Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
JAS jangka lebih banyak pembakaran terbuka dikesan
Diterbitkan:  Jul 24, 2021 8:56 AM
Dikemaskini: 12:56 AM

Jabatan Alam Sekitar (JAS) menjangkakan kadar pembakaran terbuka di negara ini akan terus meningkat jika keadaan cuaca semasa berlanjutan, termasuk disebabkan aktiviti pertanian.

Ketua Pengarah JAS Norlin Jaafar berkata sepanjang bulan ini - sehingga 22 Julai lalu - pihaknya merekodkan 418 kes pembakaran terbuka di seluruh negara.

"Bilangan ini dijangka akan terus meningkat jika keadaan cuaca panas dan kering berterusan sehingga pertengahan Sept ini," katanya dalam kenyataan malam tadi.

Dalam tempoh cuaca kering sekarang, katanya, potensi untuk berlakunya pembakaran terbuka di kawasan yang mudah dan sering terbakar adalah sangat tinggi.

Kawasan itu, menurut Norlin, ialah seperti tanah gambut dan tapak pelupusan sampah.

"Terdapat peningkatan kes pembakaran terbuka disebabkan kegiatan pertanian sara diri penduduk tempatan, manakala pelepasan dari aktiviti perindustrian, kerja tanah dan kenderaan bermotor menyumbang kepada kemerosotan udara di beberapa buah negeri," katanya lagi.

Pada 21 Julai lalu Jabatan Meteorologi Malaysia berkata negara ini sedang mengalami musim monsun barat daya yang menyebabkan cuaca menjadi pasan dan kering.

Keadaan itu, kata agensi terbabit, dijangka berterusan sehingga pertengahan Sept ini. Bagaimanapun Malaysia diramal tidak berdepan dengan kemungkinan mengalami gelombang haba setakat ini.

Norlin Jaafar

Norlin berkata semasa monsun berkenaan melanda negara, kadar taburan hujan di juga dijangka akan mengalami pengurangan.

Katanya kemerosotan kualiti udara dan fenomena jerebu dikenal pasti boleh menjejaskan kesihatan terutamanya kepada pesakit yang menghadapi masalah pernafasan seperti asma, radang paru-paru dan bronkitis.

"Sekiranya pembakaran terbuka dan jerebu berlaku semasa pandemik Covid-19, kedua-duanya boleh meningkatkan risiko bahaya pencemaran udara kepada kesihatan awam," katanya.

Justeru menurut Norlin, JAS menasihatkan orang ramai agar tidak terbabit dalam kegiatan pembakaran terbuka kerana mereka boleh dikenakan tindakan mengikut Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 yang boleh dikenakan denda sehingga RM500,000 atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya.

"Kompaun sebanyak RM2,000 juga boleh dikenakan bagi setiap kesalahan," katanya.

Untuk kemudahan semua, JAS berkata, orang ramai juga boleh melaporkan kes-kes pencemaran kepada jabatan itu melalui talian bebas tol, 1-800-88-2727 atau melalui e-aduan JAS di https://eaduan.doe.gov.my.

Lihat Komen
ADS