Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pegawai daerah, juruukur bahan ditahan kes rasuah dari kontraktor

Seorang pegawai daerah (DO) dan seorang juruukur bahan ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini.

Tangkapan itu dibuat susulan penahanan tiga individu termasuk dua bekas yang dipertua (YDP) majlis perbandaran di Selangor dan seorang kontraktor semalam kerana disyaki menerima rasuah daripada kontraktor.

Kedua-dua individu tersebut direman selama lima hari bermula hari ini selepas majistret Shah Wira Abdul Halim membenarkan permohonan SPRM di Mahkamah Majistret Putrajaya.

Menurut sumber SPRM, kedua-dua individu berkenaan ditahan ketika hadir untuk memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya masing-masing sekitar pukul 9 dan 10 malam tadi.

Katanya individu terbabit dipercayai bersekongkol bersama syarikat kontraktor yang merupakan sindiket kartel projek bagi membolot projek-projek bernilai puluhan juta ringgit di sekurang-kurangnya empat daerah di Selangor sejak 2012.

“Dalam tempoh empat tahun di sebuah daerah sahaja, kontraktor terlibat memperoleh pelbagai projek dianggarkan bernilai RM20 juta.

"Difahamkan terdapat kira-kira 70 syarikat yang digunakan untuk membolot projek-projek tersebut termasuk kira-kira 16 syarikat milik keluarga mereka dan selebihnya merupakan kroni atau proksi,” kata sumber SPRM itu.

Sumber itu turut berkata, kontraktor berkenaan 'menjaga' dan berdampingan dengan pegawai-pegawai terlibat seperti menaja bermain golf dan membiayai percutian ke luar negara termasuk dengan keluarga masing-masing.

Katanya, DO yang direman hari ini dipercayai menerima suapan kira-kira RM125,000 dalam pelbagai bentuk seperti wang tunai, pengubahsuaian rumah, deposit kereta dan bayaran perubatan.

“Suapan itu adalah sebagai balasan untuk membantu syarikat-syarikat milik kontraktor mendapatkan kerja-kerja pembersihan kawasan, penyelenggaraan dan kerja-kerja lain kerja secara sebut harga dan tender di kawasan sekitar Selangor.

"Keseluruhan nilai projek-projek tersebut berjumlah kira-kira RM3 juta,” katanya.

Sumber SPRM itu juga berkata, juruukur bahan itu pula dipercayai memperoleh suapan sebanyak satu peratus daripada nilai projek, selain wang tunai berjumlah anggaran RM90,000 dan sebuah basikal bernilai RM3,000.

Katanya individu tersebut dipercayai telah maklumat-maklumat berkaitan tender kepada kontraktor bagi kerja-kerja pembersihan kawasan dan penyelenggaraan di sebuah daerah lain di Selangor.

- Bernama

Lihat Komen
ADS