Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Lynas kejar masa cari tapak baru lupus sisa radioaktif

Syarikat perlombongan Australia Lynas Rare Earths Limited mesti membina kemudahan pelupusan tetap (PDF) berikutan keputusan Putrajaya tahun lalu untuk memperbaharui lesennya selama tiga tahun dengan beberapa syarat.

Antaranya, PDF mesti dibina dalam masa setahun. Tetapi rancangan Lynas untuk membinanya di Bukit Ketam - terletak di hutan simpan sekitar 35km dari Kuantan, Pahang - mengalami masalah susulan penolakan Jabatan Alam Sekitar (JAS) pada April.

Lynas menunjukkan rancangan pembinaan tempat pelupusan di Bukit Ketam masih berjalan dan firma itu mendakwa JAS memerlukan maklumat lebih lanjut mengenai cadangan berkenaan.

Pun begitu dokumen yang dilihat oleh Malaysiakini menunjukkan firma itu sekarang sedang memohon kelulusan untuk membina kemudahan pelupusan tetap itu di lokasi lain.

Tapak baru PDF itu terletak di Kawasan Perindustrian Gebeng, di Lot 31375, yang terletak bersebelahan dengan kilang Lynas Advanced Materials Plant (LAMP).

Sementara itu, JAS mengesahkan kepada Malaysiakini Lynas sedang mencari kawasan untuk membina PDF untuk sisa penulenan air larut lesap (WLP) yang beradioaktif di Kawasan Perindustrian Gebeng.

Pegawai JAS juga berkata terma rujukan (TOR) untuk penilaian kesan alam sekitar (EIA) bagi tapak baru itu telah diluluskan pada 14 Julai.

Selanjutnya, JAS berkata pihaknya sedang dalam proses melakukan penilaian kesan alam sekitar untuk tapak PDF itu.

Pada 27 April, laman web JAS mendedahkan pihaknya telah menolak laporan EIA mengenai rancangan Lynas sebelum ini di Bukit Ketam. Laporan itu disediakan oleh syarikat perunding EIA AGV Environment Sdn Bhd.

Bagi tapak baru berkenaan, Gading Senggara Sdn Bhd (GSSB) kekal sebagai kontraktor untuk PDF tetapi syarikat perunding EIA yang berbeza, Dr Nik & Associates Sdn Bhd, telah dilantik.

Menurut dokumen TOR daripada sumber yang boleh dipercayai, tapak baru yang dicadangkan itu cuma dalam lingkungan 30 meter ke utara dari kilang Lynas.

Dokumen tersebut menyatakan pada asalnya terdapat lima pilihan. Antaranya, pilihan Bukit Ketam "diberhentikan" kerana terletak di dalam Hutan Simpan Bukit Kuantan dan hulu sungainya menjadi sumber pengambilan air minuman.

"Tapak (baru) itu sudah ada di Kawasan Perindustrian Gebeng (GIE). Oleh itu, dijangka tiada konflik penggunaan tanah. Pilihan ini dipilih sebagai pilihan terakhir."

Kerajaan Pahang bantu 'perolehan kembali' tanah

Berdasarkan dokumen yang dilihat oleh Malaysiakini, Lynas dan kontraktor PDF, GSSB nampaknya telah mencapai kesepakatan dengan kerajaan Pahang mengenai cadangan tersebut, yang akan membantu melepasi halangan berkaitan masalah tanah.

Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang, pada surat kepada GSSB, menyatakan Majlis Mesyuarat (Exco) Kerajaan Negeri telah "secara prinsip setuju" supaya Lot 31375 dapat digunakan sebagai lokasi alternatif untuk PDF itu.

Kerajaan negeri juga bersetuju Perbadanan Setiausaha Negeri Pahang (PSK) akan memohon untuk "perolehan kembali" bahagian Lot 31375.

Ia membabitkan tanah seluas 28.328 hektar (70 ekar) dan terletak di Mukim Sungai Karang, daerah Kuantan.

