Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Azhar tolak usul dibawa Anwar kerana 'dihantar terlalu awal'
Diterbitkan:  Jul 24, 2021 12:57 PM
Dikemaskini: 4:57 AM

Usul yang cuba dibawa Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim ke sidang parlimen hujung bulan ini tidak diterima Dewan Rakyat.

Ada beberapa alasan yang diberikan Speaker Dewan Rakyat, Azhar Harun, atas keputusan tersebut. Misalnya, Anwar menghantar usul berkenaan terlalu awal.

Dalam suratnya kepada Anwar, Azhar menjelaskan notis untuk persidangan khas itu dikeluarkan pada 15 Julai dan usul Anwar pula diserahkan pada 12 Julai.

"Oleh itu, usul oleh ahli parlimen yang dihormat itu tidak ada di dalam kertas pesanan kerana dikemukakan sebelum pemberitahuan," kata Azhar.

Sebelum ini Anwar mengemukakan usul agar Dewan Rakyat membenarkan pengisytiharan darurat, tatacara darurat, perbelanjaan berkaitan pandemik, program vaksinasi yang sedang berlangsung dan Pelan Pemulihan Nasional dibahaskan.

Ia dibuat ketika pelbagai pihak menanggapi sidang khas pada 26 hingga 2 Ogos ini tidak lebih daripada sekadar sesi taklimat daripada pihak kerajaan, bercanggah dengan kehendak pihak istana agar beberapa isu mendesak dibahaskan.

Menurut kertas aturan untuk persidangan Dewan Rakyat selama lima hari itu nanti lima menteri akan memberikan taklimat. Kertas aturan itu juga secara jelas menyatakan bahawa ahli parlimen dibenarkan menyoal menteri terbabit dan menyuarakan pendapat mereka pada sesi tersebut.

Menurut Azhar lagi Anwar juga membangkitkan banyak topik dalam satu usul dan ia melanggar Perintah Tetap 33 (1) dan 46 (3). Justeru, tanya Azhar, usul tidak dapat dibahas.

"Saya juga berpendapat bahawa usul tersebut melanggar Perkara 150 (3) Perlembagaan Persekutuan," katanya.

Azhar yang sebelum ini dilantik mengetuai Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) semasa kerajaan Pakatan Harapan juga memetik Perintah Tetap 11 (3) yang menyatakan urusan mesyuarat persidangan Dewan Rakyat khas adalah hak istimewa perdana menteri.

Pada 26 Julai ini tiga proklamasi darurat dan sembilan ordinan darurat akan "dibentangkan". Tidak seperti arahan untuk taklimat menteri, kertas aturan tidak menyatakan bahawa ordinan darurat akan dibahaskan.

Di bawah Artikel 150 (7) Perlembagaan Persekutuan, ordinan darurat akan tetap berlaku selama enam bulan setelah berakhirnya darurat, dan dalam konteks ini mulai 1 Ogos.

Ordinan darurat memberikan kuasa luar biasa kepada kerajaan, seperti meluluskan peruntukan tambahan tanpa perlu mendapat kelulusan parlimen, mengekang "berita palsu", merampas harta benda untuk tindak balas Covid-19 dan memberikan tentera lebih banyak kuasa.

Lihat Komen
ADS