Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Polis panggil MP Batu Pahat isu dakwaan langgar SOP
Diterbitkan:  Jul 23, 2021 7:26 PM
Dikemaskini: 11:26 AM

Polis akan memanggil Ahli Parlimen Batu Pahat Mohd Rashid Hasnon berhubung dakwaan melanggar prosedur operasi standard (SOP) apabila dirakam sedang menikmati hidangan dengan beberapa orang di sebuah lokasi di Johor.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Ismail Dollah berkata pihak polis mengesan satu hantaran gambar tular di laman sosial yang memaparkan Rashid yang juga timbalan speaker Dewan Rakyat itu sedang makan bersama dua wanita di sebuah ladang pertanian di daerah Batu Pahat, Johor.

"Hantaran berasingan juga mendapati ahli parlimen berkenaan sedang bergambar dengan seorang lelaki dan dua orang perempuan tanpa memakai pelitup muka dan tiada penjarakan fizikal.

"Susulan daripada itu, satu laporan polis telah dibuat dan kertas siasatan telah dibuka untuk menyiasat kejadian yang berlaku di dalam gambar tersebut," katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambahnya, siasatan dijalankan di bawah Peraturan 17 (1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2021.

Terdahulu, setiausaha sulit kepada Rashid Hasnon hari ini menafikan ahli parlimen itu melanggar SOP apabila dirakam sedang menikmati hidangan dengan beberapa orang di sebuah lokasi di Johor.

Sebaliknya Mohd Zaihan Mohd Zainal mendakwa kejadian itu berlaku hanya membabitkan Mohd Rashid, isteri dan anaknya di sebuah rumah inap desa (homestay).

Menurut Mohd Zaihan, ketika gambar itu dirakam mereka tiga beranak sedang makan sementara menunggu masa untuk sesi penyembelihan lembu korban.

“Selain menyumbang lembu, YB (Mohd Rashid) juga mahu menyembelih (korban) dengan tangannya sendiri," katanya.

Lihat Komen
ADS