mk-logo
Berita
Amaran KKM mengenai perhimpunan haram menjelang mogok doktor
Diterbitkan:  Jul 25, 2021 8:38 PM
Dikemaskini: 1:16 PM

Kementerian Kesihatan (KKM) memberi 'amaran halus' kepada doktor kerajaan yang memikirkan untuk turut serta dalam mogok esok.

KKM membuat hantaran di Facebook berkongsi garis panduan oleh unit integriti yang mengingatkan penjawat awam tidak dibenarkan untuk mengambil bahagian dalam "perhimpunan haram".

Definisi "perhimpunan haram" termasuk "menggunakan masa pejabat dan meninggalkan pejabat untuk melihat dan menyertai perhimpunan".

Garis panduan ini juga memperingatkan agar tidak menggunakan peralatan pejabat kerajaan untuk mencetak atau mengedarkan bahan yang berkaitan dengan "perhimpunan haram".

Hantaran KKM ini menjelang mogok oleh doktor kontrak di hospital kerajaan, yang tidak disebut pada hantaran berkenaan.

Mogok ini anjuran Hartal Doktor Kontrak, inisiatif sekumpulan doktor kontrak yang enggan mendedahkan nama mereka kerana kerajaan mungkin melakukan tindak balas terhadap mereka.

Doktor kontrak melobi jaminan pekerjaan dan prospek kerjaya yang lebih baik.

Sementara itu, Hartal Doktor Kontrak, dalam satu kenyataan, menggariskan bagaimana doktor mengambil bahagian dalam mogok melalui tindakan 'walk out' (berhenti melakukan tugasan dan keluar beramai-ramai pada waktu yang ditetapkan).

Ia meminta semua doktor kontrak untuk memastikan penyerahan tugasan kepada doktor tetap sebelum melakukan mogok itu.

Mereka akan berkumpul di lobi hospital masing-masing mengikut prosedur operasi standard dan kemudian mereka akan keluar pada pukul 11 pagi.

Bagi doktor kontrak dalam perkhidmatan kritikal, mereka akan bertugas jika diperlukan.

Mereka juga digalakkan untuk membawa plakad dan berkongsi tindakan perusahaan berkenaan di media sosial.

Doktor kontrak junior kerajaan berhadapan risiko kehilangan pekerjaan setelah tamat lima tahun perhidmatan wajib mereka di hospital kerajaan.

Terdapat kekurangan jawatan tetap di hospital awam kerana kekurangan peruntukan kewangan kerajaan.

Akibatnya, ramai doktor kontrak terpaksa berpindah ke sektor swasta atau meneruskan latihan kepakaran mereka di luar negara.

Selepas berbulan-bulan melobi, kerajaan pada Jumaat (23 Julai) menawarkan untuk melanjutkan kontrak mereka sehingga enam tahun tetapi masih tidak menawarkan jawatan tetap.

Namun, kerajaan berjanji untuk memastikan doktor kontrak juga menikmati faedah serupa dengan doktor tetap.

Hartal Doktor Kontrak menyifatkan tawaran kerajaan itu "separuh masak" menegaskan lanjutan kontrak bukan penyelesaian terhadap tuntutan mereka untuk jawatan tetap.

Lihat Komen
ADS