dari perkhidmatan.

Kerajaan telah menawarkan beberapa cadangan kecil, termasuk menawarkan beberapa penempatan tetap untuk doktor kontrak dari pengambilan Mei 2017 dan pelanjutan kontrak setahun sekali kepada doktor kontrak untuk pengambilan dari Dis 2016.

Bagaimanapun, doktor kontrak terbabit bimbang perpanjangan itu hanya terhad untuk menangani wabak Covid-19 dan mereka akan diketepikan sebaik saja ancaman wabak itu berakhir.

Sehingga kini, pemerintah belum mengumumkan resolusi komprehensif.

"Kami mendesak semua orang untuk menyokong kami menghantar mesej yang jelas kepada kerajaan melalui hartal ini.

"Bantu kami memperjuangkan hak kami dan hak semua rakyat Malaysia," kata sekretariat Hartal Doktor Kontrak dalam suratnya.

Beri pendapat anda!

Jadi pelanggan Malaysiakini untuk menjadi pengulas berita. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.