Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
IGP kesal cadangan buat ujian antibodi jika risau disuntik 'vaksin kosong'
Diterbitkan:  Jul 25, 2021 6:41 PM
Dikemaskini: Jun 22, 2022 11:12 AM

Polis menyuarakan kekesalan terhadap persoalan yang timbul susulan kenyataan salah seorang pegawai kanannya bahawa sesiapa yang risau jika mereka tidak menerima suntikan vaksin Covid-19 dengan betul untuk membuat ujian antibodi.

Mengulas kenyataan yang dibuat Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Abdul Jalil Hassan, Ketua Polis Negara (IGP) Acryl Sani Abdullah Sani berkata cadangan seumpama itu adalah di luar bidang kuasa polis.

"Kenyataan berhubung ujian Covid Neutralizing Antibody Test dalam siaran media berkenaan adalah di luar bidang kuasa polis. Sebarang kesulitan atau persoalan yang timbul berhubung perkara tersebut amat dikesali.

"Polis kekal komited menyokong Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (Pick) dan akan mengambil langkah selari dengan Kementerian Kesihatan, Pasukan Petugas Khas Imunisasi Covid-19 (CITF) dan Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin (JKJAV) dalam proses memastikan perkhidmatan vaksinasi terbaik disampaikan kepada orang ramai," katanya dalam kenyataan hari ini.

Jalil membuat cadangan itu semalam selepas polis menerima banyak pertanyaan daripada orang awam berhubung perkara yang perlu dilakukan jika mereka bimbang disuntik picagari kosong.

Ia setelah beberapa kes seumpama itu dibangkitkan di media sosial. Laporan polis juga dibuat berkenaannya.

Selain itu, Jalil juga menggesa orang ramai yang mengesyaki berdepan perkara sama untuk membuat laporan polis.

Susulan perkara itu, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin mengarahkan semua pusat pemberian vaksin (PPV) untuk membenarkan penerima membuat rakaman ketika proses suntikan, bagi mengelakkan sebarang keraguan.

Sementara itu, penasihat khas (sains) kepada Khairy, Dr Mohd Ghows Mohd Azzam berkata, dua agensi Amerika Syarikat iaitu Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan (FDA) dan Pusat Pengendalian Penyakit (CDC) juga tidak mengesyorkan ujian antibodi bagi memeriksa vaksin yang diterima "berfungsi atau tidak.

"Kit ujian antibodi memiliki kekhususan antibodi yang terhad, bermakna ada ujian menunjukkan keputusan positif, ada yang negatif," katanya.

Ghows menjelaskan ada ujian mungkin dapat mengesan antibodi yang terhasil daripada vaksin tertentu, tetapi tidak berkesan untuk vaksin lain.

"Kebanyakan ujian serologi mengesan antibodi daripada spike protein, sementara ujian lain mengesan protein nukleokapsid.

"Kit ujian yang menyasarkan nukleokapsid tidak akan mengesan respons antibodi daripada vaksin yang menyasarkan spike protein (seperti Pfizer dan Astrazeneca)," katanya lagi.

Katanya lagi, ujian yang menyasarkan spike protein dengan sensitiviti yang rendah juga mungkin gagal mengesan vaksin tidak aktif seperti Sinovac.

"Akhir sekali, kefungsian antibodi yang spesifik yang dapat meneutralkan virus yang lebih penting, berbanding tahap antibodi secara keseluruhan.

"Kesan meneutralkan ini belum dapat 'dibaca' ujian serologi pada masa ini. Lebih banyak yang perlu dilakukan berkenaannya," katanya lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS