Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Singkir pengarah hospital jika tak cekap kendali krisis, gesa MP Klang
Diterbitkan:  Jul 28, 2021 1:49 PM
Dikemaskini: 6:05 AM

Ahli Parlimen Klang Charles Santiago menggesa kerajaan menggugurkan atau memindahkan pengarah hospital yang tidak cekap dalam tindak balas krisis Covid-19 sehingga memburukkan lagi masalah ini.

Charles berkata setiap hospital di Lembah Klang menghadapi kekurangan besar petugas perubatan, ambulans, peralatan perubatan, kemudahan ICU dan katil.

"Kerajaan perlu segera memperuntukkan RM20 juta untuk setiap hospital di Lembah Klang, termasuk Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) supaya memperluas kemudahan ICU dan membeli lebih banyak ventilator dan tangki oksigen," katanya pasa satu kenyataan hari ini.

Dia berpendapat atas sebab gabungan faktor kadar kemasukan pesakit Covid-19 yang tinggi, kekurangan kakitangan dan peralatan perubatan yang tidak mencukupi, maka keadaan hospital Lembah Klang cukup sukar kepada pesakit dan petugas barisan hadapan.

"Kami perlukan kerajaan untuk bertindak balas dengan pantas, menggerakkan dan meningkatkan jumlah petugas perubatan dengan segera. Ini termasuk doktor, jururawat, pembantu perubatan dan kakitangan perubatan lain.

"Kementerian Kesihatan mesti memindahkan atau menyingkirkan pengarah hospital yang gagal mentadbir dengan cekap dalam masa kritikal ini," tambah Charles.

Dia memetik kes ibu mertua rakannya dijangkiti Covid-19, dihantar ke HTAR dan duduk di luar Jabatan Kecemasan selama tiga hari tanpa mendapat rawatan perubatan.

"Dia meninggal dunia pada hari keempat kerana sokongan ventilator sampai lambat.

"Ini bukan satu-satunya kes yang terjadi. Kami telah membaca dan mendengar kisah mengenai pesakit yang perlu bergilir-gilir berkongsi ventilator dan tangki oksigen.

"Petugas barisan hadapan kita cukup terbeban. Mereka perlu bekerja 12 ke 14 jam sehari dan bebanan kerja bertambah saban hari dengan meningkatnya kes positif," jelas ahli parlimen DAP itu.

Malaysia pada masa ini mempunyai 170,224 kes Covid-19 aktif, dengan 1,023 pesakit sedang mendapat rawatan rapi di ICU dan 524 pesakit memerlukan alat bantuan pernafasan. Angka kematian keseluruhan telah mencecah 8,408 orang.

Charles mendakwa di hospital besar Klang, setiap hari cuma tiga pembantu perubatan ditugaskan untuk mengurus 200 orang.

"Dengan kata lain, pembantu perubatan perlu menyelesaikan rawatan penjagaan utama pesakit dalam masa 15 minit. Ini sama sekali tidak berperikemanusiaan.

"Kerajaan berjanji akan memindahkan lebih ramai pegawai perubatan dari negeri lain untuk menyokong hospital besar Klang tetapi malangnya, janji itu masih belum dipenuhi.

"Walaupun banyak wad baru telah dibuka, kekurangan petugas perubatan di Klang masih merupakan masalah yang penting dan keadaan ini semakin teruk dan tidak terkawal," katanya.

Charles berkata dalam keadaan sebegitu, hospital berada dalam keadaan darurat dan kerajaan gagal melindungi rakyatnya.

"Jika Perikatan Nasional menyebut diri mereka sebagai 'Kerajaan Prihatin', inilah saatnya mereka menunjukkan kemahuan politik mereka untuk menyokong petugas barisan hadapan dan menyelamatkan nyawa rakyat.

"Dan mereka dapat memulakannya dengan memberikan RM20 juta, dan bukan sekadar peruntukan kecil sahaja," katanya.

[Baca laporan asal]

Lihat Komen
ADS