Isu Nanyang: Dr Ling mesti mohon maaf, kata Ah Lek
Sambil menyifatkan tindakan MCA menguasai dua akhbar berbahasa Cina di bawah kumpulan Nanyang pada 2001 sebagai satu malapetaka, bekas timbalan presidennya mahu bekas Presidennya, Tun Dr Ling Liong Sik memohon maaf kepada masyarakat Cina "sebagai orang yang bertanggungjawab sepenuhnya perkara tersebut".
Sambil menyifatkan tindakan MCA menguasai dua akhbar berbahasa Cina di bawah kumpulan Nanyang pada 2001 sebagai satu malapetaka, bekas timbalan presidennya mahu bekas Presidennya, Tun Dr Ling Liong Sik memohon maaf kepada masyarakat Cina "sebagai orang yang bertanggungjawab sepenuhnya perkara tersebut".
Bercakap dalam satu sidang akhbar di Kuala Lumpur hari ini, Tan Sri Lim Ah Lek (foto) berkata, Dr Ling yang bertanggungjawab memastikan keputusan membeli Nanyang Siang Pau dan China Press, milik Nanyang Press Holding Bhd, menjadi kenyataan.
Selasa lalu, syarikat pelaburan MCA, Huaren Holdings Bhd telah menjual sahan majoritinya dalam Nanyang bagi mengelak parti itu mengalami kerugian yang berterusan.
Lim menganggarkan Huaran yang terjejas teruk akibat pelaburan tersebut, kerugian sekurang-kurangnya RM100 juta ekoran pembelian Nanyang lima tahun lalu.
Menurut laporan Bernama, Huaren telah mengurangkan pegangannya dalan Nanyang daripada 44 peratus kepada 21 peratus dengan menjualnya pada harga RM4.20 berbanding harga beliannya RM5.50 kepada Ezywood Options Sdn Bhd, milik jutawan balak Tan Sri Tiong Hew King.
Tiong juga memiliki Sin Chew Media Corp Bhd, penerbit Sin Chew Jit Poh, akhbar berbahasa Cina yang terbesar di Malaysia, dan Guang Ming Daily.
MCA berpecah kepada dua puak selepas parti itu membeli saham majoriti dalam Nanyang lima tahun lalu masing-masing diketuai oleh Dr Ling dan Lim. Kedua-duanya meletakkan jawatan pada 2003 melalui 'perjanjian damai' yang diusahakan oleh Perdana Menteri ketika itu, Tun Tun Dr Mahathir Mohamad.
Lim mendakwa, tanpa Dr Ling sebagai presiden parti itu, MCA tidak akan membeli Nanyang.
'Belum terlambat'
Tegasnya lagi, Dr Ling (foto) tetap meneruskan pembelian Nanyang walaupun ia menerima tentang hebat daripada persatuan-persatuan Cina serta sebahagian besar ahli-ahli MCA sendiri.
Lim merujuk kepada laporan bahawa MCA terpaksa membayar RM50 juta hanya untuk bayaran faedah bagi pinjaman yang diambil untuk membeli saham majoriti Nanyang.
Berdasarkan kepada kemerosotan nilai sesaham, katanya, kerugian yang dialami parti itu adalah hampir RM100 juta.
Lim berkata, jika Dr Ling seorang gentlemen, beliau mesti memohon maaf kepada masyarakat Cina dan semua ahli MCA, sambil menegaskan "masih belum terlambat untuk beliau berbuat demikian".
"Berhenti menyalahkan orang lain, terutama pemimpin-pemimpin (parti itu) sekarang. Mereka telah dikelirukan supaya menerimanya. Beliau mesti memohon maaf," tegas Lim lagi.
Lim juga berkata, masyarakat Cina di negara ini masih belum memaafkan MCA kerana bertindak bertentangan dengan hasrat mereka, sehingga memboikit Nanyang Siang Pau.
Bagaimanapun, beliau memuji kepimpinan MCA sekarang kerana menjual pegangan saham majoriti itu untuk mengurangkan kerugian yang terpaksa ditanggung oleh pihak parti.
"Tanpa sokongan masyarakat Cina, akhbar tersebut akan berkubur," tegasnya.

