Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
KJ harap pihak berkuasa tak ambil tindakan pada CodeBlue

Jawatankuasa Petugas Khas Imunisasi (CITF) berharap pihak berkuasa menghentikan siasatan mereka terhadap portal berita CodeBlue kerana melaporkan mengenai penularan wabak di pusat pemberian vaksin (PPV) di Shah Alam, Selangor.

Menteri Khairy Jamaluddin, yang bertanggungjawab ke atas program vaksinasi negara, memberitahu Dewan Rakyat hari ini bahawa dia akan berbincang dengan agensi-agensi yang berkaitan berhubung perkara ini.

"Walaupun keputusan untuk disiasat ataupun dituduh itu di luar lingkungan tugas saya, secara semangatnya saya setuju agar tidak perlu diambil tindakan terhadap sesiapa yang buat laporan utk tambah baik PPV kita.

"Saya akan bincang dengan badan-badan dan juga pihak berkuasa berkaitan untuk memastikan kita biar saja apa telah berlaku sebagai satu laporan yang telah dibuat dengan semangat untuk menambah baik program Pick kita," katanya.

Khairy (BN-Rembau) berkata demikian ketika menjawab pertanyaan yang diajukan oleh Wilfred Madius Tangau (Upko-Tuaran), yang mengemukakan isu siasatan pihak berkuasa terhadap CodeBlue.

Dalam laporannya pada 18 Julai, portal berita tersebut mendakwa bahawa pihak berkuasa gagal bertindak dengan sewajarnya setelah kes Covid-19 dikesan di Setia City Convention Center (SCCC), yang digunakan oleh CITF sebagai salah satu PPV.

Memetik sukarelawan di SCCC, laporan itu mendakwa pihak berkuasa cuba menyembunyikan kes Covid-19 dan gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) atau melakukan ujian besar-besaran setelah penularan wabak tersebut dikesan.

Sebagai tindak balas terhadap artikel tersebut, CITF pada 19 Julai telah mengeluarkan kenyataan menafikan dakwaan itu, dan menekankan bahawa tindakan segera diambil setelah mereka mengetahui bahawa tujuh kakitangan di pusat tersebut positif Covid-19 pada 11 Julai.

Berikutan itu, pada 26 Julai, polis memanggil ketua editor CodeBlue Boo Su-Lyn untuk disoal siasat di ibu pejabat polis Shah Alam.

Dalam satu kenyataan, portal itu mengatakan bahawa Boo sedang disiasat di bawah Seksyen 505 Kanun Keseksaan yang berkaitan dengan kenyataan yang menimbulkan keresahan orang ramai, yang membawa hukuman penjara hingga dua tahun, denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Dia juga disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia, yang berkaitan dengan penggunaan kemudahan atau perkhidmatan rangkaian secara tidak wajar.

Lihat Komen
ADS