Namun kerajaan negeri juga menekankan berdasarkan prinsip "kepentingan umum", tapak pelupusan sampah tidak boleh dibina di kawasan perindustrian dan sisa penulenan air larut lesap (WLP) beradioaktif yang terkumpul di tapak LAMP perlu dipindahkan ke tempat pembuangan tetap.

Malaysiakini belum dapat mengesahkan kesahihan dokumen yang didedahkan itu secara bebas.

Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang Sallehuddin Ishak, Lynas Malaysia dan GSSB tidak menjawab pertanyaan Malaysiakini setakat laporan ini ditulis.

Keluasan tanah, simpanan sisa lebih kecil

PDF yang dicadangkan di Gebeng memerlukan keluasan tanah yang lebih kecil berbanding rancangan sebelum ini di Bukit Ketam. Kapasiti simpanan telah dikurangkan sebanyak 18 peratus.

Tapak Bukit Ketam yang dicadangkan melibatkan tanah seluas 58.25 hektar. Rancangan asalnya membina dua sel simpanan residu WLP berskala besar dengan jumlah keseluruhan 1.35 juta meter padu, bersamaan dengan 540 kolam renang saiz Olimpik.

Namun, tapak cadangan baru di Gebeng kurang separuh (48.6 peratus) berbanding rancangan asalnya, dan kapasiti penyimpanan hanya 1.1 juta meter padu, atau sekitar 440 kolam renang Olimpik.

Dari segi reka bentuk, PDF baru yang dicadangkan itu akan mempunyai empat sel simpanan selari.

Terdapat dua jenis sisa utama yang dihasilkan oleh kilang pemprosesan nadir bumi Lynas iaitu, sisa penulenan air larut lesap (WLP) beradioaktif dan sisa buangan bukan radioaktif tidak berjadual Neutralization Underflow Residue (NUF).

Sisa WLP yang dihasilkan oleh Lynas telah terkumpul di lima kemudahan simpanan sisa sementara (RSF) di laman LAMPnya sejak 2012 dan lebih banyak lagi akan terus menimbun sehingga tahun 2023.

Bergegas, tarikh akhir makin dekat

Selepas bertahun-tahun bantahan dibuat, Lynas bersetuju untuk memindahkan proses pemecahan dan larut lesap (cracking and leaching), yang menghasilkan sisa WLP, kembali ke Australia menjelang Julai 2023.

Sementara itu, semua sisa WLP yang ada mesti dipindahkan ke kemudahan simpanan tetap. 

Dianggarkan pada tahun 2023, jumlah sisa WLP akan menjadi sekitar 1.04 juta meter padu.

Sebelum PDF dapat dibina, sangat penting bagi Lynas untuk menyelesaikan beberapa masalah dengan beberapa jabatan dan agensi kerajaan.

Untuk perkara berkaitan dengan tanah, firma itu mesti mendapat kelulusan kerajaan negeri manakala penilaian kesan alam sekitar bergantung kepada kelulusan JAS.

Di samping itu, pembaharuan lesen dan pengurusan sisa radioaktif pula bawah bidang kuasa Lembaga Perlesenan Tenaga Atom (AELB).

Kerajaan Pakatan Harapan pada mulanya mahu Lynas menghantar pulang sisa WLP ke luar negara tetapi kemudian mengubah keputusannya dan sebagai ganti membenarkan Lynas membina PDF.

Selepas EIA menolak rancangan PDF di Bukit Ketam, AELB bersetuju untuk memanjangkan tarikh yang ditetapkan untuk membina PDF sehingga 2 September 2021.

Ini bermakna firma itu mempunyai masa kurang dari dua bulan untuk melakukannya.

Dalam satu kenyataan kepada parlimen pada 16 Julai tahun lalu, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin berkata Lynas boleh kehilangan lesen operasinya jika gagal memenuhi semua syarat yang ditetapkan oleh Putrajaya.

[Baca laporan asal]

Lihat Komen
ADS