Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Adakah sidang khas parlimen Isnin ini digagalkan Covid-19?

Dewan Rakyat sepatutnya dijadualkan meneruskan sidangnya pada Isnin ini (2 Ogos) namun ekoran perkembangan yang berlaku sejak empat hari lalu, kedudukannya kini dilihat menjadi tidak menentu.

Satu sumber yang dekat dengan Putrajaya memberitahu Malaysiakini, sidang khas parlimen itu mungkin disingkatkan atas faktor kes-kes Covid-19 yang dikesan dalam kalangan anggota parlimen.

Sumber lain pula memaklumkan, kabinet akan menunggu laporan dan nasihat daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengenai ancaman wabak Covid-19 di parlimen sebelum membuat sebarang keputusan.

Ketika laporan ini ditulis, sumber yang biasa dengan hal-ehwal parlimen menyatakan, tiada sebarang arahan diterima untuk menghentikan sidang yang dijadualkan.

Siang tadi Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah mendedahkan seramai 11 individu disahkan positif Covid-19 selepas semua wakil rakyat dan kakitangan parlimen disaring.

Berdasarkan keadaan biasa, peraturan parlimen menyatakan, sesuatu sidang yang mahu ditangguhkan mestilah diusulkan oleh salah seorang anggotanya.

Ia kemudian perlu disokong sebelum diundi. Untuk membolehkan usul tersebut diluluskan, sekurang-kurangnya 26 ahli parlimen diperlukan untuk menyokongnya.

Kakitangan parlimen menunggu giliran untuk menjalani ujian saringan Covid-19 pada 29 Julai

Bagaimanapun ada peruntukan khas, Perintah Tetap 100 yang membenarkan speaker memutuskan hal-hal yang tidak dinyatakan secara jelas dalam peraturan seperti ancaman wabak atau virus.

Menurut kertas aturan mesyuarat Dewan Rakyat, agenda yang belum diselesaikan dalam sidang khas kali ini ialah sesi soalan kepada Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz, serta taklimat berkaitan proklamasi darurat oleh Timbalan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob.

Pada 27 Jun lalu Speaker Azhar Harun juga membuat ketetapan agar Menteri di Jabatan Perdana Menteri Takiyuddin Hassan memberikan taklimat berkaitan isu pembatalan ordinan darurat pada Isnin ini.

Kena tunggu sidang Sept

Pejabat Perdana Menteri (PMO) sudah menjelaskan sebahagian daripada isu berkenaan dalam kenyataan media dikeluarkan semalam.

Menurut PMO Yang di-Pertuan Agong sudah dinasihatkan oleh jemaah menteri mengenai pembatalan ordinan-ordinan darurat pada 27 Julai.

Terdahulu Istana Negara mengeluarkan kenyataan bagi menzahirkan rasa "amat dukacita" Agong mengenai cara kerajaan Perikatan Nasional (PN) menguruskan pembatalan ordinan berkenaan.

Agong juga bertitah Takiyuddin sudah mengelirukan ahli-ahli Dewan Rakyat dengan kenyataan yang dibuatnya pada 26 Julai.

Dalam kenyataan sama Al-Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah turut menekankan bahawa sebelum sidang khas parlimen bermula Takiyuddin serta Peguam Negara Idrus Harun bersetuju untuk membentang dan membahaskan ordinan darurat tersebut.

Untuk rekod kerajaan mempunyai pandangan lain mengenai maksud ordinan darurat itu "dibentangkan" kepada ahli parlimen. Setakat ini ordinan berkenaan tidak dibahaskan dalam Dewan Rakyat.

Putrajaya juga berpendapat tiada keperluan untuk mereka berbuat demikian dan Agong tertakluk kepada persetujuan yang dinasihatkan oleh kabinet.

Jika parlimen tidak dibenarkan meneruskan sidang khasnya minggu depan, kerajaan PN dijangka berdepan kritikan lebih teruk apabila ketika ini pun mereka dilabel derhaka oleh pembangkang serta pemimpin Umno.

Andainya diputuskan sidang parlimen ditangguhkan pada Isnin ini, anggota Dewan Rakyat perlu menunggu sehingga tarikh sidang seterusnya yang dijadual diadakan pada 6 Sept depan.

Ia juga bermakna usul dibawa ketua pembangkang, Anwar Ibrahim, mengenai status kepercayaan terhadap Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri tidak akan mengubah apa-apa.

Sidang pada Sept itu nanti merupakan sidang rasmi pertama untuk tahun ini dan akan dimulakan dengan titah diraja.

Lihat Komen
ADS